#5595: Ancaman Kepada yang Tidak Berpuasa Tanpa Uzur

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kongsikan tentang ancaman terhadap mereka yang tidak berpuasa walaupun tiada sebarang uzur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat banyak dalil yang memberi amaran keras kepada mereka yang sewenang-wenangnya berbuka puasa tanpa uzur syar’ie seperti sakit dan musafir. Justeru, dinyatakan di sini beberapa nas berkenaan hal tersebut, antaranya:

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

عُرَى الْإِسْلَامِ وَقَوَاعِدُ الدِّينِ ثَلَاثَةٌ: عَلَيْهِنَّ أُسِّسَ الْإِسْلَامُ، مَنْ تَرَكَ مِنْهُنَّ وَاحِدَةً فَهُوَ بِهَا كَافِرٌ حَلَالُ الدَّمِ: شَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَالصَّلَاةُ الْمَكْتُوبَةُ وَصَوْمُ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Simpulan-simpulan Islam serta tiang-tiang agama ada tiga, atasnya dibina Islam. Sesiapa yang meninggalkan salah satu daripadanya, maka ia dianggap kafir dan halal darahnya. Ini merujuk kepada: Mengucap syahadah, solat fardhu dan puasa Ramadhan.”

Riwayat Abu Ya’la (2349) dan al-Dailami.

Status Hadith

Imam al-Haithami menukilkan di dalam Majma’ al-Zawaid (1/47-48): Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la secara sempurna dan al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir. Akan tetapi, ia hanya menyebutkan tiga sahaja dan tidak menyebutkan riwayat Ibn Abbas di atas. Sanad hadis ini hasan. Al-Munziri di dalam al-Targhib wa al-Tarhib (1/382) berkata: Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la dengan sanad hasan. Manakala ia dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if al-Jami’ (3696)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَفْطَرَ يَوْمًا مِنْ رَمَضَانَ، مِنْ غَيْرِ رُخْصَةٍ وَلاَ مَرَضٍ، لَمْ يَقْضِ عَنْهُ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ وَإِنْ صَامَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada Ramadhan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekalipun dia qadha’ puasa tersebut walaupun selama-lamanya.”

Riwayat Abu Daud (2396), Ibn Majah (1672) dan al-Tirmizi (723), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (3281) dah Ahmad (9908). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Musnad. Begitu yang dinyatakannya dalam takhrij Syarh al-Sunnah dan Musykil al-Athar (1523).

Berdasarkan dua hadis di atas, jelas menunjukkan betapa Islam memandang tinggi dan prihatin berhubung perlaksanaan ibadat puasa Ramadhan, bahkan ia dianggap salah satu paksi dan rukun Islam yang mesti ditegakkan dalam kehidupan seharian umat Islam.

Selain itu, Imam al-Zahabi dengan tegas telah menyebutkan: “Di sisi semua orang Islam telah mengakui dan mengiyakan bahawa sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan pada siang harinya tanpa sebarang keuzuran sebenarnya orang tersebut lebih jahat daripada penzina dan peminum arak, bahkan mereka mengesyaki keislaman orang yang tidak berpuasa dan menyangka dengan kafir zindiq, dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.” (Lihat al-Kaba’ir, hlm. 109)

Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan bahawa betapa besarnya kesalahan meninggalkan puasa dengan sengaja terutamanya di bulan Ramadhan. Hal ini jelas seperti yang disebutkan beliau: Dosa besar yang ke 140 dan 141, meninggalkan puasa pada salah satu hari daripada hari-hari dalam bulan Ramadhan, dan berbuka puasa padanya dengan persetubuhan atau selainnya tanpa sebarang keuzuran seperti sakit atau bermusafir. (Lihat al-Zawajir, 1/323)

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan betapa meninggalkan puasa Ramadhan tanpa uzur merupakan dosa besar yang tidak mungkin dapat diganti dengan qadha’ dari sudut nilaiannya.

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Puasa Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam dan perkara fardhu dalam agama yang mesti diketahui. Oleh itu, sesiapa yang mengingkari kewajipannya, akan menjadi kafir dan disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad. Sekiranya ingkar dan enggan bertaubat, dia hendaklah dijatuhi hukuman bunuh sekiranya dia telah lama memeluk agama Islam dan tidak tinggal berjauhan daripada ulama.

Sesiapa yang tidak berpuasa tanpa mengingkari kewajipannya, dia menjadi fasiq. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalang daripada makan dan minum pada waktu siang supaya dia berpuasa, sekalipun secara zahirnya sahaja.

Justeru, sewajarnya umat Islam tidak memandang ringan dalam masalah puasa Ramadhan, tetapi hendaklah bertekad dan berazam untuk menunaikannya sebaik mungkin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”