#5596: Nabi Solat di Baitul Laham

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Nabi SAW solat di Baitul Laham dan apa status hadisnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

ِAbu Bakar Muhammad bin Ahmad al-Wasiti dalam kitabnya Fadha’il Bait al-Maqdis (hlm. 301) meriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:

أُتِيتُ بِالبُرَاقِ لَيلَةَ أُسرِيَ بِي، فَرَكِبتُ إِلَى بَيتِ الْمَقدِسِ، فَلَمَّا مَرَرنَا بِطُورِ سَينَاءَ قَالَ لِي جِبرِيلُ: انزِل فَصَلِّ، فَنَزَلتُ فَصَلَّيتُ رَكعَتَينِ، فَلَمَّا مَرَرنَا بِبَيتِ لَحمٍ قَالَ لِي جِبرِيلُ: «هَذَا مَولِدُ عِيسَى، فَانزِل فَصَلِّ»، فَنَزَلتُ فَصَلَّيتُ رَكعَتَينِ.

Maksudnya:Didatangkan kepadaku Buraq pada malam aku diperjalankan, lalu aku menunggang Buraq itu sehingga ke Baitul Maqdis. Apabila kami melalui Bukit Tursina, Jibril berkata kepadaku: ‘Turun dan solatlah.’ Aku pun turun dan melakukan solat dua rakaat. Apabila kami melalui Baitul Lahm, Jibril berkata kepadaku: ‘Inilah tempat kelahiran Nabi Isa, maka turun dan solatlah.’ Lalu aku turun dan melakukan solat dua rakaat.

Syeikh Abu al-Munzir ‘Amr bin Abd al-Azim Syarif al-Huwaini dalam tahqiqnya terhadap kitab ini menyatakan bahawa hadith ini bertaraf dha‘if jiddan. Hal ini kerana terdapat beberapa orang perawi dalam sanadnya yang bermasalah seperti ‘Amr bin Abu Salamah yang didha‘ifkan oleh Ibn Ma‘in dan al-Saji. Abu Hatim pula berkata bahawa hadithnya ditulis tetapi ia tidak boleh dijadikan hujah. Manakala al-‘Uqaili pula menyatakan bahawa pada hadithnya terdapat waham. (Lihat Fadha’il Bait al-Maqdis, hlm. 301).

Selain itu, terdapat juga riwayat yang serupa dengan ini sebagaimana yang dikatakan bahawa Abu Hurairah R.A meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda:

لَمَّا أُسْرِيَ بِي إِلَى بَيْتِ المقْدِسِ مَرَّ بِي جبْرِيلُ بِقَبْرِ أَبِي إِبْرَاهِيمَ عَلَيْه السَّلام، فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ انْزِلْ فَصَلِّ هُنَا رَكْعَتَيْنِ؛ هَذَا قَبْرُ أَبِيكَ إِبْرَاهِيمَ. ثُمَّ مَرَّ بِي بِبَيْتِ لَحْمٍ، فَقَالَ: انْزِلْ فَصَلِّ هَاهُنَا رَكْعَتَيْنِ؛ فَإِنَّهُ هُنَا وُلِدَ أَخُوكَ عِيسَى عَلَيْه السَّلام. ثُمَّ أَتَى بِي إِلَى الصَّخْرَةِ، فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، مِنْ هُنَا عَرَجَ رَبُّكَ إِلَى السَّمَاء”.

Maksudnya:Ketika aku diisra’kan ke Baitul Maqdis, aku dan Jibril melalui kubur ayahandaku, Nabi Ibrahim AS, maka Jibril berkata: ‘Wahai Muhammad, turun dan solatlah dua rakaat di sini. Ini ialah kubur ayahandamu, Nabi Ibrahim AS.’ Kemudian kami melalui pula Baitul Lahm, lalu Jibril berkata: ‘Turun dan solatlah di sini dua rakaat kerana sesungguhnya di sini lahirnya saudaramu, Nabi Isa AS.’ Kemudian Jibril membawaku ke batu besar lalu Jibril berkata: ‘Wahai Muhammad, dari sinilah Tuhan kamu naik ke langit.’

Kisah ini diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam al-Majruhin (1/197), Ibn al-Marja dalam Fadha’il Bait al-Maqdis (hlm. 459), Ibn al-Jauzi dalam al-Maudhu‘at (1/113) dan dalam Fadha’il al-Quds (1/12). Ibn Hibban dalam kitabnya al-Majruhin (1/196) menyatakan, dalam sanad hadith ini terdapat perawi yang bernama Bakr bin Ziyad al-Bahili yang dinilai sebagai Syeikh Dajjal, yang memalsukan hadith daripada orang-orang thiqah, dan tidak boleh ditulis hadithnya di dalam kitab-kitab kecuali untuk diterangkan kecelaannya. Oleh kerana itu, Ibn Hibban menyatakan setelah meriwayatkan hadith ini: “Dan perkara ini tidak syak lagi bagi keseluruhan ahli hadith bahawa hadith ini adalah maudhu‘ (palsu).”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)