Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah puasa itu adalah satu amanah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud RA:
إنَّمَا الصَّومُ أمَانةٌ، فَلْيَحْفَظْ أحَدُكُمْ أَمَانَتَهُ.
Maksudnya: “Sesungguhnya puasa itu amanah, maka jagalah seseorang daripada kamu amanah- nya.”
Riwayat al-Khara’iti dalam kitab Makarim al-Akhlaq. Al-Hafiz al-Iraqi berkata: “Sanadnya Hasan.” (Lihat takhrij Ahadith al-Ihya’, hlm. 280)
Daripada Jabir R.A, katanya:
إِذَا صُمْتَ فَلْيَصُمْ سَمْعُكَ وَبَصَرُكَ وَلِسَانُكَ عَنِ الْكَذِبِ وَالْمَآثِمِ، وَدَعْ أَذَى الْخَادِمِ وَلْيَكُنْ عَلَيْكَ وَقَارٌ وَسَكِينَةٌ يَوْمَ صِيَامِكَ، وَلَا تَجْعَلْ يَوْمَ فِطْرِكَ وَيَوْمَ صِيَامِكَ سَوَاءً
Maksudnya: “Sekiranya kamu menjalankan ibadah puasa, maka hendaklah pendengaran, penglihatan dan kata-katamu juga berpuasa daripada berdusta dan perkara-perkara yang diharamkan. Dan janganlah menyakiti jiran. Bersikaplah tenang pada hari kamu berpuasa. Jangan jadikan hari kamu berpuasa dan tidak berpuasa itu sama sahaja.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (2/271)
Oleh itu, puasa merupakan suatu amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada seluruh hambanya dan kita sedia maklum bahawa puasa itu hukumnya adalah wajib. Maka, sama-samalah kita dalam berpuasa dengan sepenuh hati dan menjaga akhlak kita daripada melakukan dosa.
Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahua`lam.