#5607: Solat tanpa Sejadah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sah solat tanpa beralaskan sejadah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT menjadikan di setiap permukaan bumi sebagai tempat sujud (untuk mendirikan solat) di atasnya dan menjadikan tanahnya suci untuk bertayammum jika sekiranya ketiadaan air bagi umat Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda:

أُعْطِيتُ خَمْسًا لَم يُعْطِهِنَّ أَحَدٌ قَبْلِي.. وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا فَإيما رجل مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةَ فَلْيُصَلِّ

Maksudnya: Aku (Rasulullah SAW) diberikan lima kemuliaan yang tidak diberikan kepada sesiapapun sebelum aku.. (antaranya) dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, dimana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.

RIwayat al-Bukhari (438)

Sabda Baginda, ‘وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا’ (Dan dijadikan bumi untukku sebagai masjid), yakni tempat sujud. Sujud tidak hanya khusus pada tempat tertentu di sebahagian bumi tanpa yang lainnya. Ada kemungkinan yang dimaksudkan adalah kiasan bagi tempat yang khusus dibangunkan untuk solat, dan ini termasuk gaya bahasa majaz tasybih (kiasan penyerupaan). Kerana tatkala dibolehkan solat pada semua tempat, maka keadaannya sama seperti masjid. (Lihat Fath al-Bari, 2/581)

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.” (Lihat Taj al-‘Arus, 8/174)

Oleh itu secara umumnya, harus hukumnya untuk mendirikan solat di mana sahaja tanah mahupun lantai tanpa menggunakan alas atau sejadah kerana ia merupakan satu kemuliaan yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Meskipun begitu, terdapat beberapa tempat yang dikecualikan daripada diharuskan sujud di atasnya, seperti di atas kuburan dan tandas. Di dalam satu hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلّا المَقْبَرَةَ وَالحَمَّامَ

Maksudnya: “Setiap jengkal di bumi ini merupakan masjid (tempat sujud untuk solat) kecuali di atas kuburan dan tandas.”

Riwayat al-Tirmizi (236), Ibn Majah (737) dan Abu Daud (415)

Begitu juga, jika sekiranya sesuatu tempat tersebut tersebut terdapat najis, maka tidak boleh didirikan solat di atasnya. Hal ini kerana para fuqaha’ telah menetapkan bahawa antara syarat sah solat adalah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Manakala, jika najis tersebut hanya berdekatan dengan tempat solat kita, maka hukumnya adalah makruh.  (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, 203)

Oleh itu, kami katakan solat tanpa beralaskan sejadah adalah sah dan harus hukumnya. Namun, jika tempat tersebut mempunyai najis, maka tidak boleh untuk kita solat di atasnya. Bahkan jika hanya berdekatan dengan kawasan tempat kita solat, maka hukumnya adalah makruh.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Surah Ibrahim (40-41)