#5612: Salasilah Imam Malik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah datuk Imam Malik termasuk dalam kalangan sahabat Nabi SAW? Boleh terangkan salasilah beliau?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Maka, tanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Lafaz Ahl al-Zikr yakni ‘orang yang mempunyai pengetahuan’ dalam ayat di atas  adalah bersifat umum, merangkumi al-Mafdhul dan al-Afdhal. Selain itu, di antara hujah mereka  yang lain ialah keputusan (kata putus) pada zaman sahabat iaitu dengan fatwa daripada setiap sahabat termasuklah daripada kalangan mereka yang mafdhul, dan perkara ini dianggap sebagai ijma‘ daripada mereka (para sahabat) akan keharusannya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/87-88)

Beliau ialah Abu ‘Abdillah Malik bin Anas ibn Malik bin Abi Amir bin Amr bin al-Harith ibn Ghaiman bin Husail ibn Amr bin al-Haris al-Asbahi al-Madani. Kunyah-nya Abu ‘Abdillah, manakala laqab-nya al-Asbahi, al-Madani, al-Faqih, al-Imam Dar al-Hijrah. (Lihat al-Mausu‘ah Rijal al-Kutub al-Tis‘ah oleh Abdul Gafur Sulaiman al-Bandari, hlm. 494)

Datuknya yang kedua, Abu ‘Amir bin ‘Amru R.A adalah salah seorang daripada sahabat Rasulullah SAW, yang berperang bersama Rasulullah SAW kecuali di dalam Peperangan Badar. Datuk Imam Malik yang pertama pula ialah Malik bin Amar dari golongan tabi’in dan gelarannya Abu Anas.

Datuk Imam Malik antara mereka yang berempat, yang menghantar jenazah Khalifah Uthman RA pada waktu malam dan terus memandikan dan mengebumikannya. Beliau turut bersama Khalifah Uthman RA semasa menyerang Afrika dan menakluknya. Datuknya adalah salah seorang penulis ayat suci al-Quran pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman RA.

Sejarah Anas, bapa bagi Imam Malik, tidak disebutkan di dalam buku-buku sejarah. Apa yang diketahui, beliau tinggal di suatu tempat yang bernama Zulmarwah, nama suatu tempat padang pasir di Utara Madinah.

Manakala Ibu Beliau bernama al-’Aliah bin Syarik bin Abd Rahman bin Syarik al-Azdiyyah. Azd merupakan kabilah arab yang terkenal dan ia dinisbahkan kepada al-Azd bin Ghaus bin Nabt bin Malik bin Udad bin Zaid bin Kahlan. Ibu dan bapa beliau bertemu disebabkan mereka berasal daripada Arab Yaman. (Lihat al-Imam Malik bin Anas Imam Dar al-Hijrah, hlm. 24)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”