#5614: Kelahiran dan Keturunan Imam Abu Hanifah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami, bila dan dimana Imam Abu Hanifah lahir serta keturunannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”.

Riwayat Abu Daud (3641). Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya.

Imam al-Zahabi menyebutkan, Imam Abu Hanifah dilahirkan pada tahun 80 hijrah, semasa sighar al-sahabah masih lagi hidup. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 6/391). Begitu juga Wahbi Sulaiman Ghawaji turut menyatakan, Imam Abu Hanifah dilahirkan di Kufah pada tahun 80 Hijrah – menurut pandangan yang tepat – pada zaman Khalifah ‘Abd al-Malik bin Marwan. Dikhabarkan daripada Ismail bin Hamad bin Nu’man bin Thabit bin al-Murzaban: Datukku dilahirkan pada tahun 80 Hijrah, kemudian Thabit pergi berjumpa dengan Ali bin Abu Talib ketika beliau masih lagi kecil dan beliau  mendoakan keberkatan baginya (Abu Hanifah) dan zuriatnya. (Lihat Abu Hanifah al-Nu’man Imam A’immah al-Fuqaha’, hlm. 47-48).

Nama Sebenar Imam Abu Hanifah dan Keturunannya

Nama sebenar Imam Abu Hanifah ialah al-Nu’man dan keturunan beliau yang selanjutnya adalah sebagaimana di bawah ini:

Thabit, Zuta, Ma’ah, Muli-Taimullah dan akhirnya Tha’labah. Ahli sejarah ada pula yang berpendapat bahawa Imam Abu Hanifah berasal dari bangsa Arab, dari suku (Bani) Yahya bin Asad dan ada yang mengatakan beliau berasal dari keturunan Ibn Rusyd al-Ansari.

Pendapat di atas adalah tidak benar dan pendapat yang sebenar ialah beliau keturunan berbangsa Parsi. Sebagai buktinya, keturunan beliau adalah seperti berikut:

Al-Nu’man, Thabit, al-Marzuban. Al-Marzuban ialah perkataan Parsi yang bererti Ketua Kaum Parsi (merdeka). Bukti yang kedua pula ialah disebabkan perkataan Zuta, ada di antara susunan keturunan beliau. Perkataan Zuta ialah perkataan bangsa asing (Ajam).

Justeru, para tokoh sejarah Islam menyatakan bahawa beliau bukan berasal daripada keturunan Arab dan beliau dikenali sebagai golongan mawla (gelaran kepada mereka yang tidak berbangsa Arab atau tidak berasal daripada keturunan Arab), iaitu mawla kepada Bani Taym Allah bin Tha‘labah daripada keturunan Bakr bin Wa’il. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 6/368; al-Kamil fi al-Du’afa’ al-Rijal oleh Ibn ‘Uday al-Jurjani, 8/235;  Wafayat al-A’yan, 5/405; Tahzib al-Kamal, 29/418; Siyar A’lam al-Nubala’, 6/390; Tahzib al-Tahzib, 4/229 dll.)

Ada pula pendapat yang mengatakan bahawa beliau adalah termasuk daripada golongan orang-orang yang diceritakan oleh hadith Rasulullah SAW, sepertimana riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa sabda Baginda SAW:

 لَوْ كَانَ الْعِلْمُ بِالثُّرَيَّا، لَتَنَاوَلَهُ نَاسٌ مِنْ أَبْنَاءِ فَارِسَ

Maksudnya: “Sekiranya ilmu (agama) berada di bintang al-Thurayya, maka tentu akan dicapai oleh manusia daripada anak-anak orang Parsi.”

 Riwayat al-Bukhari (4897) dan Muslim (2546)

Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith ini mengatakan ia berkemungkinan kesungguhan Salman al-Farisi di dalam mencari kebenaran atau cahaya hidayah. Hadith ini juga boleh membawa maksud orang atau bangsa ‘ajam (asing) keseluruhannya (bukannya hanya Parsi sahaja) kerana kesemua itu tergolong dalam orang-orang yang buta huruf (belum mendapat hidayah seperti orang Arab di zaman Jahiliyyah) ataupun ia hanya khusus kepada orang (bangsa) Parsi sahaja (dan bukannya bangsa selain Parsi). (Lihat Mirqah al-Mafatih, 9/4005)

Bapa Imam Abu Hanifah

Bapa Imam Abu Hanifah dilahirkan sebagai Islam dan beberapa pendapat ahli sejarah mengatakan beliau dilahirkan di Tarmuz dan Nisa. Bapa Imam Abu Hanifah ialah seorang peniaga, dan satu keturunan dengan bapa saudara Rasulullah SAW. Manakala neneknya pula, Zuta adalah hamba kepada suku (Bani) Tamim Allah. Ada pula pendapat yang tidak bersetuju dengan perhambaan. Mereka berkata bahawa Imam Abu Hanifah berketurunan dari bangsa Parsi.

Ibu Imam Abu Hanifah

Dikatakan ibu Imam Abu Hanifah seorang yang mengambil berat terhadap anaknya iaitu Nukman nama bagi Imam Abu Hanifah. Setiap kali mahu pergi menuntut ilmu, sudah pasti ibunya memberi tips dan nasihat. Yang menghairankan Imam Abu Hanifah ghalibnya (kebiasaannya) nasihat tersebut benar-benar mengena sasaran dan perlakuan yang telah dilakukan oleh Imam Abu Hanifah. Pernah suatu ketika bajunya terkena dakwat menyebabkan dia bergegas ke sumur yang ketika itu ramai wanita yang sedang membasuh baju di situ. Didapati ibunya juga bersama di situ. Tatkala ditanya, kenapa ibu berada di sini, jawab ibunya untuk membasuh baju Nukman. Dari situ fahamlah Imam Abu Hanifah yang ibunya begitu bersungguh-sungguh memerhati gerak-gerinya dari jarak jauh agar anaknya benar-benar menjadi insan rabbani dan ulama pada masa akan datang. Itulah hebatnya ibu Imam Abu Hanifah.

Anak Imam Abu Hanifah

Salah seorang anak Imam Abu Hanifah bernama Hammad bin Abi Hanifah, seorang yang mempunyai ilmu agama dan warak. Tatkala Abu Hanifah meninggal dunia, beliau meninggalkan banyak harta sedangkan kaum keluarganya berjauhan. Lantas Hammad membawa semua hartanya kepada Hakim untuk diserahkan. Hakim berkata: “Bahkan (sepatutnya) kamu simpan kerana kamu layak.” Jawabnya: “Timbanglah dan simpanlah sehingga selesai zimmah atau tanggungjawab bapaku. Kemudian lakukan mengikut keputusanmu.” Lantas Qadhi melaksanakannya sehingga kekal dalam timbangannya dan hisabnya beberapa hari. Hammad tidak muncul sehingga Qadhi menyerahkannya semula.

Hammad meninggal dunia pada tahun 176 Hijrah. Sedangkan bapanya meninggal dunia pada tahun 150 Hijrah. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/403)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)