#5616: Kelahiran dan Keturunan Imam Ahmad bin Hanbal

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami sejarah kelahiran dan keturunan Imam Ahmad bin Hanbal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ

Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”

Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/165)

Imam Ahmad bin Hanbal dilahirkan di kota Baghdad pada bulan Rabiul Awal, tahun 164H. Ada pendapat menyatakan, beliau dilahirkan pada bulan Rabiul Akhir seperti yang dinyatakan oleh Abdullah bin Ahmad dan Ahmad bin Abu Khaithamah.

Nama beliau ialah Abu ‘Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris bin ‘Abdillah bin Hayyan bin ‘Abdillah bin Anas bin ‘Auf bin Qasit bin Mazin bin Syaiban bin Zuhl bin Tha‘labah bin ‘Ukabah bin Sa‘b bin ‘Ali bin Bakr bin Wa’il bin Qasit bin Hathab bin Afsa bin Da‘ma bin Jadilah bin Asad bin Rabi‘ah bin Nizar bin Ma‘d bin ‘Adnan. Beliau digelar al-Mururi dan kemudian al-Baghdadi.

Keturunan Ibn Hanbal bertemu dengan keturunan Rasulullah SAW, iaitu Mazin bin Muad bin Adnan. Ibn Hanbal terkenal dengan nama datuknya, “Hanbal.”

Orang ramai memanggilnya dengan nama Ibn Hanbal, sedangkan Hanbal adalah datuknya. Sementara bapanya ialah Muhammad. Ini adalah kerana datuknya lebih masyhur daripada bapanya.

Bapanya ialah seorang pejuang yang handal. Manakala datuknya merupakan seorang gabenor bagi wilayah “Sarkhas” dalam jajahan Khurasan pada zaman pemerintahan Umawiyyin. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/178; al-Thiqat, 8/18)

Bapa Imam Ahmad bin Hanbal meninggal dunia semasa beliau masih kecil dan beliau tidak sempat untuk mengenali bapanya. Beliau menjadi yatim semenjak kecil dan dijaga oleh ibunya. Nama ibunya ialah Safiyyah binti Maimunah binti ‘Abd al-Malik bin Sawadah bin Hindun al-Syaibani, dari suku Amir. Ibunya adalah seorang Arab dari keturunan Syaibaniyyah, sama seperti bapanya. Ibu beliau mengandungkan beliau ketika di kota Marwa al-Syahajan – Khurasan, kemudian berhijrah ke Baghdad.

Suku atau kabilah Syaiban terletak di Basrah. Oleh itu, beliau digelar Basri (orang Basrah). Apabila beliau menziarahi Basrah, beliau akan sembahyang di Masjid Mazin, dari keturunan Syaiban. Beliau pernah berkata: Masjid ini adalah masjid datuk moyangku.

Jelaslah di sini bahawa ibu Imam Ahmad bin Hanbal adalah seorang yang tinggi kedudukannya. Malah, pada pandangan anaknya, seperti yang diceritakan oleh beliau sendiri: Apabila beliau keluar menuju ke Kufah, beliau terkena demam panas. Beliau berkata: “Kemudian, aku kembali kepada ibuku dan meminta belas kasihan daripadanya kerana sebelum itu aku tidak meminta izin daripada ibuku.”

Percakapan Imam Ahmad bin Hanbal seolah-olah menunjukkan bahawa beliau terkena penyakit demam panas kerana beliau tidak meminta izin daripada ibunya.

Imam Ahmad bin Hanbal hidup sebagai seorang yang merendah diri dan miskin kerana bapanya tidak meninggalkan harta kepadanya kecuali sebuah rumah kecil yang didudukinya dan sebidang tanah kecil. Beliau hidup di dalam kesusahan sehingga beliau terpaksa bekerja untuk menyara kehidupannya. Beliau pernah bekerja di kedai-kedai, seperti yang diceritakan oleh Ibn Rajab al-Hanbali. Kadangkala, beliau memungut sisa-sisa makanan yang ditinggalkan selepas musim menuai, selepas mendapat keizinan daripada tuannya. (Lihat Manaqib al-Imam Ahmad, hlm. 14; Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/179)

Satu riwayat menceritakan bahawa jika Ahmad Ibn Hanbal ditanya mengenai asal-usul sukunya, maka dia menyatakan bahawa dia adalah anak dari suku orang-orang miskin. (Lihat Tahzib al-Tahzib oleh Ibn Hajar al-Asqalani, 1/83)

Pada masa yang lain, beliau mengambil upah menulis, menenun kain atau menjualnya. Adakalanya, beliau terpaksa mengambil upah membawa barang-barang di jalan. Beliau sangat mengambil berat tentang perkara yang halal dan tidak menerima perkara-perkara yang syubhah. Beliau juga tidak menerima hadiah atau pemberian daripada sesiapa.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)