#5620: Ingatan Imam Malik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Malik mempunyai hafazan yang luar biasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

Maksudnya: “Barang siapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan, maka Allah akan memberinya kefahaman di dalam agama.”

Riwayat Muslim no 1037

Imam Malik lahir pada tahun 93 H di Zu al-Marwah, yang terletak di utara Madinah al-Munawwawah, iaitu 13 tahun selepas kelahiran Abu Hanifah.

Imam Malik adalah seorang penghafaz al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW. Ingatannya kuat dan sudah menjadi kebiasaan bagi Imam Malik membuat kesimpulan berkenaan dengan hadith-hadith yang diajar oleh gurunya. Pada suatu hari, beliau mendengar sebanyak 30 hadith daripada seorang guru bernama Ibn Syihab. Beliau dapat menghafaz sebanyak 29 hadith sahaja. Kemudian, beliau menemui Ibn Syihab lalu bertanya perihal hadith yang beliau terlupa itu.

Gurunya bertanya, “Bukankah kamu hadir dalam majlis hadith itu?” Beliau menjawab, “Benar, saya ada bersama Tuan.” Ibn Syihab bertanya lagi, “Mengapakah kamu tidak menghafaz hadith itu?” Imam Malik menjawab, “Ada 30 hadith kesemuanya, tetapi saya hanya terlupa satu sahaja.”

Ibn Syihab berkata, “Memang ramai manusia jadi pelupa. Begitu juga dengan aku. Bacakan kepadaku hadith yang kamu ingat.” Imam Malik pun membaca semua hadith yang beliau hafaz. Kemudian Ibn Syihab menyebut hadith yang tidak dapat dihafaz oleh Imam Malik.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”