#5624: Imam Ahmad Menuntut Ilmu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami bagaimana cara Imam Ahmad menuntut ilmu dan gurunya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oeh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Pada ayat ini, Allah S.W.T dengan jelas menyatakan suruhan untuk sebahagian umat Islam mempelajari ilmu agama dan kemudiannya mengajarkannya pada orang ramai. Syeikh al-Sa’di ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah S.W.T menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). (Lihat: Tafsir al-Sa’di; hlm.355)

Imam Ahmad bin Hanbal menghafaz al-Quran dan mempelajari bahasa. Beliau belajar menulis dan mengarang Diwan (seperti syair) ketika umurnya empat belas tahun. Beliau hidup sebagai seorang yang cintakan ilmu dan sangat berusaha keras, sehinggakan ibunya berasa kasihan kerana kegigihan beliau dalam menuntut ilmu.

Pernah suatu ketika, beliau ingin keluar menuntut ilmu sebelum terbit fajar, tetapi ibunya menasihati beliau supaya melewatkan sedikit pemergiannya sehingga manusia bangun dari tidur. Hampir separuh daripada pembelajaran beliau dipelajari daripada Abi Yusuf.

Pada peringkat permulaan, beliau hanya menyalin kitab-kitab berdasarkan kepada pemikiran serta menghafalnya. Kemudian, beliau mula menuntut ilmu dan mencari hadith ketika umur beliau mencecah 15 tahun di beberapa tempat pada tahun 179 Hijrah, dan antara guru pertama yang beliau ambil darinya hadith adalah Husyaim bin Busyair al-Wasiti. Imam Ahmad mula mulazamah dengan gurunya Husyaim pada tahun 180 Hijrah sehingga tahun 183 Hijrah.

Pada tahun 180 Hijrah ini juga, Imam Ahmad mula mengumpul, menyusun dan menulis hadith untuk kitabnya al-Musnad. Projek besar ini tidak sempat disempurnakannya kecuali dengan bantuan dan usaha anaknya Soleh dan ‘Abdullah serta anak saudaranya yang meneruskan usahanya dan akhirnya usaha besar ini dapat disempurnakan oleh mereka dengan beberapa suntingan beberapa tahun selepas kematian Imam Ahmad. Hal yang demikian kerana, Imam Ahmad memuatkan dengan lebih kurang 750,000 hadith dalam kitab beliau. Kemudian disaring menjadikannya 28,141 buah hadith yang termuat dalam al-Musnad. Mengikut Imam Suyuti, jumlahnya 40,000 dan 10,000 daripadanya yang berulang. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/329)

Antara gurunya yang terawal juga adalah Ali bin Hasyim bin al-Barid. Imam Ahmad hanya sempat belajar dengan beliau dalam satu majlis sahaja dan tidak sempat dalam majlis seterusnya kerana ketika mana Imam Ahmad ingin menghadiri majlisnya yang lain, beliau sudah pun meninggal dunia. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/184)

Walaupun keadaan dirinya miskin, ini tidak menghalang beliau mengembara ke kota Makkah, Madinah, Yaman, Syam, Kufah, Basrah dan Jazirah (Semenanjung Tanah Arab) untuk menuntut ilmu. Pengembaraannya yang pertama ialah ke Kufah, iaitu pada tahun 182 Hijrah, sebelum gurunya Husyaim bin Busyair meninggal dunia. Beliau ketika itu berusia 20-an. Pendapat lain, Imam Ahmad mula bermusafir ke Kufah pada tahun 183 H, seperti dalam riwayat ‘Abdullah bin Ahmad. (Lihat Manaqib al-Imam Ahmad, hlm. 29; Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/183-184)

Beliau sempat mengambil daripadanya hadith-hadith berkenaan haji lebih daripada 1,000 hadith, sebahagian tafsir, kitab qadha’ dan banyak kitab-kitab kecil. (Lihat Ahmad Bin Hanbal Imam Ahl al-Sunnah, hlm. 30)

Pada tahun 186 Hijrah, buat pertama kalinya beliau mengembara ke Basrah pada bulan Rejab, dan mengambil hadith dari al-Mu‘tamir bin Sulaiman. Beliau turut bermusafir ke beberapa negeri seperti Iraq, Hijaz, Tihamah dan Yaman. Beliau belajar dan menulis lebih 300,000 hadith daripada Bahz bin Asad dan ‘Affan. ((Lihat Manaqib al-Imam Ahmad, hlm. 31; Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/183; Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/183-184)

Pada tahun berikutnya, bertemu Sufyan bin ‘Uyainah di Makkah untuk mengambil ilmu daripadanya. Dan pada tahun yang sama, iaitu pada tahun 187 Hijrah, beliau mengerjakan haji buat kali yang  pertama (mengikut sejarah beliau mengerjakan haji sebanyak 5 kali sepanjang hayatnya). Semasa di Makkah itulah, beliau buat pertama kalinya bertemu dengan Imam al-Syafi‘i, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sulaiman bin Harb dan Ibn ‘Uyainah Hayy. Dalam rehlah ini, beliau juga sempat belajar dengan Ibrahim bin Sa‘d. Beliau pernah mengerjakan sembahyang di belakang Ibrahim lebih dari sekali. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/183,  Imam Ahmad Imam Ahl al-Sunnah, hlm.33;  al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/382)

Benarlah kata Imam Ahmad:

رَحَلْتُ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ وَالسُّنَّةِ إِلَى الثُّغُورِ، وَالشَّامَاتِ، وَالسَّوَاحِلِ، وَالْمَغْرِبِ، وَالْجَزَائِرِ، وَمَكَّةَ، وَالْمَدِينَةِ، وَالْحِجَازِ، وَالْيَمَنِ، وَالْعِرَاقَيْنِ جَمِيعًا، وَفَارِسَ، وَخُرَاسَانَ، وَالْجِبَالِ، وَالْأَطْرَافِ، ثُمَّ عُدْتُ إِلَى بَغْدَادَ

Maksudnya: “Aku mengembara menuntut ilmu dan juga sunnah ke segenap  pelusuk, Syam, lembah-lembah, dan Maghrib, Jaza’ir, Makkah, Madinah, Hijaz, Yaman, Iraq, Parsi, dan Khurasan, dan bukit-bukit, kemudian aku pulang ke Baghdad.” (Lihat Sifat al-Mufti wa al-Mustafti, hlm. 291)

Kata beliau lagi:

اسْتَفَادَ مِنَّا الشَّافِعِيُّ أَكْثَرَ مِمَّا اسْتَفَدْنَا مِنْهُ

Maksudnya: “Al-Syafi‘i mendapat faedah daripada kami lebih banyak dari faedah yang kami dapat daripadanya.”

Kata-kata beliau ini disokong sendiri oleh Imam al-Syafi‘i, katanya:

‌مَا ‌اسْتَفَادَ ‌مِنَّا ‌أَكْثَرَ مِمَّا اسْتَفَدْنَا مِنْهُ

Maksudnya: “Tidaklah Imam Ahmad mendapat faedah dari kami lebih banyak berbanding kami mengambil faedah dari beliau.” (Lihat Manaqib al-Syafi‘i, 2/315)

Abu al-Wafa’ Ali bin ‘Aqil pula berkata:

قَدْ خَرَجَ عَنْ أَحْمَدَ اخْتِيَارَاتٌ، بَنَاهَا عَلَى الْأَحَادِيثِ بِنَاءً لَا يَعْرِفُهُ أَكْثرهُمْ، وَخَرَجَ عَنْهُ مِنْ دَقِيقِ الْفِقْهِ مَا لَيْسَ نرَاهُ لِأحَدٍ مِنْهُمْ، وَانْفَرَدَ بِمَا سَلَّمُوهُ لَهُ مِنَ الْحِفْظِ، وَشَارَكَهُمْ، وَرُبَّمَا زَادَ عَلَى كِبَارِهِمْ

Maksudnya: “Telah keluar dari Ahmad beberapa ijtihad yang terbina di atas hadith-hadith dengan cara yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Begitu juga telah keluar darinya beberapa fiqh yang daqiq (mendalam) yang kami tidak pernah melihatnya daripada orang lain. Dan beliau bersendirian dengan apa yang mereka terima daripadanya dari hafazan dan beliau menyertai mereka. Dan boleh jadi beliau menambah ilmu dan dapatan kajian ke atas orang yang lebih tua dari kalangan mereka.” (Lihat al-Madkhal ila Mazhab al-Imam Ahmad, hlm. 106)

Tidak hairanlah Imam Ahmad bin Hanbal mengambil berat tentang riwayat dengan caranya yang tertentu. Hadith adalah asas dan tiang, faedahnya tidak akan didapati dengan baik dan sempurna sekiranya tidak dijaga, dihalusi serta diketahui jalan-jalannya. Beliau berkata: “Sesiapa yang tidak menghimpunkan hadith bersama-sama dengan jalannya, maka tidak harus baginya memberi hukum dan fatwa terhadap hadith itu.” (Lihat al-Madkhal ila Mazhab al-Imam Ahmad, hlm. 369)

Pada tahun 190 Hijrah, Imam Ahmad kembali ke Basrah dan menyambung pengajian beliau bersama al-Mu‘tamir. Ini merupakan rehlah kedua beliau ke Basrah. Dalam perjalanan, beliau sempat bertemu buat kali kedua dengan Imam al-Syafi‘i ketika di Baghdad, di mana Imam al-Syafi‘i berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Abdillah sekiranya terdapat di sisi kamu hadith yang sahih aku akan pergi mendapatkannya sama ada di Hijaz, Syam, ‘Iraq atau Yaman.” (Lihat Imam Ahmad Imam Ahl al-Sunnah, hlm. 86)

Empat tahun kemudian, rehlah ketiga beliau ke Basrah untuk belajar dengan Abu Sa‘id Yahya bin Sa‘id bin Farrukh al-Qattan al-Tamimi al-Basri selama enam bulan, sebelum meneruskan perjalanan menuntut ilmunya ke Wasit untuk berguru dengan Abu Khalid Yazid bin Harun bin Zadhi al-Sulami al-Wasiti. Pada tahun ini, beliau turut belajar dengan Sulaiman bin Harb, Abu al-Nu’man ‘Arim dan Abu ‘Umar al-Haudhi. (Lihat Manaqib al-Imam Ahmad Ibn Hanbal, hlm. 33)

Imam Ahmad juga turut belajar dengan Imam al-Syafi‘i ilmu fiqh dan usul fiqh ketika berada di Hijaz, pada tahun 195 Hijrah.  (Lihat Ahmad Ibn Hanbal: The Saint Scholar of Baghdad, hlm. 98)

Pada tahun 199 Hijrah, beliau bermusafir ke Yaman untuk bertalaqqi dengan penulis kitab al-Musannaf, ‘Abd al-Razzaq al-San‘ani. Antara rakan sepengajian beliau yang turut sama menulis hadith dari ‘Abd al-Razzaq adalah Yahya bin Ma‘in dan Ishaq bin Rahawaih. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/382; Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/184)

Tahun 209 merupakan tahun terakhir permusafiran beliau menuntut ilmu, kemudian, beliau tidak lagi meninggalkan Baghdad sehinggalah peristiwa mihnah pertama berlaku, iaitu fitnah al-Quran dikatakan makhluk. (Lihat Tarjamah al-Imam Ahmad bin Hanbal, hlm. 25)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”