Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Syafi’i lahir pada tarikh Abu Hanifah meninggal dunia?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Berkenaan tarikh kelahiran Imam al-Syafi‘i, riwayat-riwayat yang ada sepakat menyatakan bahawa Imam al-Syafi‘i dilahirkan pada tahun ini, 150 hijrah dan ia juga merupakan tahun di mana Imam Abu Hanifah meninggal dunia. Imam al-Syafi‘i dilahirkan pada hari Jumaat akhir bulan Rejab di siang hari. Sebahagian riwayat menambah, beliau dilahirkan pada malam kewafatan Imam Abu Hanifah. Menurut Abu Zuhrah, tambahan ini hanyalah untuk orang mengatakan bahawa seorang Imam telah meninggal dunia lalu seorang Imam yang lain telah datang pada malam kematiannya (untuk menggantikannya), dan tidak ada apa-apa kelebihan pun dalam penambahan tersebut. (Lihat al-Imam al-Syafi‘i Faqih Sunnah al-Akbar, hlm. 44; Al-Syafi‘i: Hayatuhu wa ‘Asruhu — Ara’uhu wa Fiqhuhu oleh Abu Zuhrah, hlm. 14)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”