#5628: Imam Malik Seorang yang Miskin?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Malik semasa belajar ilmu, beliau adalah seorang yang miskin, tetapi akhirnya beliau menjadi kaya raya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Imam Malik adalah seorang guru yang miskin. Rakannya Abu al-Qasim berkata: “Aku pernah bersama Imam Malik semasa menuntut ilmu. Pada suatu hari, kayu bumbung rumahnya telah roboh, lalu beliau menjual kayu itu untuk mendapatkan sedikit wang bagi perbelanjaan hidupnya. Tetapi pada akhirnya, beliau dimurahkan rezeki sehingga beliau menjadi seorang yang kaya. 

Setelah Imam Malik meningkat remaja, beliau mendapat kemudahan untuk perbelanjaan hidupnya. Menurut apa yang diketahui, Imam Malik hidup di dalam kemiskinan selama beberapa tahun. Sebagai buktinya, anak perempuannya selalu menangis kelaparan kerana kemiskinan dan berkat kesungguhan, akhirnya beliau menjadi seorang yang kaya raya.

Imam Malik banyak menerima bantuan, seperti derma sehingga khalifah Harun al-Rasyid pernah menghantar derma kepadanya sebanyak 3000 dinar. Sebelum beliau menjadi kaya, beliau hanya memiliki wang sebanyak 400 dinar sahaja. Dengan wang inilah beliau mengeluarkan modal untuk perniagaannya. Beliau tidak berniaga sendiri, tetapi beliau memberi modal kepada seorang peniaga dengan membahagikan keuntungan yang diterima. Pemberian modal untuk berniaga, kemudian mendapat keuntungan dan dibahagikan, iaitu dinamakan sebagai “al-Mudharabah.”

Setelah menjadi kaya, beliau memakai pakaian yang mahal, seperti pakaian-pakaian yang datang dari Aden, Kharasan dan Mesir serta memakai bau-bauan yang wangi. Imam Malik mempelajari pelbagai disiplin bidang ilmu pengetahuan, seperti ilmu hadith, al-Rad ala ahli al-Ahwal, petua-petua daripada sahabat-sahabat dan ilmu fiqh Ahli al-Ra’yi. Imam Malik adalah seorang yang sangat aktif dalam menuntut ilmu dan beliau banyak berhubung dengan ahli-ahli hadith dan ulama.

Keilmuannya mula diiktiraf seawal usia 21 tahun, dan mendapat keahlian untuk mengeluarkan fatwa serta mengajarkan ilmu.  Ramai penuntut ilmu dari segenap kawasan datang mengambil ilmu ketika beliau masih pada usia yang sangat muda, semenjak dari akhir pemerintahan Abu Ja‘far al-Mansur dan selepas itu. Mereka berduyun-duyun mendatanginya semasa pemerintahan al-Rasyid sehingga beliau meninggal dunia. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 8/55)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”