#5630: Abu Hanifah Sempat dengan Beberapa Sahabat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Abu Hanifah sempat dengan beberapa sahabat Nabi SAW? Boleh jelaskan hal tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Menjawab persoalan di atas, para ulama hadith telah bersepakat bahawa empat sahabat Rasulullah SAW sempat hidup pada era Imam Abu Hanifah meskipun mereka berbeza pendapat mengenai periwayatan hadith oleh Abu Hanifah daripada mereka. Justeru, adanya kemungkinan bahawa Imam Abu Hanifah telah bertemu dan mendengar hadith (mengambil ilmu) daripada mereka sebelum mereka meninggal dunia. Apatah lagi, diceritakan bahawa Imam Abu Hanifah telah menunaikan haji sebanyak 55 kali. Dikatakan bahawa beliau keluar bersama ayahnya menunaikan fardhu haji dan menziarahi maqam Nabi Muhammad SAW serta masjid Baginda pada 96 hijrah.   Beliau juga berasal daripada keluarga yang senang, di mana jika beliau ingin keluar atau mengadakan rehlah bagi bertemu dengan mereka adalah sesuatu yang mudah baginya.

Empat sahabat R.Anhum tersebut ialah:

  1. Abdullah bin Abu Aufa R.A meninggal dunia pada 86 atau 87 hijrah. Pada ketika itu umur Imam Abu Hanifah adalah sekitar 6 atau 7 tahun. Beliau berpindah ke bumi Kufah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Imam Abu Hanifah pernah bertemu dengan Abdullah bin Abi Aufa serta mendengar dan meriwayatkan hadith daripadanya.

Imam Ahmad bin Hanbal menukilkan bahawa apabila kanak-kanak itu sudah berakal dan dhabit, maka sah sama‘ hadithnya. Manakala al-Hafiz al-Qadhi ‘Iyadh pula menyebutkan, para ahli hadith menetapkan bahawa keabsahan sama‘ hadith adalah orang yang sudah berusia setidak-tidaknya lima tahun. Namun, Ibn al-Salah mengatakan bahawa penetapan dengan batasan/had lima tahun adalah sesuatu yang sudah ditentukan atau diterima dalam kalangan ahli hadith mutaakhirin (terkemudian). Oleh itu, yang dianggap relevan dalam menilai kesahihan sama‘ hadith ialah apabila seseorang kanak-kanak itu sudah mumayyiz (dapat membezakan baik dan buruk), maka ia dianggap sebagai sah walaupun umurnya belum lagi mencecah lima tahun. Begitulah juga sekiranya seseorang itu belum lagi mumayyiz sekalipun usianya sudah mencecah 50 tahun, maka tidak sah sama‘ hadithnya. Oleh yang demikian, tidak diingkari sama‘ hadith Abu Hanifah daripada Abdullah bin Abu Aufa.

  1. Sahl bin Sa’ad al-Sa‘idi R.A juga merupakan salah seorang sahabat yang sempat hidup di zaman Imam Abu Hanifah. Beliau meninggal dunia pada 88 hijrah dan dikatakan juga pada 91 hijrah. Beliau ialah sahabat yang terakhir meninggal dunia di Madinah.
  2. Anas bin Malik R.A meninggal dunia pada tahun 91 hijrah bahkan ada pendapat yang mengatakan pada 93 hijrah. Ketika itu umur Imam Abu Hanifah sekitar 11 atau 13 tahun. Diriwayatkan bahawa Anas bin Malik berpindah ke Basrah pada zaman Khalifah Umar untuk menyampaikan ilmu agama. Ditambah lagi, turut diceritakan Imam Abu Hanifah memasuki Basrah lebih daripada 20 kali dan menetap di sana selama setahun atau dua tahun setiap kali kunjungannya ke sana bagi berdebat dengan golongan muktazilah, ahl al-Ahwa’.

Al-Khatib al-Baghdadi dan al-Zahabi menyebutkan, Imam Abu Hanifah pernah bertemu dengan Anas bin Malik R.A ketika musafirnya ke Kufah. Walau bagaimanapun, pendapat yang paling tepat, beliau tidak pernah meriwayatkan secara langsung daripada mana-mana sahabat Nabi SAW. (Lihat Akhbar Abi Hanifah wa Ashabuhu, hlm. 18; al-Khairat al-Hisan, hlm. 76; Siyar A‘lam al-Nubala’, 6/391; The Four Juristic Schools, Their Founders, Development, Methodology, Legacy, hlm. 16).

  1. Abu al-Tufail ‘Amir bin Wathilah R.A meninggal dunia di Makkah pada tahun 102 hijrah. Beliau ialah sahabat yang paling akhir meninggal dunia di atas muka bumi dan tiada lagi sahabat Nabi selepasnya.

Keempat-empat sahabat ini disepakati dalam kalangan ahli hadith bahawa mereka sempat hidup pada zaman Imam Abu Hanifah. Namun, al-Suyuti meriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah sempat bertemu dengan tujuh orang sahabat R.Anhum iaitu Anas bin Malik, Abdullah bin Unais, Abdullah bin al-Zubaidi, Jabir bin Abdullah, Ma‘qil bin Yasar, Wathilah bin al-Asqa‘ dan Aisyah binti ‘Ajrad. (Lihat Hayah al-Imam Abu Hanifah, oleh al-Sayyid al-‘Afifi, hlm. 29-31)

Dikatakan beliau bertemu dengan sahabat Abdullah bin al-Harith bin Jaz’in al-Zubaidi dan mendengar hadith daripadanya.  Namun, kisah yang menceritakan bahawa Imam Abu Hanifah bertemu dengannya dan mendengar hadith daripadanya dikritik oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya. Ini dapat dilihat melalui kenyataan Imam al-Zahabi yang menyatakan, orang yang tiada ilmu mendakwa bahawa Imam Abu Hanifah bertemu dengan Abdullah bin al-Harith dan mendengar hadith daripadanya. Sedangkan kisah itu datang daripada riwayat seseorang yang dituduh sebagai pendusta (muttaham bi al-kazib). Jadi, kebarangkalian bahawa Imam Abu Hanifah mengambil ilmu (hadith) daripada Abdullah bin al-Harith al-Zubaidi al-Kufi daripada salah seorang tabi‘in, hal itu adanya kemungkinan. (Lihat  Abu Hanifah al-Nu’man Imam A’immah al-Fuqaha’ oleh Wahbi Sulaiman Ghawaji, hlm. 49-50,  Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/387).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”

Surah al-Hasyr (10)