#5631: Niat Ihram Bersyarat oleh Wanita yang Haid Tidak Teratur

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah wanita yang haidnya tidak teratur atau tidak menentu untuk melakukan niat ihram bersyarat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Niat bersyarat bagi wanita yang tidak teratur haidnya:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ عُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا، فّإِنْ حَبَسَنِي حَابِسٌ فَمَحَلِّي حَيْثُ حَبَسْتَنِي

Maksudnya: “Hamba-Mu menyahut seruan-Mu wahai Allah untuk mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya. Sekiranya aku terhalang oleh sesuatu, maka tempat aku bertahallul ketika aku dihalang itu.”

Sebahagian ulama’ mengharuskan niat bersyarat berdasarkan hadith Dhuba’ah. Daripada Aisyah R.Anha, katanya:

دَخَلَ اَلنَّبِيُّ ‏- صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏-عَلَى ضُبَاعَةَ بِنْتِ اَلزُّبَيْرِ بْنِ عَبْدِ اَلْمُطَّلِبِ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهَا, فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اَللَّهِ! إِنِّي أُرِيدُ اَلْحَجَّ, وَأَنَا شَاكِيَةٌ، فَقَالَ اَلنَّبِيُّ ‏- صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏- حُجِّي وَاشْتَرِطِي: أَنَّ مَحَلِّي حَيْثُ حَبَسْتَنِي.

Maksudnya: “Nabi SAW masuk menemui Dhuba’ah binti Zubair binti ‘Abd al-Muttalib, dan dia berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin melaksanakan ibadah haji, sementara aku sedang sakit.” Nabi SAW bersabda: “Kerjakanlah haji dan tetapkanlah syarat: “Sesungguhnya tempat tahallulku adalah di mana Engkau menahanku.”

Riwayat al-Bukhari (5089) dan Muslim (1207)

Berkenaan perkataan ‘اشْتَرِطِي’, syarat adalah mengharuskan sesuatu. Al-Isytirat (الاشْتِرَاط) adalah sesungguhnya sesiapa yang melakukan ihram, maka dia mensyaratkan dirinya kepada Tuhan. Apabila seorang musuh menegahnya daripada memasuki Baitullah atau dia terhalang disebabkan oleh penyakit dan kehilangan harta, maka dia boleh bertahallul daripada ihramnya dan melakukan qadha’ ibadah haji. Dan sesungguhnya, baginya adalah apa yang telah disyaratkan kepada Tuhannya.

Perkataan ‘مَحَلِّي’ iaitu apabila seseorang keluar dari ihram. Maksudnya, tempat keluarnya diriku daripada ihram dalam ibadah haji dan umrah pada waktu dan tempat itu.

Kalimat ‘حَيْثُ حَبَسْتَنِي’ bermaksud di tempat dan waktu berlakunya halangan. Itu adalah tempat dan waktu yang dihalalkan untuk ihram.

Inilah sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/207).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”