#5632: Guru-Guru Imam Ahmad

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami, guru-guru Imam Ahmad?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”.

Riwayat Abu Daud (3641). Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa, Abu Yusuf Ya‘qub bin Ibrahim al-Qadhi adalah guru beliau yang pertama, yang juga menjadi rakan dan murid kepada Imam Abu Hanifah. Beliau banyak mempelajari daripadanya ilmu fiqh dan hadith.

Sebahagian daripada pengkaji sejarah mengatakan bahawa pengaruh gurunya (Abu Yusuf) tidak begitu kuat. Mereka berpendapat, gurunya yang pertama ialah Husyaim bin Basyir bin Abi Qasim al-Wasiti kerana beliau adalah guru yang banyak mempengaruhi Imam Ahmad bin Hanbal.

Imam Ahmad bin Hanbal mengikutinya lebih dari empat tahun dan mempelajari hadith-hadith daripadanya serta beliau menulis daripadanya lebih daripada tiga ribu hadith.

Husyaim adalah seorang ilmuan dalam bidang hadith di Baghdad. Beliau seorang yang sangat bertakwa, warak dan pengikut kepada tabi‘ tabi‘in. Beliau juga merupakan seorang yang banyak mendengar hadith daripada imam-imam, seperti Imam Malik dan terdapat ramai orang yang meriwayatkan hadith daripadanya. Beliau seorang yang sangat kuat ingatan. Beliau dilahirkan pada tahun 104 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 183 Hijrah. Di samping itu juga, Imam Ahmad bin Hanbal mendapat pendidikan daripada Umair bin Abdullah, Abdul Rahman bin Mahdi dan Abi Bakr bin Iyasy.

Imam al-Syafi‘i adalah salah seorang daripada guru Imam Ahmad bin Hanbal. Bahkan, terdapat juga riwayat yang menganggap Imam al-Syafie sebagai gurunya yang kedua, selepas daripada Husyaim. Imam Ahmad bin Hanbal bertemu dengan Imam al-Syafi‘i di Hijaz sewaktu beliau menunaikan fardu haji. Imam Ahmad bin Hanbal mempelajari daripada Imam al-Syafie yang mengajar di Masjid al-Haram. Kemudian, mereka bertemu untuk kali yang kedua di Baghdad. Imam Ahmad bin Hanbal ingin mengikuti langkahnya, tetapi niatnya tidak tercapai.

Beliau telah belajar memahami dan cara mengeluarkan kesimpulan hukum-hukum daripada Imam al-Syafi‘i. Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah berkata: “Tidak diragui bahawa Ahmad Ibn Hanbal adalah seorang dari penuntut Imam Syafie.

Imam Ahmad bin Hanbal juga pernah mempelajari dari Ibrahim bin Saad, Yahya bin al-Qattan, Waqi‘ dan lain-lain. Beliau bercita-cita untuk belajar dengan Imam Malik bin Anas, tetapi sayangnya Imam Malik meninggal dunia semasa beliau masih dalam permulaan untuk menuntut ilmu. Allah menggantikannya dengan Sufian bin Uyainah, yang tinggal di Mekah, sehinggakan beliau pernah berkata: “Imam Malik meninggal dunia, tetapi Allah menggantikan Sufian bin Uyainah untukku.

Antara guru-guru Imam Ahmad dalam bidang hadith, adalah seperti yang diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi di dalam manaqibnya berkenaan ucapan Imam Ahmad sendiri mengenai guru-gurunya. Imam Ahmad menyebut: Aku menimba ilmu daripada Sulaiman bin Harb  (wafat 224H) di Basrah pada tahun 194 H, daripada Abu al-Nu‘man ‘Arim  pada tahun yang sama, juga daripada Abu ‘Umar al-Haudhi.  Aku juga mendatangi majlis ilmu Ibn al-Mubarak (m.181H) ketika dia datang ke tempat kami pada tahun 179 H. Pada tahun yang sama aku juga menimba ilmu daripada ‘Ali bin Hashim bin al-Barid  iaitu pada tahun meninggalnya Malik bin Anas. (Lihat Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi, hlm. 33)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”