#5634: Tempat Kelahiran Imam Syafi’i

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah Imam Syafii lahir di Gaza atau Asqalan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”.

Riwayat Abu Daud (3641). Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya.

para ulama berbeza pendapat berkenaan tempat kelahiran Imam al-Syafi‘i kepada beberapa pendapat. Di antaranya, beliau dilahirkan di Gaza. Ada pendapat mengatakan beliau dilahirkan di Asqalan, seperti dalam riwayat ‘Amr bin Sawad. Begitu juga terdapat pendapat mengatakan, beliau lahir di Yaman, seperti dalam riwayat yang dibawakan oleh Yaqut al-Hamawi.

Selain daripada itu, ‘Abd al-Ghani al-Daqar ada menukilkan daripada Ibn al-‘Imad yang menyatakan bahawa Imam al-Syafi‘i dilahirkan di Gaza, atau ‘Asqalan, atau Yaman, atau Mina. Kemudian, ‘Abd al-Ghani al-Daqir menjelaskan, tempat seperti Mina sangat jauh (daripada kebenaran) untuk dikatakan sebagai tempat kelahiran Imam al-Syafi‘i kerana pendapat itu sangat ganjil. Begitu juga dengan Yaman disebabkan oleh lemahnya pendapat tersebut. Melainkan Yaman yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada kabilah-kabilahnya yang terdapat di Gaza. Selain itu, tidaklah sukar untuk mengharmonikan antara dua pendapat iaitu Gaza dan ‘Asqalan. Kedua-duanya diriwayatkan sendiri oleh Imam al-Syafi‘i melalui jalur-jalur yang sahih. Apatah lagi, jelas bahawa Gaza dan ‘Asqalan berada dalam iklim yang sama dan berdekatan, di mana ‘Asqalan ialah bandar, manakala Gaza pula ialah kampung.

Justeru, apabila al-Imam al-Syafi‘i berkata: “Gaza,”  ia merujuk kepada kampung, manakala apabila beliau berkata: “‘Asqalan,” ia merujuk kepada bandar. Pendapat yang lebih dekat (kepada kebenaran) adalah beliau dilahirkan di Gaza seperti yang dinyatakan oleh kebanyakan orang. Kemudian, beliau dibawa ke ‘Asqalan ketika masih kecil, seperti yang diriwayatkan oleh al-Hakim dengan jalur yang sama daripada Muhammad bin Abdullah bin Abd al-Hakam. Dia berkata: Saya mendengar al-Syafi‘i berkata: “Saya dilahirkan di Gaza, dan ibu saya membawa saya ke ‘Asqalan.” Ibn Batisy berkata: Yang menghimpunkan keseluruhan riwayat adalah bahawa beliau dilahirkan di Gaza, kemudian dibawa ke ‘Asqalan, dan kemudian ke Makkah, di mana beliau dibesarkan.

Sekiranya benar riwayat daripada Imam al-Syafi‘i bahawa beliau berkata: “Aku dilahirkan di Yaman,” berkemungkinan ia merujuk kepada kabilahnya, iaitu keluarga ibunya, kerana mereka berasal dari suku Azdiyyah. (Lihat Manaqib al-Syafi‘i, 1/71-74; Siyar A‘lam al-Nubala’, 10/6; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/24; Mu‘jam al-Udaba’, 6/2394; al-Imam al-Syafi’i Faqih al-Sunnah al-Akbar, 44-45;  Tawali al-Ta’sis, hlm. 50-52)

Bapa beliau meninggal ketika beliau masih kecil. Ketika berumur dua tahun, ibu Imam al-Syafi‘i membawa beliau menuju ke Makkah. Dalam perjalanan ke Makkah, mereka sempat menetap di Hijaz bersama ibunya untuk tinggal bersama-sama dengan kaumnya dalam kalangan ahli Yaman daripada suku Azdiyyah. (Lihat al-Imam al-Syafi‘i Faqih al-Sunnah al-Akbar, hlm. 50; Tawali al-Ta’sis, hlm. 52)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”