#5636: Guru-Guru Imam Malik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami siapa guru-guru Imam Malik yang tersohor?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oeh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Ibn al-Arabi berkata: Makna umum ayat ini, yakni kepada hak sesiapa yang datang selepas wafat Nabi SAW, ialah bahawa bukan umat islam perlu keluar berjihad kesemuanya tetapi hendaklah sebahagian mereka bertafaqquh (mendalami ilmu) dalam agama. Kemudian mereka pulang kepada kaumnya untuk ajar mereka. Justeru menuntut ilmu diasingkan daripada jihad fi sabilillah sedangkan jihad merupakan jalan kemuncak islam itu sendiri. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/601)

Imam Malik mula menuntut ilmu ketika berusia belasan tahun. Kisah bermulanya Imam Malik menuntut ilmu diceritakan oleh Mutarrif, bahawa Imam Malik berkata kepada ibunya: “Bolehkah aku keluar dan menulis ilmu?”, lalu ibunya memakaikannya pakaian penuntut ilmu dan meletakkan papan untuk menulis di kepalanya, seraya berkata: “Pergilah kepada Rabi‘ah dan belajar darinya adab sebelum mula mempelajari ilmunya.”

Ibn al-Qasim menceritakan, perjalanan menuntut ilmu Imam Malik sehingga beliau terpaksa mencabut bumbung rumahnya dan menjual kayu-kayu bumbung itu.

Antara guru pertama beliau yang mengajarkannya menulis adalah Rabi‘ah bin ‘Abd al-Rahman Furukh. Beliau berguru dengannya sewaktu beliau masih kecil dan sebagai buktinya ialah percakapannya kepada ibunya: “Aku pergi dan aku menulis.

Ibunya menyiapkan pakaian yang lengkap dengan kain serban serta menyuruh beliau datang ke rumah Rabi’ah untuk belajar menulis. Ibunya juga meminta beliau mempelajari ilmu-ilmu yang lain dan Imam Malik mematuhi segala arahan ibunya

Gurunya ‘Abd al-Rahman Furukh mempunyai pengaruh besar terhadap Imam Malik dalam ilmu, cara mengistinbatkan hukum, dan prinsip-prinsip yang beliau jadikan asas untuk fiqhnya.  (Lihat al-Imam Malik Bin Anas Imam Dar al-Hijrah, hlm 64 )

‘Abd al-Rahman bin Hurmuz al-‘Araj juga merupakan antara  guru pertama beliau,  dan beliau melaziminya selama lebih tujuh tahun tanpa pergi belajar dengan guru yang lain, dan ada juga yang mengatakan selama lapan tahun. (Lihat al-Dibaj al-Muzahhab, 1/98; Tartib al-Madarik, 1/130)

Dalam tempoh itu, beliau tidak pernah pergi belajar kepada guru yang lain. Beliau pernah memberikan buah tamar kepada anak-anak Abdul Rahman sebagai upah supaya mereka mengatakan kepada sesiapa bahawa Imam Malik sedang sibuk. Tujuan beliau adalah supaya Syeikh Abdul Rahman dapat menumpukan masa yang banyak untuknya. Dengan itu, dapatlah beliau mempelajari ilmu dengan lebih mendalam. Kadangkala, beliau akan belajar daripada Syeikh Abdul Rahman sepanjang hari, bermula dari pagi hingga ke malam.

Dalam sebuah riwayat dari Imam Malik, beliau berkata: “Aku mempunyai seorang saudara yang umurnya sebaya dengan Ibn Syihab. Pada suatu hari, bapa kami menimbulkan satu persoalan, lalu saudaraku menjawab dengan betul dan aku pula tersilap. Lalu bapaku berkata kepadaku: ‘Burung merpati telah mengalihkan perhatianmu dari menuntut ilmu.’ Aku pun merasa marah, lalu menumpukan sepenuh masa bersama dengan Ibn Hurmuz.”

Beliau mendengar Hadith daripada Nafi’ dan Zuhri. Beliau juga meriwayatkan Hadith daripada ’Amir bin Abdullah bin al-Zubair bin al- ’Awwam dan Salim Abu al-Nadr. (Lihat al-Tarikh al-Kabir, 7/310 dan Tahzib al-Tahzib, 5/10)

Imam Malik tidak akan menerima mana-mana pembawa hadith (Rawi) yang tidak diketahui tentang asal-usulnya, sekalipun pembawa hadith itu dari orang yang baik dalam bidang agama.

Semasa Imam Malik menuntut ilmu, beliau mempunyai ramai guru. Kitab Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat menyatakan bahawa Imam Malik telah belajar dengan 900 orang syeikh. Tiga ratus daripadanya adalah golongan tabi’in, manakala 600 lagi daripada tabi’ tabi’in. Mereka semua adalah orang yang terpilih dan dipercayai di dalam bidang agama dan hukum fiqh. Antara guru-gurunya yang lain ialah:

  • Nafi‘ maula Abdullah.
  • Ja‘far bin Muhammad al-Baqir.
  • Muhammad bin Muslim al-Zuhri.
  • ‘Abd al-Rahman bin Zakuan.
  • Yahya bin Said al-Ansari.
  • Abu Hazim Salmah bin Dinar.
  • Muhammad bin al-Munkadir.
  • Abdullah bin Dinar serta ramai lagi dari golongan al-Tabiin.

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”