#5640: Munazarah Imam Ahmad dengan Imam Syafi’i

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat isu perbincangan hangat antara Imam Ahmad dan Imam Syafi’i berkenaan hukum meninggalkan solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Surah al-Baqarah: 269)

Menjawab persoalan di atas, terdapat sebuah kisah yang diceritakan oleh Imam al-Subki, beliau menyebut: Dihikayatkan bahawa Imam Ahmad pernah berdebat dengan Imam al-Syafi‘i berkenaan masalah orang yang meninggalkan solat.

Imam al-Syafi‘i berkata kepadanya: “Hai Ahmad, apakah kamu menganggap orang yang meninggalkan solat itu kafir?” Imam Ahmad menjawab: “Ya.”

Imam al-Syafi‘i menyoal lagi: “Jika dia kafir, maka bagaimana pula dia ingin menjadi Muslim?” Imam Ahmad menjawab: “Apabila orang itu mengucap dua kalimah syahadah.”

Imam al-Syafi‘i bertanya lagi: “Bukankah orang itu masih meyakini kalimah syahadah dan tidak mengingkarinya?” Imam Ahmad menjawab: “Dia boleh dianggap Muslim jika dia solat.”

Imam al-Syafi‘i berkata: “Solat orang kafir tidak sah dan seseorang tidak boleh disebut Muslim hanya dengan solat sahaja.” Maka, Imam Ahmad pun terdiam dan perdebatan berakhir.

Dihikayatkan kisah perdebatan ini oleh Abu ‘Ali al-Hasan bin Ammar daripada ashab kami. Beliau adalah lelaki Mosul (berasal dari Mosul) daripada murid Fakhr al-Islam al-Syasyi. (Lihat Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra oleh al-Subki, 2/61)

Begitu juga dalam kitab Tazkirah al-Auliya’, Farid al-Din ‘Attar merakamkan perbincangan Imam al-Syafi‘i dan Imam Ahmad bin Hanbal tentang kedudukan orang yang meninggalkan solat. Diceritakan: Mazhab Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan orang yang meninggalkan solat satu kali sahaja dengan sengaja, dia dihukumkan kafir. Dasarnya adalah zahir teks hadith: “Barangsiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, dia telah kafir.”

Imam al-Syafi‘i berkata kepadanya: “Jika seseorang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukumkan kafir seperti mazhabmu (pendapatmu), bagaimana cara orang tersebut kembali pada Islam?”

Imam Ahmad bin Hanbal menjawab: “Melakukan solat.”

Imam al-Syafi‘i berkata lagi: “Bagaimana mungkin solat orang kafir dipandang sah?”

Kemudian Imam Ahmad bin Hanbal diam, tidak mengatakan apa-apa lagi. (Lihat Tazkirah al-Auliya’, hlm. 272)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)