#5642: Imam Syafi’i Berpindah ke Makkah dan Menuntut Ilmu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bila Imam Syafii mula meninggalkan kota Gaza atau Asqalan? Begitu juga, bermulanya beliau belajar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Imam al-Syafi‘i dapat menghafaz al-Quran dengan mudah, iaitu semasa beliau masih kecil lagi, termasuk juga menghafaz hadith-hadith dan menulisnya. Beliau sudah menghafaz al-Quran pada usia 7 tahun. Ada pendapat mengatakan 9 tahun. (Lihat Adab al-Syafi‘i wa Manaqibuhu oleh Ibn Abi Hatim al-Razi, 1/20; Syazarat al-Zahab, 3/20)

Apabila usia Imam al-Syafi‘i mencecah 10 tahun, ibunya bimbang nasabnya al-Syarif akan hilang dan dilupakan. Justeru, ibunya membawanya masuk ke Makkah. Ini jelas melalui kenyataan Imam al-Syafi‘i sendiri yang berkata: “Aku tiba di Makkah ketika aku berusia kira-kira 10 tahun.” (Lihat Adab al-Syafi‘i wa Manaqibuhu, hlm. 18; Tawali al-Ta’sis, hlm. 52)

Imam al-Syafi‘i adalah seorang anak yatim dan miskin. Meskipun begitu, beliau sangat cerdas. Apabila dibawa ke kuttab untuk belajar, ibunya tidak mampu membayar yuran pengajian yang ditetapkan. Namun, disebabkan kecerdasan Imam al-Syafi‘i, beliau dikecualikan daripada kewajipan membayar yuran tersebut. Imam al-Syafi‘i belajar membaca, menulis dan menghafal al-Quran. Imam al-Syafi‘i berkata, “Setelah selesai menghafal al-Quran, aku datang ke masjid dan duduk bersama para ulama untuk menghafal hadith atau masalah-masalah fiqh.” (Lihat Adab al-Syafi’i wa Manaqibuhu, hlm. 20; Manaqib al-Syafi‘i oleh al-Baihaqi, 1/92)

Selain daripada itu, Imam al-Syafi‘i sangat tekun mempelajari kaedah-kaedah dan nahu bahasa Arab. Untuk tujuan itu, beliau banyak menghabiskan masa bersama kaum Huzail yang merupakan pakar bahasa. Ini menyebabkan Imam al-Syafi‘i terdedah dengan bahasa Arab tinggi di usia yang masih muda lagi. Beliau memilih suku Huzail kerana mereka terkenal dengan kehalusan bahasa dan sasteranya. Imam al-Syafi’i menggelar Huzail, “Suku Arab yang paling fasih.” (Lihat The Four Juristic Schools, Their Founders, Development, Methodology, Legacy, hlm. 112; Tawali al-Ta’sis, hlm. 55)

Menurut Imam al-Nawawi, Imam al-Syafi‘i menghabiskan masa selama 20 tahun untuk mendalami bahasa dan sastera Arab. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/35). Pembelajaran dalam jangka masa ini telah berjaya mengasah kehalusan budi dan ketelitian Imam al-Syafi‘i. Ilmu-ilmu yang beliau peroleh ketika itu sangat membantu dalam kajian al-Quran dan hadith yang beliau pelopori. Ia sekali gus membantunya dalam perbahasan ilmiah dengan kata-kata yang mudah difahami.

Beliau terus mendalami bahasa dan sastera Arab sambil menghafal pelbagai syair Arab sehingga benar-benar menguasai ilmu ini. Beliau tidak beralih kepada fiqh sehinggalah berlakunya suatu kejadian yang menyentuh kesedaran dirinya. Dalam erti kata lain, Allah SWT menyediakan baginya beberapa sebab yang mendorong beliau untuk mempelajari ilmu fiqh dan ilmu-ilmu yang lain.

Mus‘ab bin Abdullah al-Zubairi menyebutkan, al-Syafi‘i pada awalnya seorang pemuda yang sangat gemar dengan syair, sejarah dan sastera. Beliau kemudian mengalihkan fokusnya kepada fiqh kerana suatu kejadian. Pada suatu hari, beliau sedang menaiki kenderaannya sambil mendendangkan syair-syair Arab. Kebetulan pembantu peribadi ayahku ada bersamanya. Beliau lalu memukul al-Syafi‘i dengan cambuknya lalu berkata, “Orang sepertimu rela menjual maruahnya demi syair? Mengapa engkau tidak belajar fiqh?”

Al-Zubairi menambah lagi: “Kejadian itu menyedarkan dirinya. Beliau lalu mendatangi majlis al-Zanji yang merupakan mufti Makkah untuk belajar. Tidak lama kemudian, beliau datang ke tempat kami di Madinah untuk belajar daripada Imam Malik.” (Lihat Manaqib al-Syafi‘i, 1/96)

Kejadian tersebut benar-benar mengubah arah hidup Imam al-Syafi’i. Beliau segera mendatangi para ulama di Makkah untuk menimba ilmu daripada mereka. Kebanyakan ulama Makkah ketika itu ialah murid-murid ‘Abd al-Malik bin ‘Abd al-‘Aziz bin Juraij, tokoh tabi’in terkenal dan kaya dengan ilmu. Imam al-Syafi‘i berguru dengan murid-muridnya seperti Muslim bin Khalid al-Zanji, Sa‘id bin Salim al-Qaddah, ‘Abd al-Majid bin ‘Abd al-‘Aziz bin Abu Rawad dan Abdulah bin al-Harith al-Makhzumi. (Lihat Adab al-Syafi‘i wa Manaqibuhu, hlm. 72)

Terdapat riwayat menyatakan bahawa Imam al-Syafi‘i menemui Muslim bin Khalid semasa dalam perjalanan untuk mempelajari ilmu nahu bahasa Arab dan sastera. Muslim berkata kepadanya: “Dari manakah kamu?” Imam al-Syafi‘i menjawab: “Aku dari Makkah.” Muslim bertanya lagi: “Di manakah rumah kamu?” Imam al-Syafi‘i menjawab: “Dari kabilah ‘Abd Manaf.” Muslim berkata: “Baik, baik, dan sebenarnya Allah telah memuliakan kamu di dunia, mahupun di akhirat. Alangkah baiknya, jika kamu gunakan kecerdikanmu ini untuk mempelajari ilmu fiqh dan inilah yang lebih baik untuk kamu.”

Dalam riwayat lain pula menyatakan, pada suatu ketika, Imam al-Syafi‘i sedang mendalami ilmu syair dan pada masa itu, beliau menaiki sebuah bukit di suatu tempat di Mina. Tiba-tiba, beliau terdengar suara dari belakangnya menyeru: “Pelajarilah ilmu fiqh.” Lantaran itulah beliau mempelajari ilmu fiqh. Kebanyakan tanggapan mengatakan bahawa riwayat-riwayat di atas adalah semata-mata khayalan sahaja, bukan benar-benar berlaku. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/8)

Selain itu, Imam al-Syafi‘i juga selalu hadir di majlis Sufyan bin ‘Uyainah. Selain daripada itu, beliau turut berguru kepada pakar-pakar hadith dan tokoh fiqh yang lain seperti Muhammad bin Ali bin Syafi‘, al-Fudhail bin ‘Iyadh, Abdullah bin Muammal al-Makhzumi dan ramai lagi.

Ketekunan dan kesungguhan Imam al-Syafi‘i dalam menuntut ilmu membuahkan hasil yang sangat sempurna. Dengan khazanah hadith yang dikuasainya, disokong oleh kecerdasan dan kefasihannya, beliau diiktiraf untuk berfatwa sedangkan umurnya belum lagi mencecah usia 20 tahun. (Lihat Mengenali Imam al-Syafi‘i oleh Dr. Umar Muhammad Noor, hlm. 7-9)

Pada usianya hanya 10 tahun, Imam al-Syafi‘i telah menghafal kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik. (Lihat al-Imam al-Syafi’i Faqih al-Sunnah al-Akbar, hlm. 54; Tawali al-Ta’sis, hlm. 55; Syazarat al-Zahab, 3/20)

Selain itu, terdapat juga riwayat menceritakan bahawa pada suatu hari, Mus‘ab bertemu dengan Imam al-Syafi‘i yang sedang bergiat mempelajari syair nahu bahasa Arab. Mus‘ab bertanya: “Untuk apakah ini? Jika kamu mempelajari fiqh dan hadith, tentulah lebih sesuai bagimu.” Pada suatu masa yang lain pula, Mus‘ab dan al-Syafi‘i datang menemui Imam Malik bin Anas. Mus’ab meminta Imam Malik mengajar Imam al-Syafi‘i.

Oleh itu, Imam al-Syafi‘i dapat mempelajari ilmu yang banyak dari Imam Malik dan beliau tidak meninggalkan sedikit ilmu pun yang didapati dari syeikh-syeikhnya di Madinah. Imam al-Syafi‘i mengembara ke negeri Iraq untuk mempelajari dengan Muhammad al-Hassan. Selepas beberapa tahun kemudian, Mus’ab dan Imam al-Syafi‘i datang ke Makkah. Mus‘ab menceritakan perihal Imam al-Syafi‘i kepada Ibn Daud R.A, lalu dihadiahkannya sebanyak sepuluh ribu dirham.

Kami katakan, tidak mustahil semua riwayat itu harus berlaku, walaupun pada lahirnya, satu daripadanya sahaja yang berlaku. Namun, suatu perkara yang boleh diterima, iaitu bahawa Allah SWT mengurniakan kepada Imam al-Syafi‘i orang-orang yang menerangkan tentang nilai ilmu fiqh dan kelebihan dari ilmu bahasa dan sastera.

Pendapat yang sebenarnya ialah, Imam al-Syafi‘i menuntut ilmu di Makkah sehingga beliau menjadi seorang yang bijak. Walaupun beliau mendapat kebenaran untuk memberi fatwa dan hukum-hukum dari gurunya, Muslim bin Khalid al-Zanji, beliau masih tidak berpuas hati.

Bahkan, beliau tetap menyambung mempelajari ilmu-ilmu, kemudian berpindah ke Madinah. Di Madinah, beliau telah belajar dengan Imam Malik, iaitu setelah beliau bersedia untuk berjumpa dengannya untuk mempelajari kitab al-Muwatta’. Imam al-Syafi‘i dapat menghafaz hampir keseluruhannya.

Sebagaimana yang diketahui, beliau mengambil surat akuan daripada Gabenor Makkah untuk menemui Imam Malik. Apabila Imam Malik menemui Imam al-Syafi‘i beliau berkata: “Allah telah memasukkan cahaya (Nur) ke dalam hati engkau, maka janganlah engkau memadamkannya dengan membuat maksiat.” Setelah Imam al-Syafi‘i belajar dengan Imam Malik, Imam Malik meminta beliau supaya belajar dengan lebih bersungguh-sungguh lagi.

Imam al-Zahabi menyebut satu riwayat bahawa ketika Imam al-Syafi‘i datang kepada Imam Malik, beliau berusia 13 tahun. Namun Imam Zahabi kemudian menyebut bahawa beliau cenderung perkara itu berlaku ketika Imam al-Syafi‘i berusia  23 tahun. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 10/12).

Imam al-Syafi‘i terus mempelajari ilmu hadith dan fiqh daripada Imam Malik sehinggalah Imam Malik meninggal dunia, iaitu pada tahun 170 Hijrah. Imam al-Syafi‘i pernah menziarahi ibunya di Makkah dan beliau juga pernah mengembara ketika menuntut ilmu dengan Imam Malik.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”