#5644: Sifat dan Budi Pekerti Imam Malik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan sifat Imam Malik serta budi pekertinya dan kegemarannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةً لَّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

(Surah al-Ahzab: 21)

Abu al-Hasan al-Nadwi berkata:

  • Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW.
  • Jika anda telah mencapai umur tua, maka, Baginda SAW adalah contoh anda.
  • Jika anda fakir dan miskin, maka Baginda SAW adalah teladan dan contoh bagi anda.
  • Jika anda kaya, maka Baginda SAW imam anda.
  • Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang.
  • Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya.
  • Jika anda redha, maka Baginda SAW pun redha.
  • Jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda SAW pun demikian halnya.

Imam Malik adalah seorang yang tinggi serta lebar tubuh badannya. Warna kulitnya putih, berdahi luas, manakala hidungnya tinggi serta menarik perhatian bagi mereka yang memandangnya. Antara perkara menarik tentang beliau ialah kegemarannya pada pakaian yang baik dan elok, seperti pakaian yang diperbuat dari Aden.

Beliau sangat mengambil berat tentang soal berpakaian. Beliau menganggapnya sebagai penghormatan terhadap ilmu dan martabat seorang ulama. Beliau mengatakan bahawa marwah seorang ulama adalah dengan memilih pakaian yang indah untuk dipakai dan ditampilkan. Oleh yang demikian, tidak sepatutnya mata lihat melainkan dengan melihatnya dengan pakaian lengkap, termasuk serban yang baik. Beliau selalu memakai pakaian terbaik, termahal, dan paling indah, seperti pakaian dari Yaman yang berkualiti tinggi, pakaian dari Khurasan, dan pakaian Mesir yang bermutu tinggi. (Lihat al-Imam Malik bin Anas Imam Dar al-Hijrah,  hlm. 32 )

Antara kegemarannya adalah memakai bau-bauan. Beliau tidak suka mencukur misai, bahkan beliau mencela perbuatan tersebut serta beliau memandang perbuatan itu tidak baik.

Sementara makanan Imam Malik pula adalah daripada barangan yang baik. Tiap-tiap hari beliau berpeluang memakan daging. Beliau sangat menggemari pisang kerana katanya: “Pisang adalah buah-buahan dari syurga. Ini kerana pisang adalah antara buah-buahan yang dapat dimakan di musim panas dan musim sejuk.” Firman Allah SWT:

لَّا مَقْطُوعَةٍ وَلَا مَمْنُوعَةٍ

Maksudnya: “Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya.”

(Surah al-Waqi‘ah: 33)[1]

Antara kegemarannya yang lain ialah perhiasan rumah, sehingga semua alat perhiasan rumahnya dari barangan yang elok dan berharga mahal serta disusun dengan baik.

Imam Malik berpendapat bahawa penggunaan barang-barang yang baik dan berharga adalah salah satu cara menikmati perkara yang dihalalkan oleh Allah SWT. Hal ini hendaklah difahami oleh seluruh umat Islam, iaitu perkara yang demikian adalah harus jika berkemampuan.

Yahya bin Zaid al-Naufali tidak bersetuju dengan Imam Malik dalam masalah ini. Beliau telah menulis surat kepada Imam Malik berhubung masalah ini. Kemudian, perselisihan pendapat antara keduanya dapat kita lihat dengan terang jika kita teliti isi kandungan surat yang dihantar kepada Imam Malik. Surat tersebut adalah seperti di bawah:

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW di permulaan dan pengakhiran. Dari Yahya bin Yazid bin Abdul Malik kepada Malik bin Anas.

Aku mendapat tahu bahawa engkau memakai pakaian yang lembut dan makan makanan yang baik, sementara hamparan pula adalah hamparan yang baik dan berharga mahal. Engkau menduduki majlis-majlis ilmu dan ramai manusia datang.

Berhubung dengan perkara yang engkau sebutkan bahawa aku makan makanan yang baik dan aku memakai pakaian yang lembut serta memakai langsir di pintu-pintu rumahku dan aku duduk pula di atas hamparan yang mewah. Ya, benar kami berbuat demikian dan kami meminta keampunan dari Allah di atas perbuatan itu, sesungguhnya Allah SWT berfirman:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّـهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ ۚ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya? Katakanlah: Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia, (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari Kiamat. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A’raf: 32)

Sesungguhnya aku mengetahui bahawa meninggalkan perkara itu lebih baik dari membuatnya. Selalulah menulis kepada kami dan kami akan menulis kepada engkau. Salam sejahtera untuk engkau.”

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Nota Hujung:

[1]Menurut al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini, buah-buahan tersebut bukanlah seperti buah-buahan yang terdapat di dunia, di mana dalam waktu tertentu ia akan berhenti berbuah dan tidak boleh dipetik. Dalam erti kata lain,  terhalang (yakni susah) untuk menikmatinya (setiap kali ia diinginkan). Akan tetapi buah-buahan di syurga itu akan selalu ada dan dapat dipetik dari dekat, di mana seorang penghuni syurga akan dapat mengambilnya dalam keadaan apa pun. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/833).