#5651: Memakai Pakaian Ihram Sudah Dikira Berniat Ihram?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah apabila memakai pakaian ihram dikira sudah berniat ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tidak dapat dinafikan bahawa niat memainkan peranan penting dalam melakukan ibadah. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّـيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya segala amalan dikira dengan niat dan sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.

Riwayat al-Bukhari (1)

Pada asasnya, terdapat beberapa definisi niat menurut takrifan para ulama. Di antaranya, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310). Begitu juga Ibn ‘Abidin mendefinisikan niat sebagai tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105).

Berdasarkan kepada definisi-definisi ini, kita dapat simpulkan bahawa niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara.

Seterusnya, ihram pula merupakan rukun utama bagi haji dan umrah sebagaimana disebutkan dalam matan al-Zubad. Habib Hasan al-Kaff menyebutkan bahawa ihram bermaksud ialah niat untuk memasuki (memulakan) amalan haji atau umrah dengan cara-caranya. Sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah, maka hendaklah dia berniat dalam hatinya dan melafazkan dengan mulutnya secara perlahan. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 475-476).

Justeru, memakai pakaian ihram belum lagi dikira berniat ihram, sekiranya tiada keazaman (tekad) di dalam hatinya untuk melakukan niat ihram itu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”