#5652: Penghormatan Imam Malik Terhadap Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Malik memuliakan Rasulullah SAW dan bagaimana beliau memuliakannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ

Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.”

(Surah al-Ahzab: 36)

Menjawab persoalan di atas, diceritakan bahawa Imam Malik adalah individu yang amat memuliakan Rasulullah SAW.   Beliau tidak berjalan di Madinah Munawwarah dengan memakai kasut bahkan beliau segan untuk menunggang binatang di tanah yang terdapat padanya jasa nabi Muhammad SAW. Apabila beliau ditanya mengenai perkara tersebut beliau menjawab: Sebagai penghormatan terhadap pemilik kubur ini. Apabila mengagungkan sunnah Rasulullah SAW maka Allah juga akan mengagungkannya. Oleh yang demikian, mazhab  beliau menjadi terkenal di seluruh negeri dan kota-kota, dan inilah yang meninggikan beliau di mata banyak ulama yang mengikutinya dalam ilmu fiqh. (Lihat Syarh Muqaddimah al-Hadramiah fi Fiqh Imam al-Syaf’i, hlm. 10, Syarh Matan Abi Syuja’, oleh Muhammad Hasan Abd Ghaffar, 1/9, Syifa’ al-Fawaid bi Ziarah Khaer al-’Ibad,   hlm. 35)

Berkaitan dengan athar ini Syeikh Dr Muhammad Bin Musa al-Dali menyatakan bahawa: Jika apa yang dilakukan oleh Imam Malik dengan berjalan kaki tanpa kasut dan selipar di Jalan-jalan di Madinah sebagai bentuk pengagungan terhadap Rasulullah SAW! maka sekiranya dikatakan ia bersumber dari athar yang sahih, akan tetapi ia menyalahi perbuatan jumhur sahabat dan al-tabi’in R.Anhum yang  tinggal di Madinah Nabi SAW samada ketika hayat atau selepas kematian mereka. Begitu juga mereka yang tinggal di Makkah. Tidak ada seorang pun dari kalangan mereka yang melakukan perbuatan ini.  Tindakan ini pada asalnya lebih cenderung kepada bid’ah. Tetapi kerana pelakunya adalah Imam Sunni yang agung, iaitu Imam Malik rahimahullah, dan oleh kerana kita mengetahui penghormatan beliau terhadap Sunnah dan mengikuti jejak Rasulullah SAW, maka tidak patut menghukumnya.  Disebabkan oleh kasih sayang beliau yang sangat mendalam kepada Nabi SAW sehingga beliau menolak untuk menjejakkan kaki ke tanah yang telah dijejak oleh Nabi SAW dengan alas kaki-Nya maka perbuatan beliau dimaafkan![1]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://dr-aldaly.com/ar/16528 Diakses pada 7 Februari 2024