#5653: Ingin Berniat Ihram Awal Semasa Menaiki Kapal Terbang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya risau terlupa niat atau tertidur masa dalam kapal terbang bagi yang masuk Makkah dulu, bolehkah saya berniat awal masa naik kapal terbang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asalnya niat ihram perlulah dilakukan di miqat atau sebelum melintasinya. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَّتَ لِأَهْلِ المَدِينَةِ ذَا الحُلَيْفَةِ، وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ المَنَازِلِ، وَلِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، هُنَّ لَهُنَّ، وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِهِنَّ مِمَّنْ أَرَادَ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ، وَمَنْ كَانَ دُونَ ذَلِكَ، فَمِنْ حَيْثُ أَنْشَأَ حَتَّى أَهْلُ مَكَّةَ مِنْ مَكَّةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW menentukan Zulhulaifah sebagai miqat untuk penduduk Madinah, Juhfah untuk penduduk negeri Syam, Qarn al-Manazil untuk penduduk Najd, dan Yalamlam untuk penduduk Yaman. Miqat-miqat itu adalah untuk para penduduk negeri-negeri tersebut serta miqat untuk siapa saja yang datang ke negeri-negeri itu bukan daripada miqat-miqat itu yang berniat untuk melaksanakan haji dan umrah. Orang yang berada di selain miqat-miqat tersebut, maka dia melakukan ihram dari mana dia meniatkan haji ke Makkah, hingga penduduk Makkah melakukan ihram dari Makkah.”

Riwayat al-Bukhari (1524)

Kesemua miqat tersebut ialah miqat bagi mereka yang mengerjakan haji dan umrah, yang datang dari luar Makkah. Sementara mereka yang ingin mengerjakan umrah semasa berada di Makkah sama ada mereka penduduk Makkah atau orang asing, mereka wajib keluar dari Tanah haram untuk berihram umrah ke tanah halal yang terdekat walaupun selangkah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/131).

Begitu juga sekiranya seseorang itu melalui jalan, yang mana dia tidak berhenti pada miqat yang telah ditetapkan sama ada melalui jalan darat, laut atau udara maka miqatnya adalah tempat yang berhampiran dengan miqat yang telah ditetapkan sama ada kanan atau kiri. Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

لَمَّا فُتِحَ هَذَانِ المِصْرَانِ أَتَوْا عُمَرَ، فَقَالُوا: يَا أَمِيرَ المــُـؤْمِنِينَ، إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدَّ لِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنًا، وَهُوَ جَوْرٌ عَنْ طَرِيقِنَا، وَإِنَّا إِنْ أَرَدْنَا قَرْنًا شَقَّ عَلَيْنَا، قَالَ: فَانْظُرُوا حَذْوَهَا مِنْ طَرِيقِكُمْ، فَحَدَّ لَهـُمْ ذَاتَ عِرْقٍ

Maksudnya: “Ketika dua kota (Basrah dan Kufah) ini dibuka (ditakluk), penduduk negeri tersebut datang menemui Umar, lalu berkata: ‘Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Rasulullah SAW telah menetapkan miqat untuk penduduk Najd ialah Qarn, sedangkan kedudukannya menyimpang dari jalan kami dan sungguh sekiranya kami ingin menempuh perjalanan dari Qarn, maka ia akan menyusahkan kami.’ Umar menjawab: ‘Lihatlah kesejajarannya dari jalan kamu.’ Lalu Umar menetapkan Zat ‘Irq sebagai miqat bagi mereka.”

Riwayat al-Bukhari (1531)

Namun, sebahagian ulama membolehkan untuk berniat ihram di negerinya dan bukannya di miqat. Ini merupakan pendapat yang dikemukakan oleh al-Rafi‘i, al-Qadi Abu al-Tayyib dan sebahagian ulama lain. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Ummul Mukminin Ummu Salamah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَهَلَّ بِحَجَّةٍ أَوْ عُمْرَةٍ مِنْ الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى إِلَى الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ أَوْ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ

Maksudnya: “Sesiapa yang berniat ihram (memulakan manasik) haji atau umrah daripada Masjid Aqsa sehingga Masjidil Haram, diampunkan dosanya yang lalu dan akan datang atau wajib baginya syurga.

Riwayat Abu Dawud (1741); Ibn Majah (3002); Ahmad (26558); Imam al-Nawawi menyebutkan dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (7/199), sanad hadith ini tidak kuat.

Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa berihram di miqat yang telah ditetapkan adalah lebih baik sebagaimana pendapat Imam al-Nawawi, al-Buwaiti, al-Muzani dan al-Ghazali. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/200).

Hal tersebut adalah berdasarkan kepada riwayat Salim bin Abdullah, bahawasanya dia mendengar bapanya berkata:

مَا أَهَلَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا مِنْ عِنْدِ المَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ ذِي الحُلَيْفَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak melakukan talbiyah (setelah berniat ihram) kecuali ketika berada di masjid itu – iaitu masjid Zulhulaifah.

Riwayat al-Bukhari (1542)

Justeru, kami katakan bahawa tidak mengapa jika seseorang itu berniat ihram awal semasa menaiki kapal terbang atau dari awal perjalanannya kerana risau terlupa niat atau tertidur semasa dalam kapal terbang. Niat ihramnya itu dikira sah dan mula terikat dengan larangan-larangan ketika berihram. Namun, perbuatan niat ihram awal itu adalah menyelisihi sunnah dan perkara yang lebih utama. Ini kerana sunnahnya dan perkara yang lebih utama adalah dengan berniat ihram dari miqat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”