Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Berapa kalikah umrah untuk jemaah wanita boleh ditunaikan semasa di Makkah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, tidak menjadi masalah bagi seseorang itu untuk melakukan seberapa banyak pun umrah yang sempat ditunaikan semasa mereka berada di Makkah, tanpa menafikan di sana terdapat perselisihan dalam kalangan ulama berkenaan perkara yang lebih utama baginya untuk dilakukan; umrah berulang atau tawaf berulang.
Dalam hal ini, kami bahagikan kepada dua keadaan kerana meraikan beberapa nas dan hujah-hujah fuqaha. Keadaan pertama, jika seseorang itu adalah penduduk yang bermastautin atau bermukim dalam tempoh yang lama. Sebagai contohnya, pelajar Umm al-Qura di Makkah yang mana mereka bermukim di sana lebih kurang 4 atau 5 tahun. Pada masa itu, sekiranya mereka berada di Masjidil Haram, maka kami katakan bahawa bagi mereka lebih afdhal (utama) melakukan tawaf berulang kali. Namun, dalam keadaan yang lain, jika seseorang itu ke Makkah sekali sekala. Contohnya orang yang tinggal berjauhan dengan Makkah dan boleh jadi itulah kali pertama dan terakhir dia ke Makkah, maka kami berpendapat baginya lebih utama untuk melakukan umrah berulang kali kerana inilah peluang yang ada padanya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”