#5656: Sakit dan Kematian Imam Ahmad

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan pada kami bagaimana kisah ketika sakit Imam Ahmad dan kematiannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ

Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”

(Surah al-Mulk: 2)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas, beliau membawakan satu riwayat daripada jalur Ma‘mar, daripada Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَذَلَّ بَنِي آدَمَ بِالْمَوْتِ، وَجَعَلَ الدُّنْيَا دَارَ حَيَاةٍ ثُمَّ دَارَ مَوْتٍ، وَجَعَلَ الْآخِرَةَ دَارَ جَزَاءٍ ثُمَّ دَارَ بَقَاءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menghinakan anak keturunan Adam dengan kematian, dan Allah menjadikan dunia sebagai tempat kehidupan lalu menjadi tempat kematian bagi manusia, dan akhirat sebagai tempat dibalasnya (apa yang dilakukan di dunia) dan menjadi tempat yang kekal.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/197)

Selepas dibincangkan berkenaan dengan mutiara kata dan nasihat Imam Ahmad kepada umat Islam, diterangkan di sini saat-saat akhir kehidupan Imam Ahmad di dunia yang fana ini.

Imam Ahmad menghidapi penyakit yang membawa kepada kematiannya. Semasa beliau sakit, tidak ada perkara yang difikirkannya kecuali beberapa perkara: Sembahyang, berfikir tentang pembahagian harta yang ditinggalkannya dan tiga helai rambut Nabi SAW yang ada padanya. Beliau sangat menjaga dirinya daripada mengeluh sakit walau bagaimana sekalipun kesakitan yang ditanggung kerana berpegang kepada hadith daripada Tawus yang melarang daripada berbuat demikian. Beliau sangat rajin mengerjakan sembahyang bahkan tidak sesekali meninggalkannya walau bagaimana keadaan sekalipun.

Apabila beliau tidak berdaya untuk menyucikan celah jari-jarinya ketika mengambil wuduk, beliau meminta anak-anaknya menyucikannya. Beliau meninggal dunia selepas mengambil wuduk. Apabila ditanya, apakah harta peninggalannya? Hartanya amat sedikit. Malah, beliau meminta untuk disedekahkan setengah daripada hartanya.

Imam Ahmad diserang penyakit demam panas pada hari pertama di bulan Rabiul Awwal pada tahun 240 Hijrah. Semasa beliau sakit, beliau tidak pernah mengeluh meskipun sakit yang ditanggungnya itu berat. Bahkan, ketika sakit beliau amat rajin mengerjakan sembahyang dan tidak pernah sesekali meninggalkannya. (Lihat Ahmad Bin Hanbal Imam Ahli Sunnah, hlm. 299)

Seorang doktor telah menasihatinya supaya memakan makanan yang dipanggang. Imam Ahmad ibn Hanbal berkata kepada anaknya yang bernama Soleh: “Janganlah engkau memasak makanan itu di rumah engkau dan juga tidak di rumah adik engkau ‘Abdullah.

Beliau berkata demikian kerana hendak menjauhi diri daripada perkara yang syubhah disebabkan kedua-dua anaknya itu pernah mengambil harta kepunyaan kerajaan.

Dikatakan beliau meminta orang memberikan tamar untuknya dan tamar itu disedekahkan sebagai “Kaffarah” (tebusan) sumpahnya dan kemudian, beliau berkata: “Alhamdulillah” (Segala pujian bagi Allah).

50 hari sebelum kewafatannya, hamba perempuan Imam Ahmad bernama Husn melahirkan anaknya Sa‘id bin Ahmad. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/333)

Ulama’ berbeza pendapat tentang tarikh tepat kewafatan Imam Ahmad. Ada pendapat yang mengatakan bahawa meninggal dunia pada waktu Dhuha hari Jumaat, malam ke 12 Rabiul Awwal, tahun 241 Hijrah, dan jenazahnya dikebumikan selepas asar. Anaknya Soleh bin Ahmad pula berpendapat, Imam Ahmad wafat pada hari Jumaat, malam ke 13 Rabiul Awwal, ketika berumur 77 tahun.

Jenazahnya dimandikan oleh Abu Bakar bin al-Hajjaj al-Maruzi. Jenazahnya dikebumikan selepas sembahyang Jumaat dengan diiringi oleh puluhan ribu rakyat jelata. Beliau dikebumikan di Baghdad, di mana tempat beliau dilahirkan. Semoga Allah SWT meredhai dan mencucuri rahmat ke atas rohnya. (Lihat Manaqib al-Imam Ahmad, hlm. 550; al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/381)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”