#5658: Guru-Guru Imam Syafi’i

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan siapakah guru-guru Imam Syafi’i?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oeh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Pada ayat ini, Allah S.W.T dengan jelas menyatakan suruhan untuk sebahagian umat Islam mempelajari ilmu agama dan kemudiannya mengajarkannya pada orang ramai. Syeikh al-Sa’di ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah S.W.T menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). (Lihat: Tafsir al-Sa’di; hlm.355)

Sebagaimana diketahui guru-guru Imam al-Syafi‘i ramai, mencakupi para ulama di Makkah, Madinah, Yaman, Iraq, Mesir dan lain-lain.

Antara guru beliau di kota Makkah:

  • Muslim bin Khalid al-Zanji

Menurut Imam al-Zahabi, Abu Khalid Muslim bin Khalid al-Makhzumi al-Zanji ialah seorang al-Imam dan faqih di Makkah. Beliau dilahirkan pada tahun 100 Hijrah atau sebelumnya sedikit. Menurut Ahmad al-Azraqi, beliau seorang faqih, abid dan berpuasa al-dahr (setahun).

Menurut Imam al-Zahabi, beliau mempelajari dan mendalami ilmu agama dengan Ibn Juraij. Selain itu, beliau turut meriwayatkan hadith daripada Ibn Abi Mulaikah, ‘Amr bin Dinar, al-Zuhri, Abu Tuwalah, Zaid bin Aslam, ‘Utbah bin Muslim, Abdullah bin Kathir al-Dari.

Imam al-Syafi‘i telah mempelajari, melazimi dan mendalami ilmu agama serta fiqh daripadanya sehinggalah beliau memberi keizinan kepada Imam al-Syafi‘i untuk memberi fatwa. Di antara ulama yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Imam al-Syafi‘i, al-Humaidi, Musaddad, al-Hakam bin Musa, Marwan bin Muhammad, Ibrahim bin Musa al-Farra’, Hisyam bin ‘Ammar dan ramai lagi.

Seterusnya, Imam al-Zahabi menukilkan beberapa pendapat ulama berkenaan Muslim bin Khalid ini. Di antaranya, Yahya bin Ma‘in menyebutkan, tidak ada masalah dengannya. Manakala Imam al-Bukhari pula berpendapat, beliau adalah munkar al-hadith. Abu Hatim pula berkata, tidak boleh dijadikan hujah dengannya. Ibn ‘Adi pula berpendapat, beliau adalah hasan al-hadith, dan aku berharap tidak ada masalah dengannya. Manakala Abu Daud menyatakan, beliau adalah dha‘if. Setelah itu, Imam al-Zahabi menyebutkan pula bahawa sebahagian pengkritik menilai hadith Muslim sebagai hasan.

Suwaid bin Sa‘id menyatakan, beliau dipanggil al-Zanji disebabkan kegelapan kulitnya. Akan tetapi Ibn Sa‘ad dan ulama selainnya tidak bersetuju dengan hal tersebut. Mereka menyatakan bahawa beliau berkulit putih kemerah-merahan, dan digelar sebagai al-Zanji disebabkan hal sebaliknya (lawannya). Demikianlah juga Abu Ishaq al-Syirazi menyebutkan dalam Tabaqat al-Fuqaha’ bahawa beliau disebut sebagai al-Zanji kerana kulitnya yang putih kemerahan.

Tambahan lagi, Ibrahim al-Harbi juga ada mengatakan, beliau adalah seorang faqih di Makkah, dan berkulit putih kemerahan seperti bawang. Begitu juga Ibn Abi Hatim menyatakan, beliau adalah seorang imam dalam ilmu dan fiqh, berkulit putih kemerahan, dan digelar sebagai al-Zanji disebabkan kesukaan dan kegemarannya kepada kurma.

Menurut Abu Ishaq al-Syirazi beliau adalah Mufti Makkah selepas Ibn Juraij. Beliau meninggal dunia pada tahun 179 Hijrah. Namun, Imam al-Zahabi berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 180 Hijrah. Imam al-Nawawi menyebutkan, Muslim al-Zanji termasuk dalam kalangan ajdad (nenek moyang) para ulama Syafi‘iyyah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 8/176-178; Tabaqa’ al-Fuqaha’, hlm. 71; Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 2/92-93).

  • Sufyan bin ‘Uyainah

Nama sebenar beliau ialah Abu Muhammad Sufyan bin ‘Uyainah bin Abu ‘Imran Maimun maula Muhammad bin Muzahim al-Hilali al-Kufi, kemudian al-Makki. Beliau merupakan seorang Imam besar, Hafiz pada zamannya, dan Syeikh al-Islam. Beliau dilahirkan di Kufah pada tahun 107 Hijrah.

Beliau mencari dan mempelajari hadith, sedangkan ketika itu beliau masih muda, bahkan masih kanak-kanak, dan beliau bertemu dengan ulama besar, mengambil ilmu daripada mereka dengan penuh semangat, menekuninya, mengumpulkannya, mengarangnya, dan menghabiskan sepanjang hidupnya untuk hal itu. Ramai orang mencarinya, dan ia menjadi pusat perhatian, sehingga sanad hadithnya menjadi tinggi dan orang-orang dari pelbagai tempat datang mencarinya. Beliau menghubungkan generasi keturunannya dengan leluhurnya.

Beliau mula mendengar hadith pada tahun 119 Hijrah, 120 Hijrah dan tahun seterusnya. Justeru, beliau mendengar hadith daripada ‘Amr bin Dinar — dan banyak meriwayatkan hadith daripadanya. Beliau juga mendengar hadith daripada Ziyad bin ‘Ilaqah, al-Aswad bin Qais, ‘Ubaidullah bin Abu Yazid, Ibn Syihab al-Zuhri, ‘Asim bin Abu al-Nujud, ABu Ishaq al-Syaibani, Abdullah bin Dinar, Zaid bin Aslam dan ramai lagi.

Begitu juga terdapat ramai dalam kalangan ulama yang meriwayatkan hadith daripadanya. Di antara mereka ialah al-A‘masy, Ibn Juraij, Syu‘bah (dan mereka daripada kalangan guru-gurunya), Hammam bin Yahya, al-Hasan bin Hayy, Zuhair bin Mu‘awiyah, Hammad bin Zaid, Ibrahim bin Sa‘d, Abu Ishaq al-Fazari, Mu‘tamir bin Sulaiman, Abdullah bin al-Mubarak, ‘Abd al-Rahman bin Mahdi, Yahya al-Qattan, Imam al-Syafi‘i, ‘Abd al-Razzaq, al-Humaidi, Sa‘id bin Mansur, Yahya bin Ma‘in, Ali bin al-Madini, Ibrahim bin Bassyar al-Ramadi, Ahmad bin Hanbal dan ramai lagi.

Menurut Imam al-Zahabi, di antara para ashabnya yang banyak meriwayatkan daripadanya ialah al-Humaidi, Imam al-Syafi‘i, Ibn al-Madini, Ahmad dan Ibrahim al-Ramadi. Imam al-Syafi‘i pernah menyebutkan, kalaulah bukan kerana Imam Malik dan Sufyan bin ‘Uyainah, pasti sudah hilang atau lenyap ilmu-ilmu di Hijaz. Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan, aku mendapati hadith-hadith ahkam semuanya ada pada Ibn ‘Uyainah melainkan enam hadith sahaja. Begitu juga aku mendapati hadith-hadith ahkam semuanya ada pada Malik melainkan tiga puluh hadith. Seterusnya, Imam al-Zahabi menambah, ini menjelaskan kepada kamu betapa luasnya cakupan ilmu pengetahuan Sufyan bin ‘Uyainah. Hal itu kerana beliau telah menggabungkan hadith-hadith ahli Iraq dengan hadith-hadith ahli Hijaz. Beliau melakukan rehlah dan bertemu dengan ramai ulama sebagaimana Imam Malik juga bertemu dengan ulama-ulama itu. Kedua-duanya sebanding dari sudut ketekunan dan kesungguhan tetapi Imam Malik lebih utama dan lebih tinggi kedudukannya kerana beliau guru yang bernama Nafi‘ dan Sa‘id al-Maqburi.

Selain daripada itu, ‘Abd al-Rahman bin Mahdi ada menyebutkan, Ibn ‘Uyainah termasuk dalam kalangan orang yang paling mengetahui dengan hadith-hadith di Hijaz.

Sufyan bin ‘Uyainah meninggal dunia ketika berusia 91 tahun iaitu bersamaan 198 Hijrah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 8/454-474).

  • Sa‘id bin Salim al-Qaddah

Nama sebenar beliau ialah Abu Uthman Sa‘id bin Salim al-Makki al-Qaddah. Beliau ialah seorang al-Imam dan al-Muhaddith. Beliau meriwayatkan hadith dan mengambil ilmu daripada Ibn Juraij, ‘Ubaidullah bin Umar, Yunus bin Abu Ishaq, Sufyan al-Thauri dan ramai lagi. Manakala di antara ulama yang meriwayatkan daripadanya pula ialah Sufyan bin ‘Uyainah, Baqiyyah bin al-Walid (dan kedua-duanya adalah lebih berusia daripadanya),  Imam al-Syafi‘i, Asad bin Musa, Abu ‘Ammar al-Husain bin Huraith, Ali bin Harb dan ramai lagi.

Di samping itu, Yahya bin Ma‘in menyatakan, tidak ada masalah dengannya. Manakala Uthman bin Sa‘id al-Darimi berpendapat, beliau tidak ada apa-apa (laisa bizaka — merujuk kepada perawi yang lemah). Selain itu, Muhammad bin Abu ‘Abd al-Rahman al-Muqri’ menyebutkan, aku menulis hadith daripadanya dan beliau adalah seorang Murji’ah.

Beliau meninggal dunia hampir sama dengan kematian Sufyan bin ‘Uyainah, iaitu sekitar tahun 191-193 hijrah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala, 9/319-320)

  • Daud bin Abd al-Rahman al-‘Attar

Nama sebenarnya ialah Abu Sulaiman Daud bin ‘Abd al-Rahman al-‘Attar, berasal daripada penduduk Makkah. Beliau mengambil ilmu dan meriwayatkan hadith daripada gurunya, Ibn Khuthaim dan ‘Amr bin Dinar.

Manakala yang menjadi muridnya serta meriwayatkan daripadanya pula adalah Ibn al-Mubarak dan Ahmad bin Yunus. Beliau seorang yang benar-benar itqan dalam ilmu. Beliau meninggal dunia pada tahun 174 Hijrah.

Dikatakan ayahnya beragama Nasrani yang pekerjaannya sebagai perawat (seperti doktor pada masa kini) dan kemudian memeluk agama Islam. Ayahnya termasuk dalam kalangan penduduk Syam. Kemudian beliau datang ke kota Makkah dan melahirkan anaknya Daud di sana pada tahun 100 Hijrah. Akhirnya anaknya menjadi salah seorang ahli fiqh dan ahli hadith di Makkah. (Lihat al-Thiqat oleh Ibn Hibban, 6/286).

  • ‘Abd al-Majid bin ‘Abd al-‘Aziz bin Abu Rawwad al-Azdi

Nama sebenar beliau ialah Abu ‘Abdillah ‘Abd al-Majid bin ‘Abd al-‘Aziz bin Abu Rawwad al-Makki, maula al-Muhallab bin Abu Sufrah. Beliau seorang yang alim, seorang teladan, al-Hafiz, seorang yang benar, guru di Masjidil Haram. Beliau meriwayatkan daripada Ibn Juraij dengan semua kitabnya, begitu juga daripada Ma‘mar bin Rasyid, Aiman bin Nabil, Marwan bin Salim, Uthman bin al-Aswad dan ramai lagi.

Manakala di antara ulama yang meriwayatkan daripadanya ialah Abu Bakar al-Humaidi, Ahmad bin Hanbal, Muhammad bin Yahya al-‘Adani, Hajib al-Manbiji, AHmad bin Syaiban al-Ramli, al-Zubair bin Bakar, Husain bin Abdullah al-Raqi dan ramai lagi.

Beliau termasuk dalam kalangan Murji’ah. Sekalipun begitu, beliau dinilai sebagai thiqah oleh Ahmad dan Yahya bin Ma‘in. Beliau meninggal dunia pada tahun 206 Hijrah sebagaimana yang disebutkan oleh Salamah bin Syabib. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala, 9/434)

  • Ismail bin Abdullah bin Qustantin al-Makki

Ibn Abi Hatim al-Razi menyebut dalam al-Jarh wa al-Ta‘dil (2/180), Ismail bin Abdullah bin Qustantin mengambil ilmu dan meriwayatkan hadith daripada Syibl bin ‘Abbad al-Makki dan Ali bin Zaid bin Jad‘an. Manakala di antara ulama yang mengambil ilmu dan meriwayatkan daripadanya pula ialah Muhammad bin Idris al-Syafi‘i, Ya‘qub bin Abu ‘Abbad al-Makki.

Menurut pentahqiq kitab Siyar A‘lam al-Nubala’ beliau ialah Ismail bin Abdullah al-Makhzumi. Beliau dikenali sebagai al-Qist (القسط). Beliau adalah muqri’ dalam kalangan ahli Makkah. Beliau meninggal dunia pada tahun 170 Hijrah. Menurut pengarang kitab Ma‘rifah al-Qurra’ (1/117), beliau merupakan ashab Ibn Kathir yang terakhir meninggal dunia. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 12/50).

Antara guru beliau di kota Madinah:

  • Malik bin Anas, Imam Dar al-Hijrah

Beliau ialah Abu ‘Abdillah Malik bin Anas ibn Malik bin Abi Amir bin Amr bin al-Harith ibn Ghaiman bin Husail ibn Amr bin al-Harith al-Asbahi al-Madani. Kunyah-nya Abu ‘Abdillah, manakala laqabnya al-Asbahi, al-Madani, al-Faqih, al-Imam Dar al-Hijrah. (Lihat al-Mausu‘ah Rijal al-Kutub al-Tis‘ah oleh Abdul Gafur Sulaiman al-Bandari, hlm. 494)

Beliau mendengar hadith daripada Nafi‘ dan Zuhri. Beliau juga meriwayatkan hadith daripada ‘Amir bin Abdullah bin al-Zubair bin al-‘Awwam dan Salim Abu al-Nadr. (Lihat al-Tarikh al-Kabir, 7/310 dan Tahzib al-Tahzib, 5/10)

Abu Yusuf murid kanan Abu Hanifah pernah berkata: “Aku tidak mengenali orang yang lebih alim daripada tiga orang ini iaitu: Malik, Ibn Abi Laila dan Abu Hanifah.”

  • Ibrahim bin Sa’d al-Ansari

Imam al-Zahabi menyebut dalam al-Ruwah al-Thiqat al-Mutakallam fihim bima la Yujib Raddahum bahawa Ibrahim bin Sa’d termasuk dalam kalangan ulama dan seorang yang thiqah.

Menurutnya lagi, daripada kalangan ulama Madinah, beliau berpendapat, sepakat pengarang kitab Sahih untuk berhujah dengan Ibrahim bin Sa’d secara mutlaq walaupun tidaklah setaraf dengan al-Zuhri dan Malik ataupun Ibn ‘Uyainah.

  • ‘Abd al-‘Aziz bin Muhammad al-Darawardi

Abu Daud berkata, Aku mendengar anak Hammad ditanya kepadanya berkenaan ‘Abd al-‘Aziz bin Abu Hazim. Beliau menjawab: “Aku berharap dia tidak mengapa.” Kemudian ditanya kepada Imam Ahmad: “Dia lebih kamu cinta atau al-Darawardi?” Imam Ahmad menjawab: “Bahkan dia lebih aku cinta. Akan tetapi al-Darawardi lebih alim daripadanya.” (Lihat Su’alat Ibn Daud, 197)

  • Ibrahim bin Muhammad bin Abu Yahya al-Aslami

Abu al-Hasan al-‘Ijli dalam al-Thiqat menyebut, beliau berasal dari Madinah. Imam al-Zahabi dalam al-Siyar menyebut, Ibrahim bin Muhammad bin Abu Yahya al-Aslami merupakan seorang syeikh yang alim, muhaddith, faqih dan salah seorang ulama yang masyhur.

Dilahirkan sekitar tahun seratus hijrah atau sebelum itu. Beliau meriwayatkan hadith daripada Soleh maula al-Tau’amah, Ibn Syihab, Muhammad bin al-Munkadir, Musa bin Wardan, Safwan bin Sulaim, Yahya bin Sa’id dan ramai lagi.

Beliau mengarang kitab al-Muwatta’ iaitu lebih besar berganda-ganda daripada Muwatta’ Imam Malik. Ramai ulama meriwayatkan daripadanya, di antaranya Imam al-Syafi‘i, Ibrahim bin Musa al-Farra’ dan al-Hasan bin ‘Arafah. Beliau meninggal dunia pada tahun 184 hijrah.

  • Abdullah bin Nafi’ al-Saigh.

Imam al-Zahabi menyebut dalam al-Siyar bahawa beliau termasuk ulama Madinah dan ahli fiqh yang masyhur. Al-Qadhi ‘Iyadh amat memujinya dalam kitab al-Madarik. Beliau meninggal dunia pada tahun 186 hijrah.

Antara guru beliau di Yaman:

  • Mutarrif bin Mazin.

Ibn Hibban dalam al-Majruhin menyebutkan bahawa beliau merupakan Qadhi di Yaman. Beliau meriwayatkan daripada Ma‘mar dan Ibn Juraij. Manakala antara yang meriwayatkan daripadanya pula ialah Imam al-Syafi‘i dan ulama dari Iraq.

  • Hisyam bin Abu Yusuf, Qadhi San‘a’.

Imam al-Zahabi menyebut dalam al-Siyar bahawa beliau seorang tokoh ulama, seorang Qadhi di San‘a’, Yaman dan juga seorang yang faqih. Beliau meriwayatkan daripada Ibn Juraij, Ma‘mar, Sufyan al-Thauri, al-Qasim bin Fayyadh dan ramai lagi.

Manakala di antara ulama yang meriwayatkan daripadanya pula ialah Ibrahim bin Musa al-Farra’, Yahya bin Ma‘in, Ishaq bin Rahuyah, Abdullah bin Muhammad al-Musnadi dan ramai lagi. Abu Hatim menyebutnya sebagai seorang yang thiqah dan itqan dalam ilmu.

  • ‘Amr bin Abu Salamah, rakan kepada al-Auza‘i.

Imam al-Zahabi menyebut dalam al-Siyar bahawa beliau ialah ‘Amr bin Abu Salamah Abu Hafs al-Tinnisi. Seorang tokoh ulama, al-Hafiz, seorang yang benar, tinggal di Tinnis dan dinisbahkan kepadanya.

Beliau meriwayatkan daripada al-Auza‘i, Abu Mu’aid Hafs bin Ghailan, Abdullah bin al-‘Ala’ bin Zabr, al-Laith bin Sa’d, Malik bin Anas dan ramai lagi.

Manakala ulama yang meriwayatkan daripadanya pula ialah Abu ‘Abdillah al-Syafi‘i, Duhaim, Abdullah bin Muhammad al-Musnadi, Ahmad bin Soleh dan lain-lain. Beliau meninggal dunia pada tahun 214 Hijrah.

  • Yahya bin Hassan bin Hayyan al-Bakri, rakan kepada al-Laith bin Sa’d

Imam al-Zahabi dalam al-Siyar menyebutkan, beliau seorang tokoh ulama, al-Hafiz, seorang teladan, Abu Zakariyya al-Bakri al-Basri, al-Tinnisi. Ibn Hayyan menyebut, beliau berasal dari Damsyik. Duhaim berkata, beliau dilahirkan pada tahun 144 Hijrah. Beliau mengambil ilmu dan meriwayatkan hadith daripada Hammad bin Salamah, ‘Abd al-‘Aziz bin al-Majisyun, al-Laith bin Sa’d, Malik bin Anas dan ramai lagi.

Manakala ulama yang meriwayatkan daripadanya pula adalah seperti Muhammad bin Wazir al-Dimasyqi, Imam al-Syafi‘i, Ahmad bin Soleh, Ja‘far bin Musafir, Duhaim, Muhammad bin Sahl bin ‘Askar, al-Rabi’ al-Muradi dan lain-lain.

Antara guru beliau di Iraq:

  • Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani.

Imam al-Zahabi dalam al-Siyar menyebutkan bahawa beliau ialah Muhammad bin al-Hasan bin Farqad Abu ‘Abdillah al-Syaibani. Seorang yang ‘alim, faqih di Iraq, rakan Abu Hanifah. Beliau dilahirkan di Wasit dan membesar di Kufah.

Beliau mempelajari sebahagian ilmu fiqh daripada Abu Hanifah dan kemudian melengkapkannya dengan Abu Yusuf. Beliau meriwayatkan daripada Abu Hanifah, Mis’ar, Malik bin Mighwal, al-Auza‘i dan Malik bin Anas. Di antara yang mempelajari daripadanya adalah seperti Imam al-Syafi‘i, Abu ‘Ubaid, Hisyam bin ‘Ubaidullah, Ahmad bin Hafs iaitu seorang faqih dari Bukhara dan ramai lagi.

  • Waki‘ bin al-Jarrah al-Kufi.

Beliau ialah Waki‘ bin al-Jarrah bin Malih bin ‘Adi bin Fars al-Ru’asi al-Kufi. Seorang tokoh ulama, al-Hafiz dan Muhaddith Iraq. Nama julukan atau kunyahnya ialah Abu Sufyan. Beliau dilahirkan pada tahun 129 Hijrah. (Lihat al-Tarikh al-Kabir oleh al-Bukhari, 6/179).

Waki‘ mempunyai kekuatan hafazan yang unggul. Yahya bin Ma‘in pernah menyebutkan, “Aku tidak menjumpai sesiapapun yang lebih kuat hafazannya daripada Waki‘.” Menurut beliau lagi, “Aku mendengar Waki‘ berkata: ‘Aku tidak mencatat sesuatupun daripada al-Thauri (ketika berada bersamanya) sebaliknya aku menghafaznya. Apabila aku pulang ke rumahku, ketika itulah aku mencatatnya.’” (Lihat Tarikh Baghdad, 15/647).

Waki‘ bin al-Jarrah meninggal dunia pada tahun 197 Hijrah ketika pemerintahan Muhammad bin Harun. Ketika itu usianya adalah 66 tahun. (Lihat al-Tarikh al-Kabir, 6/179 dan al-Tabaqat al-Kubra, 6/394).

  • Abu Usamah Hammad bin Usamah al-Kufi.

Imam al-Zahabi menyebutkan bahawa beliau ialah Hammad bin Usamah bin Zaid al-Kufi al-Hafiz. Beliau dilahirkan sekitar tahun 120 tahun Hijrah. Imam al-Bukhari menyebutkan, beliau meninggal dunia pada bulan Zulkaedah tahun 201 Hijrah ketika usianya 80 tahun.

  • Ismail bin ‘Atiyyah al-Basri.

Imam al-Zahabi menyebutkan, beliau adalah seorang tokoh ulama, al-Hafiz, al-Basri al-Kufi. Beliau dilahirkan pada tahun yang sama dengan kematian al-Hasan al-Basri, iaitu 110 Hijrah. Beliau seorang yang faqih, seorang imam, seorang mufti dan termasuk dalam kalangan tokoh-tokoh imam hadith.

  • ‘Abd al-Wahhab bin ‘Abd al-Majid al-Basri.

Imam al-Zahabi menyebutkan, beliau seorang al-Hafiz, al-Hujjah iaitu Abu Muhammad ‘Abd al-Wahhab bin ‘Abd al-Majid bin al-Salt bin Abdullah bin al-Hakam bin Abu al-‘As al-Thaqafi.

Al-Hakam merupakan saudara kepada Uthman bin Abu al-‘As R.Anhuma. Beliau dilahirkan pada tahun 108 Hijrah.

  • Abu Yusuf, Qadhi al-Qudhah.

Imam al-Zahabi menyebutkan bahawa beliau ialah seorang tokoh ulama, seorang mujtahid, muhaddith, Qadhi al-Qudhah iaitu Abu Yusuf Ya’qub bin Ibrahim bin Habib bin Hubaisy bin Sa’d bin Bujair bin Mu’awiyah al-Ansari. Beliau dilahirkan pada tahun 113 Hijrah.

Antara guru beliau di Mesir dan Baghdad:

Di Mesir pula, seorang perempuan yang bernama Nafisah binti Hasan bin Zaid bin al-Hasan bin Ali. Beliau ialah sealim-alim ulama di Mesir sehingga mengalahkan kaum lelaki. Imam al-Syafi‘i amat meminati Sayyidah Nafisah ini, lebih-lebih lagi beliau amat alim dan berketurunan Rasulullah SAW. Beliau belajar dengan guru wanitanya ini dari belakang tabir, tidak secara mendepani muka.

Guru-gurunya yang berlainan memudahkan beliau meluaskan bidang ilmu fiqh dan menambahkan ilmu yang dipelajari serta meninggikan ilmu pengetahuannya.

Di Baghdad pula, beliau mempelajari ilmu hadith dan ilmu mantiq dari gurunya, Muhammad bin al-Hasan. Beliau menulis ilmu-ilmu yang diterima secara keseluruhannya.

Beliau sangat menghormati gurunya dan begitu juga gurunya menghormati beliau. Imam al-Syafi‘i menghormati majlis-majlis gurunya lebih daripada majlis-majlis kebesaran diraja. Beliau tidak pernah meninggalkan majlis-majlis yang diadakan oleh gurunya.

Oleh kerana menghormati gurunya, beliau tidak pernah berbincang dengan gurunya kecuali setelah beliau mendapat kebenaran daripada gurunya. Apabila gurunya meninggalkan majlis, beliau terus mempertahankan kedudukan ilmu fiqh orang-orang Madinah.

Mengikut kisah yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulum al-Din, Imam al-Syafi‘i pernah mempelajari ilmu kebatinan atau ilmu hati dari seorang ulama tasawwuf, yang bernama Syaiban yang merupakan seorang penggembala.

Walaupun begitu, masih tidak jelas, adakah ia Syaiban bin Ibrahim, seorang ahli tasawuf dan seorang Wali Allah di Mesir yang digelar dengan Zu al-Nun al-Misri.[1]

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Nota Hujung:

[1] Abu al-Faidh Zu al-Nun, Thauban bin Ibrahim al-Misri. Seorang yang cukup hebat pada zamannya sama ada dari segi ilmu, warak, hal dan juga adab. Beliau pernah menasihatkan Sultan al-Mutawakkil sehingga menangis. Zu al-Nun al-Misri terkenal dengan tubuh yang kurus dan kemerah-merahan. Meninggal dunia pada tahun 245 Hijrah. Antara kata hikmahnya ialah:

  • Kalam itu berpaksi pada empat perkara: Kasihkan Tuhan yang Jalil, bencikan sedikit, ikut al-Quran dan takut perubahan iman.
  • Antara tanda kasih kepada Allah SWT ialah mengikut Nabi SAW pada semua perkara.
  • Hikmah tidak mendiami perut yang kenyang.