#5668: Pendapat Ulama’ Terhadap Imam Malik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan pada kami, pandangan dan pujian ulama’ terhadap Imam Malik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”.

Riwayat Abu Daud (3641). Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya.

Antara ulama yang memuji Imam Malik ialah:

  • Sufyan Ibn ‘Uyainah berkata bahawa Malik ialah Imam dalam bidang Hadith. Kata beliau: “Kami bukanlah siapa-siapa di hadapan Imam Malik. Kami hanya mengikuti jejak beliau, dan kami menilai syeikh tertentu jika Malik menulis tentangnya, maka kami juga menulisnya. Saya tidak melihat Madinah kecuali akan rosak setelah meninggalnya Malik bin Anas.” (Lihat Tartib al-Madarik wa Taqrib al-Masalik, 1/168)

  • Yahya bin Sa‘id berkata: “Imam Malik adalah Amir al-Mukminin dalam (ilmu) Hadith.”

  • Al-Nasa’i berkata, tiada ulama selepas tabi’in yang lebih cerdas daripada Malik. Tiada yang lebih mulia, thiqah dan lebih terpercaya Hadithnya daripadanya. Beliau yang paling sedikit memiliki riwayat daripada du’afa’ (para perawi yang lemah) dan kami tidak pernah dapati beliau meriwayatkan daripada perawi matruk kecuali ’Abd al-Karim. (Lihat al-Tarikh al-Kabir, 7/310) dan Tahzib al-Tahzib, 5/10)

 

  • Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abd al-Hakam berkata: “Apabila Imam Malik mengeluarkan pendapatnya dan orang-orang lain tidak, maka pendapatnya menjadi hujah.

  • ‘Abd al-Rahman Ibn Mahdi berkata: “Tidak ada di atas dunia ini orang yang lebih terselamat tentang hadith-hadith Rasulullah SAW melainkan Imam Malik.

Beliau turut menyebut:  “Aku tidak pernah tahu seorang ulama Hijaz kecuali mereka menghormati Imam Malik. Sesungguhnya Allah tidak mengumpulkan umat Muhammad, kecuali dalam petunjuk.”

Kata beliau lagi: Tokoh-tokoh ulama’ bagi manusia pada zaman mereka ada empat orang: Al-Thauri, Malik, al-Auza‘ie dan Hammad bin Zaid.” Beliau turut menyebut: “Tidak pernah aku melihat seorang pun yang lebih cerdik dan pintar daripada Malik.”

Ibn Mahdi juga menyebut:  “Para imam ahli hadith yang patut diteladani adalah empat orang: Sufyan al-Thauri di Kufah, Malik di Hijaz, al-Auza’ie di Syam dan Hammad bin Zaid di Basrah.” (Lihat Tartib al-Madarik wa Taqrib al-Masalik, 1/153)

  • Abu Yusuf murid Abu Hanifah berkata: “Aku tidak mengenali orang yang lebih alim daripada tiga orang ini: Malik, Ibn Abi Laila dan Abu Hanifah.” (Lihat Malik Hayatuhu wa ‘Asruhu wa Ara’uhu wa Fiqhuhu, hlm. 87)

 

  • Imam al-Nawawi berkata: “Semua ulama’ bersepakat di atas keterhadapan, kebesaran, ketinggian dan kemuliaannya serta mereka percaya tentang ketetapan dan pembesarannya terhadap hadith-hadith Rasulullah SAW.”

  • Imam al-Syafi‘i berkata: “Malik adalah guruku, daripadanya aku mengambil ilmu dan dia menjadi hujjah antaraku dan Allah. Tiada seorang pun yang lebih beramal ke atasku daripada Malik. Apabila disebut ulama, maka Malik adalah bintang yang paling bercahaya.”

Seseorang bertanya kepada al-Syafi‘i: “Apakah tuan menemui seseorang yang (alim) seperti imam Malik?” Imam al-Syafi‘i menjawab: “Aku mendengar dari orang yang lebih tua dan lebih berilmu daripada aku, mereka menyatakan bahawa kami tidak menemui orang yang (alim) seperti Malik, maka bagaimana kami (orang sekarang) menemui yang seperti Malik?

Imam al-Syafi‘i juga pernah menyebut: “Jika kamu memperoleh athar dari Malik maka peganglah dengan erat. Jika ada hadith tertentu maka Malik adalah bintangnya (pakarnya). Jika para ulama disebutkan, maka Malik adalah bintangnya (pakarnya), dan tidak ada seorang pun dalam bidang ilmu yang sama dengan Malik; kerana hafalannya, ketelitian dan kewaspadaannya. Barang siapa yang menginginkan hadith sahih, maka hendaklah dia (menemui) Malik.” (Lihat Tartib al-Madarik wa Taqrib al-Masalik, 1/149)

Beliau juga turut memuji Imam Malik dengan mengatakan: “Apabila datangnya sesuatu athar, maka cukuplah kemuliaan bagi seseorang itu dengan mengatakan: Malik telah menyampaikan kepada aku. (Lihat Bahjah al-Mahafil wa Ajmal al-Wasail bi al-Ta’rif bi Ruwah al-Syamail, 1/55)

 

  • Ahmad ibn Hanbal berkata: “Malik adalah sebahagian dari para ulama. Beliau adalah imam dalam ilmu hadith dan fiqh. Siapa lagi yang setanding dengan Malik. Beliau mengikuti jejak pendahulunya berserta kecerdasan dan tinggi akhlaknya.” (Lihat Malik Hayatuhu wa ‘Asruhu wa Ara’uhu wa Fiqhuhu, 88)

Beliau turut menyebut: “Jika engkau melihat seseorang yang membenci imam Malik, maka ketahuilah bahawa orang tersebut adalah ahli bid‘ah.”

  • Ayyub bin Suwaid berkata: “Aku tidak pernah pun melihat seorang yang lebih benar percakapannya melainkan Imam Malik.” Kata beliau lagi: “Imam Malik adalah Imam Dar al-Hijrah (Imam Madinah) dan al-Sunnah dan seorang yang thiqah.”

  • Abu Hatim al-Razi berkata: “Imam Malik seorang yang dipercayai dan imam bagi Hijaz dan beliau adalah setegas-tegas sahabat, al-Zuhri. Apabila mereka berselisih, fatwanya diserahkan kepada Imam Malik kerana beliau seorang yang bertakwa, percakapannya yang bersih dan beliau lebih halus percakapannya daripada al-Thauri dan al-Auza‘ie.

  • Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Beliau hidup selama lebih kurang 90 tahun. Dahulu di (Madinah) ada seorang Imam yang meriwayatkan hadith, berfatwa, pendapatnya didengari selama sekitar 70 tahun, wibawanya selalu meningkat setiap saat, keutamaan dan kepemimpinannya terus meningkat sehingga beliau meninggal dunia. Beliau adalah rujukan satu-satunya sejak bertahun-tahun yang lalu. Memiliki kepemimpinan dunia dan agama tanpa ada seorang pun yang membantahnya.” (Lihat Tartib al-Madarik wa Taqrib al-Masalik, 1/126)

  • Abu Mus‘ab berkata: “Mereka berduyun-duyun datang ke rumah Malik bin Anas, sehingga mereka membunuh antara satu sama lain, disebabkan terlalu sesak dan kami berada di sisi Malik. Beliau tidak berkata sesuatu pun dan tidak pula berpaling dan manusia berkata-kata kepada mereka begini (iaitu mereka menghulurkan kepala-kepala mereka kerana sangat memerhati dan mendengar). Para pemerintah takut kepadanya (Malik), mereka berkata dan mendengar, Imam Malik menjawab kepada masalah dengan tidak atau ya, dan beliau tidak ditanya: Dari manakah pendapat engkau ini?

  • Ibn al-Athir berkata: “Cukuplah kemuliaan bagi al-Syafi’i bahawa gurunya adalah Imam Malik, dan cukuplah kemuliaan bagi Malik bahawa di antara muridnya adalah al-Syafi’i.”

  • Imam al-Zahabi menyebut: “Setelah zaman tabi’in, tiada seorang pun ulama’ di Madinah yang menandingi Imam Malik dalam ilmu, fiqh, kewibawaan dan hafazannya.”

  • Terdapat sebuah ungkapan, sekiranya Sufyan al-Thauri (w.161 H) adalah imam dalam hadith, al-Auza’i (w. 157 H) adalah imam dalam sunnah, maka Malik adalah imam dalam hadith dan juga sunnah sekaligus. (Lihat Usul al-Hadith `Ulumuhu wa Mustalahuhu, hlm. 26) dan al-Sunnah Qabl al-Tadwin oleh Muhammad `Ajjaj al-Khatib, hlm. 20)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”

Surah al-Hasyr (10)