#5674: Mutiara Kata Imam Syafi’i

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato’ Seri berikan sebahagian mutiara hikmah oleh Imam Syafi’i Rahimahullah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Surah al-Baqarah: 269)

Imam al-Syafi‘i adalah seorang yang alim dalam bidang ilmu fiqh. Beliau juga terkenal di dalam sastera bahasa Arab dan ilmu-ilmu yang lain. Tambahan lagi, beliau juga seorang yang bijak. Nasihat-nasihat beliau mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Di antara kata-kata dan nasihat Imam al-Syafi‘i adalah:

  • Belajarlah ilmu fiqh sebelum kamu menjadi ketua dan apabila kamu menjadi ketua, maka tidak ada masa lagi untuk belajar.
  • Menuntut ilmu adalah lebih baik daripada melakukan solat sunat.
  • Sesiapa yang benar dalam persaudaraan dengan sahabatnya, akan ditutup kekurangan dan diampun kehinaannya.
  • Keredhaan manusia adalah suatu tuntutan yang tidak terhingga baiknya. Aku berkata sedemikian adalah semata-mata untuk memberi nasihat, bukanlah terselamat manusia daripada suatu jalan. Maka hendaklah engkau melakukan apa yang berguna pada diri engkau. Jalankanlah perkara itu terlebih dahulu dan tinggalkanlah manusia dengan keadaannya.
  • Sesiapa yang berkehendak kepada dunia, maka hendaklah ia mencari ilmu dan sesiapa berkehendak kepada akhirat juga, hendaklah ia mencari ilmu.
  • Seseorang itu tidak akan berjaya di dalam menuntut ilmu melainkan dia menuntut semasa dalam kemiskinan. Sesungguhnya aku pernah meminta kertas, tetapi aku sukar untuk mendapatkannya.
  • Sesiapa yang menuntut ilmu, hendaklah dia mendalaminya. Tanpa keikhlasan, ilmu itu akan hilang.
  • Perhiasan ulama ialah petunjuk, manakala pakaiannya pula adalah baik akhlaknya, sementara kecantikan mereka adalah berjiwa mulia.
  • Kemiskinan ulama ialah kemiskinan ikhtiar, manakala kemiskinan orang jahil ialah kemiskinan kesusahan.
  • Sesiapa yang mulia tanpa ketakwaan, maka ia bukanlah orang yang mulia.
  • Sesiapa yang tamak haloba kepada dunia ini, dia akan menjadi hamba kepada ahli dunia.
  • Politik untuk memimpin manusia adalah lebih sukar daripada politik untuk memimpin binatang.
  • Jika aku mendapati minuman yang sejuk dapat mengurangkan maruah, sudah tentu aku tidak akan meminumnya.
  • Orang yang menjaga maruah sentiasa di dalam perjuangan.
  • Sesiapa berbuat baik kepada engkau, maknanya dia percayakan engkau dan sesiapa yang menjauhi engkau, maka dia akan melepaskan engkau.
  • Manusia yang paling tinggi darjatnya ialah mereka yang tidak melihat darjatnya. Begitu juga semulia-mulia manusia ialah manusia yang tidak melihat kemuliaannya.
  • Pertolongan adalah penyucian keaiban.
  • Persahabatan dengan orang yang tidak takut kepada keaiban akan mendapat malu di akhirat.
  • Engkau dijadikan oleh Allah dengan bebas, maka hendaklah engkau hidup bebas sebagaimana engkau dijadikan.
  • Apabila engkau tersalah membuat sesuatu kebaikan kepada orang yang bertakwa kepada Allah, maka engkau hendaklah berbuat baik kepada orang yang menjauhi keburukan.
  • Sesiapa yang memegang jawatan kadi, sedangkan ia tidak dikehendaki, dia adalah seorang pencuri.
  • Sesiapa yang mendengar dengan telinga, dia seorang pencerita dan sesiapa yang mendengar dengan hatinya, dia adalah orang yang sedar dan sesiapa yang memberi nasihat dengan perbuatan, dia adalah seorang penunjuk.
  • Siapa yang mengenal dirinya, maka ucapan dan kata-kata orang lain tidak akan memudharatkannya.
  • Waspadalah dirimu daripada jiran yang jahat.
  • Orang yang tertipu adalah orang yang sentiasa dilalaikan oleh angan-angan.
  • Empat perkara yang sedikitnya adalah banyak: Penyakit, kefakiran, permusuhan dan api.
  • Termasuk perkara yang mengkagumkan adalah seseorang yang sibuk mengarahkan dirinya ke suatu arah, namun takdir membawanya ke arah yang lain.
  • Tiadalah amalan yang lebih hampir kepada Allah selepas perkara fardhu yang lebih afdhal daripada menuntut ilmu.
  • Tidaklah bahagia dalam menuntut ilmu kecuali sesiapa yang menuntut dengan kepayahan dan kesukaran.
  • Orang ramai banyak tenggelam dalam kelalaian berdasarkan surah ini (Surah al-Asr).
  • Empat rukun bagi maruah: Baik akhlak, pemurah, tawaduk dan kuat beribadat.
  • Maruah itu dengan memelihara anggota daripada apa yang tidak ada kena mengena dengannya.
  • Sesiapa yang mahu Allah kurniakan kepadanya dengan kebaikan, maka hendaklah dia bersangka baik dengan manusia.
  • Tidak sempurna lelaki di dunia kecuali dengan empat sifat; dengan agama, amanah, pemeliharaan diri dan penjagaan jiwa.
  • Sesiapa yang menghiasi dirinya dengan batil, maka dia telah mencarikkan maruahnya.
  • Tawaduk itu daripada akhlak orang yang mulia, sedangkan takabur itu dari perangai orang yang hina.
  • Apabila banyaknya keperluan dan hajat, maka mulakanlah dengan yang paling utama.
  • Memberi syafaat itu merupakan zakat bagi maruah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”