#5676: Firasat Imam Malik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan pada kami, kisah firasat Imam Malik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْمُتَوَسِّمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda.”

(Surah al-Hijr:75)

Sebahagian ulama mengatakan bahawa ayat ini turun terhadap para ahli firasat. Mengenai kata “al-Mutawassimin” dalam ayat ini:

  • Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata, ”’Mereka yang mampu mentaksir sesuatu di masa hadapan (ahl al-nazar).”
  • Qatadah berkata, “Orang-orang yang mengambil pelajaran.”
  • Muqatil RA berkata, “Orang-orang yang berfikir. Dalam mengulas hal ini, beliau menyatakan bahawa hal itu merupakan salah satu sifat seorang mukmin, sebahagian dari kemuliaan yang Allah anugerahkan padanya, sebahagian dari buah-buah keimanan, dan sebahagian dari pahala amal soleh yang dilakukan pelakunya.”
  • Ibn al-Qayyim menukilkan bahawa Mujahid berkata: “(Mereka adalah) para ahli firasat.”
  • Orang dahulu kala dan sekarang telah menyusun buku tentang perkara itu dan sebahagian ulama’ telah menjadikannya sebagai petunjuk untuk menjatuhkan hukuman sebagaimana yang dilakukan oleh Iyas ibn Mu’awiyah, seorang qadhi yang berwibawa pada zaman Tabi’in.

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:

وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُمْ بِسِيمَاهُمْ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: “Dan kalau Kami menghendaki, niscaya Kami tunjukkan mereka kepadamu, sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka dengan tanda-tandanya. Dan kamu benar-benar akan mengenal mereka dari kiasan-kiasan perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu.”

(Surah Muhammad :30)

Sebahagian orang-orang soleh menyatakan, “Barangsiapa yang memenuhi zahirnya dengan mengikuti sunnah dan batinnya dengan Muraqabatullah (merasa diawasi Allah SWT), menahan pandangannya dari hal-hal yang diharamkan, mengekang dirinya dari hawa-hawa nafsu, dan terbiasa dengan makanan yang halal, maka firasatnya tidak akan pernah meleset.”

Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقُوا فِرَاسَةَ الْمُؤْمِنِ ، فَإِنَّهُ يَنْظُرُ بِنُورِ اللَّهِ

Maksudnya: “Takutlah kamu firasat orang yang beriman kerana dia melihat berdasarkan cahaya Ilahi.”

Riwayat al-Tirmizi (3127) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (7843)

Ibn al-Athir berkata, “Ia memberi maksud dengan dua makna, pertama berdasarkan kepada zahir hadith ke atasnya. Maka, Allah mencampakkan kepada hati-hati auliya’ (wali-walinya). Justeru, mereka dapat mengetahui keadaan sebahagian manusia dengan jenis daripada karamah atau ketepatan dzan dan sangkaan yang kuat. Kedua, jenis dengan mengetahui tanda-tanda, pengalaman, rupa bentuk dan akhlak. Maka, akhirnya dia dapat mengetahui keadaan manusia.”

Al-Mubarakfuri berkata: “Takutlah firasat orang yang beriman. Perkataan firasat dengan baris bawah adalah nama dari ucapan kamu, ‘Aku berfirasat kepada si fulan dengan kebaikan.’ Ia terbahagi kepada dua:

Pertama, menunjukkan padanya oleh zahir hadith iaitu apa yang Allah campakkan pada hati wali-walinya. Akhirnya, mereka mengetahui demikian itu keadaan manusia sama ada daripada jenis karamah, benarnya sangkaan dan pemerhatian serta dzan dan tasabbut.

Kedua, ialah apa yang terhasil dengan bukti-bukti pengalaman dan akhlak yang diketahui dengannya keadaan manusia juga.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/441)

Al-Munawi berkata, “Takutlah kamu firasat orang yang beriman iaitu pengamatannya berdasarkan hati dan dhamir melalui cahaya-cahaya yang terang pada hatinya. Justeru, maka berlakulah tajalli baginya dengan hakikat-hakikat. Maka, sesungguhnya orang yang berilmu itu melihat dengan cahaya Allah melalui mata hatinya yang disinari dengan cahaya Allah.” (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/31)

Dikatakan Imam Malik mempunyai firasat yang tajam sebagai kurniaan Allah SWT sehingga dapat mengenali lubuk hati dan kedudukan seseorang. Ini merupakan kehebatannya yang bukan diperolehi semata-mata tarbiah dan pengajaran tetapi lebih kepada kurniaan Ilahi.

Salah seorang muridnya berkata, Imam Malik mempunyai firasat yang tidak silap. Imam Syafi’i pernah menceritakan berkenaan firasat Imam Malik yang antara lain menyebut: Tatkala aku sampai ke kota Madinah dan bertemu dengannya kemudian beliau mendengar ucapanku seraya bertanya: Siapa namamu? Aku menjawab: Muhammad. Kemudian Imam Malik berkata: Hai Muhammad bertakwalah kamu kepada Allah dan jauhilah sebarang dosa dan maksiat kerana kamu pada masa hadapan akan mempunyai kedudukan yang mulia.

Dalam sebuah kisah sepertimana disebut oleh Abu Ishaq al-Syirazi dalam Tabaqat al-Fuqaha’ (hlm. 152-153) dan Imam al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala (1/318), menceritakan seperti berikut:

Yahya bin Yahya ialah seorang ulama yang berasal dari negeri Andalus. Beliau menempuh perjalanan yang cukup jauh dari negerinya untuk menimba ilmu daripada Imam Malik bin Anas. Setiap hari, beliau duduk di majlis ilmu Imam Malik dengan tekun untuk menimba ilmu hadith, fiqah dan akhlak daripada beliau.

Suatu hari, apabila Imam Malik dan murid-muridnya sedang menimba ilmu, tiba-tiba seekor gajah melintas di hadapan majlis mereka. Haiwan ini sangat jarang-jarang terlihat di negeri Arab, apalagi di Madinah. Oleh itu, semua murid Imam Malik segera keluar untuk melihat haiwan ini.

Namun Yahya bin Yahya tidak berganjak daripada tempat duduknya. Beliau tidak meninggalkan majlis Imam Malik, malah terus mendengar pengajaran gurunya.

Imam Malik berkata, “Mengapa engkau tidak keluar untuk melihat gajah? Bukankah haiwan ini tidak terdapat di negerimu?”

Yahya berkata, “Aku keluar dari Andalus untuk berjumpa dengan anda, juga untuk mempelajari ilmu serta adab anda. Aku tidak datang untuk melihat gajah.”

Imam Malik sangat kagum dengan jawapan ini. Beliau lalu memberinya gelaran, “Tokoh cerdas dari Andalus.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”