#5677: Wanita Tersentuh Bukan Mahram Semasa Tawaf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum untuk Wanita yang sedang di dalam ihram @ wudhu tersentuh dengan bukan mahram semasa melakukan tawaf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami berpendapat tidak batal wuduk jika tersentuh kulit berlainan jantina ketika melakukan tawaf disebabkan oleh masyaqqah dan kesukaran untuk mengelakkannya kerana kesesakan di tempat tawaf.  Badan berautoriti yang menguruskan ibadat Haji Malaysia melalui Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21 Musim Haji 1426H menyatakan:

  • Dalam isu batal wuduk ketika mengerjakan tawaf, maslahat jemaah haji dapat dijamin, masyaqqah dan haraj mereka seperti kesesakan di tempat tawaf yang boleh menyebabkan berlaku persentuhan lelaki dan perempuan, ia dapat dihindarkan dengan beralih daripada pendapat mazhab al-Syafi‘i yang masyhur dan berpegang kepada pendapat marjuh dalam mazhab al-Syafi‘i, atau memilih pendapat selain mazhab al-Syafi‘i.
  • Jemaah Haji boleh menggunakan pendapat yang mengatakan tidak batal wuduk jika berlaku persentuhan lelaki dan perempuan tanpa syahwat, berdasarkan hal-hal berikut:
  • Ia adalah pendapat yang paling sederhana.
  • Fuqaha mazhab al-Syafi‘i pun ada yang berpendapat sedemikian sebagaimana yang disebut oleh Ibn Suraij dan al-Rafi‘i.

Pendapat tersebut ialah pendapat yang paling tepat dengan maqasid syariah dan menepati ruh syariah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”