Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa beza antara saum (الصَّوْم) dengan siyam (الصِّيَام)?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ibadah puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu kewajipan kepada umat Islam yang cukup syarat-syarat wajib untuk berpuasa. Ia merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Firman Allah SWT:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”
(Surah al-Baqarah: 183)
Daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW telah bersabda:
بُنِيَ الإسْلَامُ علَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وأنَّ مُحَمَّدًا رَسولُ اللَّهِ، وإقَامِ الصَّلَاةِ، وإيتَاءِ الزَّكَاةِ، والحَجِّ، وصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam dibina di atas lima perkara: “Mengucap bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadhan.”
Riwayat al-Bukhari (87) dan Muslim (17)
Pengertian puasa dari sudut bahasa adalah menahan diri daripada melalukan sesuatu, seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang menceritakan perihal Maryam AS:
إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) al-Rahman.”
(Surah Maryam: 26)
Manakala, puasa dari sudut Syarak pula adalah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula daripada terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/69)
Dalam menjelaskan ayat 26 Surah Maryam di atas, al-Tabari berkata: Ertinya, jika ada orang yang mengajak untuk bercakap atau bertanya tentang kelahiran anakmu, maka katakanlah bahawa, ‘Sesungguhnya aku sedang bernazar kepada Allah untuk menutup mulut dan tidak bercakap dengan sesiapa pun.’ (Lihat Jami’ al-Bayan, 17/528)
Ibn Kathir berkata: Yakni, jika kamu melihat seseorang, maka berikan isyarat kepadanya yang menunjukkan bahawa sesungguhnya kamu bernazar untuk Tuhan Yang Maha Pemurah, untuk berpuasa dari bercakap, diam serta tidak berbicara. Sehinggalah kamu tidak bercakap dengan seorang manusia pun.
Puasa untuk tidak bercakap di sini khusus bagi Maryam. Hal ini tidak berlaku secara umum kepada selain dari Maryam. Diriwayatkan bahawa terdapat dua orang datang menemui Abdullah bin Mas’ud R.A. Salah seorang daripadanya mengucapkan salam, manakala yang seorang lagi tidak mengucapkan salam. Lalu Ibn Mas’ud bertanya kepadanya: “Ada apa denganmu?” Lalu rakannya menjawabnya: “Sesungguhnya dia telah bersumpah untuk tidak bercakap kepada manusia pada hari ini.”
Ibn Mas’ud pun berkata kepadanya: “Bercakaplah kepada manusia dan berilah salam kepada mereka, kerana wanita itu (Maryam) mengetahui bahawa tiada seorang pun yang akan mempercayainya bahawa dia hamil tanpa suami. Maka dia berpuasa dengan tidak bercakap agar ada alasan kepada mereka jika dia ditanya tentang hal itu.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/471)
Al-Syaukani menyebut bahawa maksud puasa di sini ialah puasa daripada bercakap. (Lihat Fath al-Qadir, 1/234)
Ayat-Ayat al-Quran yang Menyebut dengan Lafaz ‘الصِّيَامُ’ dan ‘صَوْمًا’
Terdapat beberapa ayat al-Quran yang menyebut dengan lafaz Saum dan Siyam, antaranya:
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Surah al-Baqarah (183)
Firman Allah SWT:
فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ مِن قَبْلِ أَن يَتَمَاسَّا ۖ فَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًا
Maksudnya: “Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin.”
(Surah al-Mujadalah: 4)
Firman Allah SWT:
فَكُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا ۖ فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنسِيًّا
Maksudnya: “Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) al-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapa pun dari kalangan manusia pada hari ini.”
(Surah Maryam: 26)
Kesimpulan
Berkenaan persoalan di atas, tidak ada perbezaan antara ‘الصِّيَام’ dan ‘الصَّوْم’ sama ada dari sudut bahasa mahupun pada Syarak kerana kedua-duanya adalah masdar (kata terbitan) daripada perkataan ‘صَامَ’.
Ibn Manzur menyebut dalam Lisan al-’Arab:[1]
الصَّوْمُ: تَرْكُ الطَّعَامِ وَالشَّرَابِ والنِّكَاحِ وَالْكَلَامِ، صَامَ يَصُومُ صَوْماً وصِيَامًا وَاصْطَامَ
Maksudnya: “Puasa: Iaitu meninggalkan makan, minum, bernikah dan bercakap. ‘صَامَ يَصُومُ صَوْماً وصِيَامًا وَاصْطَامَ’.”(Lihat Lisan al-’Arab, 12/350)
Meskipun begitu, terdapat juga sebahagian ulama’ yang menafikan persamaan pada sudut bahasa sepenuhnya. Mereka yang menentang persamaan ini berusaha membezakan antara kedua-dua perkataan dengan cara menunjukkan penggunaan setiap perkataan dalam makna yang khusus untuknya, yang tidak terdapat pada yang lain.
Dalam erti kata yang lain, ada yang berpendapat, Saum dengan maksud pada bahasa, sedangkan Siyam dengan maksud puasa pada Syarak. Wallahu a’lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
Nota hujung:
[1] www.islamweb.net/ar/fatwa/55552/الفرق–بين–الصيام–والصوم–لغة–وشرعا