#5681: Wanita Keguguran Rambut Semasa dalam Ihram

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum jika rambut seseorang wanita gugur semasa di dalam ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, mencukur dan mencabut rambut serta bulu di badan termasuk dalam larangan ihram. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.

(Surah al-Baqarah: 196)

Al-Khatib al-Syirbini menyatakan, ayat “وَلا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ” merujuk kepada rambut dan bulunya pada seluruh jasad. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/297).

Dr. Wahbah al-Zuhaili juga ada menyebutkan, larangan ayat di atas diqiaskan dalam larangan mencabut bulu atau mencukurnya pada seluruh badan dan larangan ini merupakan sepakat para ulama. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/2300).

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan, pengharaman dan larangan ini tertakluk kepada lelaki dan perempuan yang berihram. Begitu juga wajib ke atas wali seorang budak yang sedang berihram untuk menghalangnya daripada menggugurkan rambutnya. Larangan ini juga termasuk pada rambut di kepala, janggut, misai, bulu ketiak, bulu roma dan bulu diseluruh badan sama ada dihilangkannya dengan mencukur, memendekkan, mencabut, membakarnya atau selain daripadanya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/321).

Seterusnya, rambut wanita yang gugur semasa dalam ihram, jika ia terjadi atau gugur dengan sebab perbuatannya sendiri seperti perbuatanya menyikat rambut, maka wajib baginya untuk membayar fidyah.

Namun, sekiranya dia syak atau tidak pasti sama ada rambut atau bulunya tercabut dengan sebab dia menyikat rambutnya atau gugur dengan sendiri, maka tidak dikenakan fidyah ke atasnya mengikut pendapat yang paling sahih. Ini kerana rambut yang tercabut itu, dia tidak meyakini sebab gugurnya. Oleh itu, ia bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

 الأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّة

Maksudnya: “Keadaan asal seseorang itu bebas daripada tanggungan.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/298; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/321; al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 119)

Justeru, kami katakan bahawa bulu atau rambut yang gugur ketika berada dalam ihram maka tidaklah dia dikenakan dam melainkan hal itu disengajakan dan diyakini ia daripada perbuatannya.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)