#5684: Kematian Imam Malik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan kematian Imam Malik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ

Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”

(Surah al-Mulk: 2)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas, beliau membawakan satu riwayat daripada jalur Ma‘mar, daripada Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَذَلَّ بَنِي آدَمَ بِالْمَوْتِ، وَجَعَلَ الدُّنْيَا دَارَ حَيَاةٍ ثُمَّ دَارَ مَوْتٍ، وَجَعَلَ الْآخِرَةَ دَارَ جَزَاءٍ ثُمَّ دَارَ بَقَاءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menghinakan anak keturunan Adam dengan kematian, dan Allah menjadikan dunia sebagai tempat kehidupan lalu menjadi tempat kematian bagi manusia, dan akhirat sebagai tempat dibalasnya (apa yang dilakukan di dunia) dan menjadi tempat yang kekal.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/197)

 Sebelum meninggal dunia, Imam Malik jatuh sakit selama dua puluh dua hari. Pada malam sebelum beliau menghembus nafasnya yang terakhir, secara kebetulan, Bakar Sulaiman al-Sawaf ada bersama mereka di dalam rumahnya. Mereka berkata: “Wahai Abu ‘Abdillah, bagaimana keadaanmu sekarang?” Beliau menjawab: “Aku tidak tahu apa yang aku hendak katakan kepada kamu, cuma aku ingin juga berkata: Adakah kamu semua akan ditentukan pada keesokan hari (hari Kiamat) mendapat kemaafan yang tidak diperhitungkan?” 

Tidak beberapa lama selepas itu, Imam Malik pun mengucap dua kalimah syahadah dan berkata: “Kesemua perkara adalah bagi Allah, sama ada sebelumnya, mahupun selepasnya dan beliau menyerahkan rohnya kepada Allah Yang Maha Esa.

Imam Malik meninggal dunia di Madinah, iaitu pada 14 Rabiul Awal 179 Hijrah. Ada juga pendapat yang mengatakan, beliau meninggal dunia pada 11, 12, dan 13 Rejab. Sementara Mus’ab bin Abdullah al-Zubairi dan Imam al-Nawawi pula berpendapat, beliau meninggal dunia pada bulan Safar.

Antara yang memandikan jenazah beliau adalah Ibn Kinanah dan Ibn Abi Zanbar. Manakala yang menuangkan air ke atas jenazah beliau pula adalah Anak beliau bernama Yahya dan jurutulis beliau bernama Habib. Dikatakan Imam bagi solat jenazah beliau adalah Raja ‘Abd al-‘Aziz bin Muhammad bin Ibrahim bin ‘Ali bin ‘Abdullah bin ‘Abbas. Imam Malik dikebumikan di tanah perkuburan Baqi’ dan kuburnya terletak di pintu masuk al-Baqi’. Semoga Allah SWT meredhainya. (Lihat Tartib al-Madarik, 2/146; Siyar A‘lam al-Nubala’, 8/131, al-Tabaqat al-Kubra, 5/469)

Imam al-Syafi’i pernah berkata: “Imam Malik adalah pendidik dan guruku. Darinya kami mempelajari ilmu, tidak seorang pun yang akan terselamat bagiku selain daripada Imam Malik. Aku menjadikan beliau sebagai hujjah antara aku dengan Allah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”