#5686: Nasihat dan Mutiara Kata Abu Hanifah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami beberapa nasihat dan mutiara kata Abu Hanifah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Juga saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan saling nasihat-menasihati  kepada kesabaran.”

(Surah al-Asr: 3)

Maksud saling berpesan dengan kebenaran ialah: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkan-Nya dan menjauhi apa yang dilarangNya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590. Lihat juga Tafsir Ibn Abi Hatim, 7/567)

Perkataan al-Haq atau benar mempunyai tiga takwilan:

  • Iaitu tauhid. Inilah pendapat Yahya bin Sallam.
  • Iaitu al-Quran. Inilah pendapat Qatadah.
  • Iaitu Allah. Inilah pendapat al-Suddi.

Diihtimalkan (diandaikan) pendapat yang keempat iaitu nasihat penggantinya kepada orang yang hampir mati supaya tidak mati kecuali dalam keadaan Islam. (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 6/334)

Al-Baidhawi berkata: Al-Haq di sini adalah dengan makna yang thabit, yang tidak boleh diingkarinya sama ada dalam bentuk iktiqad atau amalan. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil atau Tafsir al-Baidhawi, 5/336)

Imam Abu Hanifah meninggalkan beberapa pesanan untuk panduan hidup sebagai nasihat atau pesanan daripada seorang guru kepada murid-muridnya.

Pertama, nasihat yang telah diucapkan kepada seorang muridnya yang tertua, iaitu Abu Yusuf Ya’qub bin Ibrahim, al-Qadi dan rakannya. Nasihat tersebut dianggap sebuah nasihat yang luar biasa. Beliau membawa satu perlembagaan yang aneh tentang cara berbudi bahasa dengan raja-raja dan juga orang ramai. Beliau menunjukkan kepada murid-muridnya jalan bagi mendapat taufik dan kejayaan dalam bidang ilmu pengetahuan dan mengajar.

Imam Abu Hanifah menerangkan juga kepada Abu Yusuf Ya’qub tentang akhlak atau budi pekerti yang mulia dan beliau menasihatinya supaya menjauhkan perbuatan-perbuatan yang dikeji dan tidak baik. Beliau juga mengingatkan bahawa jangan melakukan perkara yang tidak sesuai dengan taraf, walaupun perbuatan itu harus bagi orang-orang awam.

Beliau menasihatkan Abu Yusuf kerana perbuatan tersebut tidak layak bagi Abu Yusuf memandangkan beliau sebagai seorang yang bakal menjadi alim dalam bidang fiqh dan mufti dalam negeri pada waktu itu. Secara umumnya, beliau meminta murid-muridnya supaya menjauhkan diri daripada kesemua perkara syubhat kerana beliau berpegang kepada kata-kata bahawa perbuatan yang baik bagi orang-orang awam kadangkala tidak sesuai bagi orang yang soleh.

Tidak menjadi aneh kepada kita jika Imam Abu Hanifah memberi nasihat kepada muridnya di dalam semua bahagian, seperti adab bercakap, mendengar, berbahas atau berdebat, adab berjalan, duduk, berpaling, adab beribadat, menuntut ilmu, mengajar, bertukar fikiran, adab memberi nasihat kepada orang ramai, adab memakai pakaian, masuk ke tempat mandi dan sebagainya.

Antara nasihat Imam Abu Hanifah kepada seorang murid yang bernama Ya’qub, katanya: “Hendaklah engkau taat dan muliakan raja-raja. Jangan sesekali engkau berdusta di hadapannya. Jangan engkau menghadapnya setiap waktu melainkan raja itu memanggil engkau untuk berbincang berhubung dengan ilmu pengetahuan kerana setiap kali mengadap raja, kemungkinan engkau akan menjadi hina dan rendah di sisinya dan raja akan memandang rendah kepada kamu.

Katanya lagi: “Engkau hendaklah berhati-hati daripada raja, sebagaimana engkau berhati-hati daripada api. Engkau akan mendapat faedah kepanasan semasa engkau jauh daripadanya. Jika engkau berdekatan dengan api, engkau akan terbakar dan sakit. Raja-raja tidak akan memikirkan kepada sesiapa, melainkan muslihat bagi dirinya sahaja.

Di dalam adab bercakap dan bertutur kata di khalayak ramai, Imam Abu Hanifah menasihati dengan katanya: “Jangan engkau bercakap di hadapan orang ramai lebih daripada apa yang disoalkan. Jagalah percakapan semasa membicarakan tentang pekerjaan dan perniagaan, dan hendaklah ada perkara yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan kerana ianya boleh membawa kepada sangkaan yang tidak baik, menerima rasuah dan sebagainya.

Imam Abu Hanifah menasihatkan juga supaya jangan ketawa atau tersenyum simpul di khalayak ramai. Katanya lagi: “Jangan selalu pergi ke pasar-pasar dan jangan bercakap-cakap dengan anak muda remaja.

Imam Abu Hanifah menasihatkan muridnya tentang adab menghormati guru dan orang-orang tua. Katanya: “Hendaklah engkau menghormati guru dan orang tua. Jangan berjalan bersama-sama mereka di jalan raya kerana ini akan mengurangkan darjat mereka kerana engkau mendahului mereka. Adalah tidak manis kerana mereka lebih berilmu dan jika engkau berjalan di belakang juga tidak manis kerana mereka lebih tua daripada engkau.

Dalam adab-adab ini, beliau berpandukan kepada hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak menghormati golongan tua dan kanak-kanak, mereka bukan dari golongan orang-orang Islam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”