Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami detik-detik akhir kehidupan Imam Syafii sehingga kematiannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ
Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”
(Surah al-Mulk: 2)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas, beliau membawakan satu riwayat daripada jalur Ma‘mar, daripada Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ أَذَلَّ بَنِي آدَمَ بِالْمَوْتِ، وَجَعَلَ الدُّنْيَا دَارَ حَيَاةٍ ثُمَّ دَارَ مَوْتٍ، وَجَعَلَ الْآخِرَةَ دَارَ جَزَاءٍ ثُمَّ دَارَ بَقَاءٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menghinakan anak keturunan Adam dengan kematian, dan Allah menjadikan dunia sebagai tempat kehidupan lalu menjadi tempat kematian bagi manusia, dan akhirat sebagai tempat dibalasnya (apa yang dilakukan di dunia) dan menjadi tempat yang kekal.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/197)
Menjawab persoalan di atas, Daripada Abu Ali al-Hasan bin Muhammad bin al-Sabbagh al-Za‘farani, katanya: Apabila Imam al-Syafi‘i hendak bermusafir dari Iraq ke Mesir, beliau mengucapkan syair:
Wahai saudaraku, jiwaku tergerak ke Mesir,
Walaupun terpisahkan oleh jarak dan padang pasir,
Demi Allah, aku tak pasti sama ada kepada kejayaan dan kekayaan aku melangkah,
Ataukah ke dalam kubur?
Al-Za‘farani berkata: “Demi Allah, beliau melangkah kepada kedua-duanya.”
Imam al-Syafi‘i banyak menghidap penyakit semasa hidupnya. Antaranya ialah penyakit buasir yang menyebabkan keluarnya darah pada setiap waktu sehingga beliau meninggal dunia. Inilah riwayat daripada Imam Abu Zuhrah.
Imam al-Muzani berkata: Aku masuk menemui Imam al-Syafi‘i ketika beliau sakit yang membawa kepada kematian. Lantas aku bertanya, “Bagaimana pagi kamu wahai Abu ‘Abdillah? Imam al-Syafi‘i menjawab:
أَصْبَحْتُ مِنَ الدُّنْيَا رَاحِلًا، وَلِلْإِخْوَانِ مُفَارِقًا، وَلِسُوءِ فِعَالِي مُلَاقِيًا وَعَلَى اللَّهِ وَارِدًا، وَبِكَأْسِ الْمَنِيَّةِ شَارِبًا، وَلَا وَاللَّهِ مَا أَدْرِي أَرُوحِي تَصِيرُ إِلَى الْجَنَّةِ، فَأُهَنِّيهَا أَوْ إِلَى النَّارِ، فَأُعَزِّيهَا
Maksudnya: “Keadaanku pada pagi ini adalah dari dunia akan berkelana, dari sahabat-sahabat akan berpisah, dan buruk amalanku akan ku tempuhi, kepada Allah aku akan datang, segelas kematian akan kuhirup. Aku tidak tahu adakah diriku menuju ke syurga, maka aku ucapkan tahniahnya atau ke neraka maka aku ucapkan takziahnya.” (Lihat al-Zuhd al-Kabir oleh Imam al-Baihaqi, no. 575)
Imam al-Syafi‘i meninggal dunia di Mesir pada hari Khamis selepas Maghrib, iaitu pada malam akhir bagi bulan Rejab tahun 204 Hijrah. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi muridnya yang setia, iaitu Imam al-Rabi‘ bin Sulaiman al-Jizi ketika berusia 54 tahun. Al-Rabi‘ berkata: “Beliau meninggal dunia pada malam Jumaat, selepas Maghrib, sedangkan aku di sisinya.” Beliau meninggal dunia di kediaman Abdullah bin ‘Abd al-Hakam. Beliau meninggalkan wasiat terakhir kepada Abdullah bin ‘Abd al-Hakam. Jenazah Imam al-Syafi‘i dikebumikan pada hari Jumaat selepas Asar pada keesokan harinya. Anak-anak ‘Abd al-Hakam mengebumikannya di tanah perkuburan mereka, iaitu di sebelah Barat al-Khandak. Di sekelilingnya ialah kubur-kubur anak Zahrah. Yaqut berkata: “Kuburnya sangat masyhur di sana sebagai dalil bagi kebenarannya.”
Dalam riwayat lain dikatakan Imam al-Syafi‘i meninggal pada hari Jumaat sebelum solat. (Lihat Manazil al-A’immah al-Arba‘ah, hlm. 202-203)
Selain daripada itu, diceritakan juga bahawa tatkala Imam al-Syafi‘i meninggal dunia, jenazahnya dibawa masuk ke dalam rumah gurunya, Sayyidah Nafisah dan beliau mendirikan solat jenazah buat Imam al-Syafi‘i di dalam rumahnya. Kedudukan tempat tinggal Sayyidah Nafisah adalah tempat di mana beliau dimaqamkan pada hari ini. Sayyidah Nafisah tetap tinggal di rumah tersebut sehinggalah beliau meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun 208 Hijrah. (Lihat Wafayat al-A‘yan, 5/424).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”