#5692: Imam Malik Solat di Rumah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah pada akhir hayat, Imam Malik tidak datang ke masjid dan bagaimana kisah sebenarnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, dengan adanya sifat-sifat yang tersebut maka adalah diharapkan mereka menjadi dalam kalangan golongan yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Taubah: 18)

Ibn Kathir berkata: “Bukanlah yang dimaksudkan dengan memakmurkan masjid-masjid Allah hanya dengan menghiasi dan mendirikan bangunannya saja, akan tetapi memakmurkannya di sini adalah dengan berzikir kepada Allah dan menegakkan syariat di dalamnya, serta membersihkannya daripada kotoran maksiat dan kesyirikan kepada Allah SWT.”

Syeikh Al-Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya bahawa orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan. (Lihat Tafsir al-Wasit, 6/228)

Terdapat sebuah kisah yang diceritakan dalam kitab-kitab al-Tarajim berkenaan Imam Malik di akhir hayat beliau, dan antara kisah yang cukup luas tersebar adalah kisah Imam Malik yang menghindari dari solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid.

Kisah ini diriwayatkan oleh Abu Mus‘ab al-Zuhri, katanya: “Malik pernah tidak hadir ke masjid dan menunaikan solat dengan sekumpulan jemaah di rumahnya, dan beliau juga pernah menunaikan solat Jumaat di rumaahnya secara bersendirian.”

Berkenaan kisah ini, al-Zahabi bersendiri dalam meriwayatkan kisah ini, di dalam kitab beliau Siyar A‘lam al-Nubala’ (8/114) dan Tarikh al-Islam (11/326), dan beliau juga mengisyaratkan bahawa kisah ini didapati dalam Wafayat al-A‘yan oleh Ibn Khalkan.

Akan tetapi, penulis mendapati kisah ini terdapat sedikit penambahan dalam riwayat Ibn Khallikan. Al-Waqidi menceritakan: “Malik dahulunya datang ke masjid, menunaikan solat, menghadiri Jumaat dan solat jenazah, menziarahi orang sakit, menunaikan hak-hak, duduk di masjid dan dikelilingi sahabatnya. Kemudian, beliau hanya menunaikan solat berjemaah dan beredar, tanpa duduk di masjid lagi atau menunaikan solat jenazah, tetapi beliau akan berjumpa keluarga si mati dan mengucapkan takziah. Kemudian,  beliau meninggalkan kesemuanya, beliau tidak lagi menghadiri solat berjemaah atau solat Jumaat, tidak juga menziarahi sesiapa untuk mengucapkan takziah atau menunaikan haknya. Beliau berterusan melakukan demikian sehinggalah beliau meninggal dunia. Ketika mana ditanyakan kepada beliau sebabnya, beliau menjawab: ‘Bukan semua orang mampu menceritakan tentang keuzurannya’.”

Ibn Khallikan memberikan komentar tentang kisah ini, katanya, sebab Imam Malik meninggalkan masjid adalah kerana beliau ditimpa penyakit kencing tidak lawas. Beliau pernah berkata: “Tidak boleh aku duduk di masjid Rasulullah SAW sedangkan aku dalam keadaan tidak suci, kerana itu merupakan satu penghinaan.” (Lihat Wafayat al-A‘yan, 4/136)

Masih terdapat kemungkinan lain tentang sebab Imam Malik tidak hadir ke masjid di pengakhiran usia beliau. Al-Qadhi ‘Iyadh membawakan riwayat ‘Atiq bin Ya‘qub dan Mus‘ab, bahawa ketika Imam Malik sedang nazak, beliau ditanya tentang sebab tidak hadir ke masjid selama beberapa tahun.

Imam Malik menjawab: “Kalau bukan kerana aku sudah berada di hari-hari terakhir dunia dan di permulaan akhirat, nescaya aku tidak akan beritahu kalian. Sebabnya kencing tidak lawas. Maka aku tidak mahu datang ke masjid Rasulullah SAW dalam keadaan tidak bersuci kerana ia merupakan satu penghinaan ke atas Rasulullah SAW. Aku juga tidak suka untuk memberitahu penyakitku, maka aku mengadu kepada tuhanku.”

Dalam jalur yang lain, Imam Malik berkata bahawa beliau khuatir akan melakukan suatu perbuatan yang mungkar. Dan dalam riwayat Khalaf bin Muhammad, Imam Malik berkata: “Aku sudah tidak larat untuk melakukan sedemikian.”

Dikatakan juga, bahkan sebabnya kerana luka sebatan beliau terbuka, dan ada bau keluar dari luka tersebut. Maka Imam Malik tidak mahu membuat kekotoran di masjid Rasulullah SAW. (Lihat Tartib al-Madarik, 2/55-56)

Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, kisah Imam Malik tidak hadir ke masjid di penghujung hayatnya ini thabit, dan ia juga  banyak disebutkan dalam biodata beliau dalam kitab al-Tarajim. Meskipun begitu, penulis mendapati beberapa kemusykilan pada riwayat yang dibawakan kerana seakan terdapat percanggahan dengan kredibiliti Imam Malik selaku ulama’ hadith yang sangat berpegang teguh dengan al-Sunnah.

Disebutkan bahawa Imam Malik melaksanakan solat-solat lain secara berjemaah, sedangkan ia boleh sahaja dilakukan walau bersendirian, manakala solat Jumaat pula beliau lakukannya secara sendirian, sedangkan ia tidak boleh dilakukan melainkan bersama jemaah. Rasulullah SAW bersabda seperti dalam hadith Thariq bin Syihab:

الجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ

Maksudnya: “Solat Jumaat merupakan hak kewajipan ke atas setiap muslim secara berjemaah.”

Riwayat Abu Daud (1067), al-Tabarani (8206) dan al-Hakim (5578)

Seterusnya, jika benar Imam Malik tidak hadir ke masjid kerana sakit, maka beliau diberikan keuzuran untuk tidak menunaikan solat Jumaat, maka bagaimana mungkin beliau tetap menunaikan solat Jumaat dalam keadaan bersendirian. Pengecualian ini disebutkan sendiri oleh Rasulullah SAW dalam sambungan hadith di atas:

إِلَّا امْرَأَةً، أَوْ صَبِيًّا، أَوْ مَمْلُوكًا، أَوْ مَرِيضًا

Maksudnya: “Dikecualikan (solat Jumaat) bagi wanita, kanak-kanak, hamba, dan juga orang yang sakit.”

Maka, penulis lebih memilih untuk bertawaqquf berkenaan sebab Imam Malik tidak hadir ke masjid di penghujung usia beliau. Pastinya, beliau mempunyai alasan dan sebab yang kukuh.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)