#5695: Wanita Haid Duduk dalam Masjid dan Berzikir

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum wanita yang haid duduk di dalam masjid tanpa solat dan hanya berzikir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tidak boleh bagi perempuan masuk dan duduk di masjid dalam keadaan haid. Namun, jika sekadar melalui kawasan masjid atau surau jumaat atau duduk diluar ruangan solat, maka tidak menjadi masalah. Yang demikian kerana Allah SWT memerintahkan dalam firmannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”

(Surah al-Nisa’:43)

Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Syafi‘i menyatakan bahawa seorang yang dalam keadaan berjunub, dia tidak boleh untuk duduk di dalam masjid dan hanya boleh melaluinya sahaja. (Lihat Ahkam al-Quran, 3/168)

Begitu juga dengan hadith Nabi SAW yang lain:

إِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلاَ لِحَائِضٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya masjid tidak halal untuk dimasuki oleh orang yang berjunub dan wanita yang sedang dalam keadaan haid.”

Riwayat Abu Daud (232) dan Ibn Majah (645)[1]

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)

 

Nota Hujung:

[1] Meskipun hadith ini tidak terlepas daripada kritikan para ulama’, namun Imam al-Syaukani telah membahaskan secara panjang lebar dan menegaskan bahawa hadith ini menjadi kuat kerana disokong oleh banyak faktor penguat (syawahid). (Lihat Nail al-Authar, 1/288)