#5698: Kisah Selepas Kematian Imam Syafi’i

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah terdapat kisah pelik berlaku selepas kematian Imam Syafi’i?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibn Farhun menceritakan di dalam kitab al-Dibaj al-Mazhab bahawa sekumpulan manusia duduk di dalam majlis ilmu Imam al-Syafi‘i selepas beliau meninggal dunia. Tiba-tiba datanglah seorang Arab mengucapkan salam dan bertanya di manakah Imam al-Syafi‘i? Di manakah bulan dan matahari bagi majlis ini? Mereka menjawab kepadanya: “Beliau telah meninggal dunia!”

Lalu orang itu pun menangis dengan kuat dan berkata: “Semoga Allah mengasihaninya dan mengampunkan dosa-dosanya.” Katanya lagi: “Beliau adalah pembuka kepada pintu-pintu hujah yang tertutup, juga penutup lawannya dengan hujah yang terang. Beliau juga menyucikan air muka yang hitam. Seterusnya, beliau pembuka pintu fikiran-fikiran yang tertutup rapat. Semoga Allah meredhainya!”

Al-Rabi‘ berkata: Aku bermimpi dalam tidur bahawa Adam telah wafat. Aku bertanya berkenaan tafsiran mimpi tersebut. Lalu dikatakan: “Ini menandakan matinya orang yang paling alim di muka bumi kerana Allah SWT mengajarkan Adam nama-nama kesemuanya.” Maka tidak berapa lama kemudian, kedengaran kematian Imam al-Syafi‘i. (Lihat Muqaddimah al-Majmu‘, 1/24)