#5701: Ibadat Sunat Digandakan Seperti Fardhu pada bulan Ramadhan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah benar akan digandakan pahala ibadat sunat seperti fardhu pada bulan Ramadhan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umum mengetahui, nas menunjukkan yang berbuat baik akan digandakan sepuluh dan tidaklah kejahatan dibalas dengan satu kejahatan. Hal berdasarkan nas:

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ وَمَن جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ ‎

Maksudnya: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”

(Surah al-An’am: 160)

Ibn Kathir berkata: “Allah mengkhabarkan bahawa Dia memberi pahala bagi setiap orang yang mengerjakan amal kebaikan dengan sepuluh kali ganda untuk satu amal kebaikan. Adapun sesiapa yang melakukan kejahatan, maka dia hanya akan dibalas sesuai dengan amal kejahatannya itu. Allah tidak akan pernah menzalimi sesiapa pun. Seperti mengurangkan kebaikan seseorang atau menambahkan kejahatan seseorang.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/192)

Mengikut hadith riwayat Salman al-Farisi secara marfu’, antara lain menyebut:

مَنْ تَطَوَّعَ فِيْهِ بِخَصْلَةٍ مِنْ خِصَالِ الخََيْرِ كَانَ كَمَنْ أَدَّى فَرِيْضَةً فِيْمَا سِوَاهُ وَمَنْ أَدَّى فِيْهِ فَرِيْضَةً كَانَ كَمَنْ أَدَّى سَبْعِيْنَ فَرِيْضَةً فِيْمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Siapa yang melakukan amalan sunat dari cabang kebaikan nilainya sama seperti melaksanakan fardu yang selain daripadanya, dan siapa yang menunaikan fardu, maka ia seolah-olah ia menunaikan tujuh puluh fardu yang selain daripadanya.” (Lihat al-Misykah al-Masabih, 1/612)

Justeru, kami katakan bukan sahaja ibadat fardhu sahaja digandakan pahala, tetapi ibadat sunat juga turut digandakan oleh Allah SWT. Maka, sama-samalah kita perbanyakkan lagi amal ibadat kita terutamanya di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”