#5702: Nasihat Imam Abu Hanifah kepada Penuntut Ilmu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana nasihat Imam Abu Hanifah kepada penuntut ilmu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oeh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Pada ayat ini, Allah S.W.T dengan jelas menyatakan suruhan untuk sebahagian umat Islam mempelajari ilmu agama dan kemudiannya mengajarkannya pada orang ramai. Syeikh al-Sa’di ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah S.W.T menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). (Lihat: Tafsir al-Sa’di; hlm.355)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, antara nasihat beliau ialah: Menuntut ilmu, di samping mencari harta akan membawa kegagalan di dalam pelajaran. Mencari harta akan membawa kepada membeli hamba dan sentiasa sibuk dengan kekayaan dunia. Katanya lagi: “Jangan berkahwin sebelum mendapat ilmu pengetahuan kerana ia akan merugikan masa dan sudah tentu akan mendapat anak-anak yang pasti diberi nafkah.

Tuntutlah ilmu ketika usia masih muda, hati senang dan lapang dada kerana apabila mempunyai anak yang ramai, jiwa tidak akan menjadi tenteram.

Hendaklah bertakwa kepada Allah SWT dan menjaga amanah dan berilah nasihat kepada setiap individu dan juga orang ramai serta jangan merendah-rendahkan taraf manusia. Hormatilah mereka dan jangan banyak bergaul dengan mereka sebelum mereka mencampuri kamu. Bercakap dan berbicaralah dengan mereka di dalam ilmu pengetahuan.

Sekiranya mereka orang yang berilmu pengetahuan, mereka akan menerima dan sekiranya mereka tidak berilmu pengetahuan, mereka akan menjauhkan diri.

Imam Abu Hanifah berkata lagi, katanya: “Jangan bercakap kepada orang ramai di dalam ilmu tauhid atau ilmu kalam. Ini kerana mereka tetap akan mengikutinya dan terpengaruh. Manakala apabila disoal, hendaklah dijawab soalan sahaja dan jangan menambah kerana ianya akan mengelirukan.”

Beliau menegaskan bahawa, “Seandainya engkau hidup berpuluh tahun tidak bekerja dan tidak mempunyai makanan, janganlah tinggalkan menuntut ilmu kerana apabila engkau berhenti daripada menuntut ilmu pengetahuan, hidup engkau akan ditimpa kesusahan. Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesiapa yang berpaling daripada mengingati Aku (menuntut ilmu agama), nescaya hidupnya akan sempit dan susah.”

Beliau menegaskan lagi, katanya: “Ikutilah nasihatku ini, mudah-mudahan engkau akan selamat di dunia dan akhirat.

Dalam satu karyanya bertajuk al-‘Alim wa al-Muta‘allim, Abu Hanifah menjelaskan terdapat dua tujuan utama pendidikan. Pertama, memperoleh ilmu dan kefahaman dan kedua, mempertingkatkan kualiti amalan seseorang.

Beliau menjelaskan mengenai kedudukan ilmu dan amalan dengan menyebut:

“Ketahuilah, bahawa sesuatu perbuatan itu menuruti (panduan) ilmu sebagaimana anggota badan menuruti (panduan) penglihatan. Maka sesungguhnya ilmu (yang) disertai (dengan) perbuatan yang sedikit adalah lebih bermanfaat (berbanding) kejahilan (yang) disertai perbuatan yang banyak. Ia umpama bekalan yang sedikit yang jelas keperluan dan kegunaannya (bagi seseorang) ketika bermusafir, (adalah) lebih bermanfaat berbanding bekalan yang banyak pada mereka yang tidak tahu menggunakannya (atau tidak mengetahui keperluannya). Kerana itulah, Allah SWT berfirman (yang bermaksud): “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Lihat al-‘Alim wa al-Muta’allim, hlm. 11)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”