#5704: Murid-Murid Imam Ahmad

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, antara murid Imam Ahmad yang terkenal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oeh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Pada ayat ini, Allah S.W.T dengan jelas menyatakan suruhan untuk sebahagian umat Islam mempelajari ilmu agama dan kemudiannya mengajarkannya pada orang ramai. Syeikh al-Sa’di ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah S.W.T menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). (Lihat: Tafsir al-Sa’di; hlm.355)

Imam Ahmad bin Hanbal meninggalkan ramai muridnya. Antara mereka yang masyhur dan terkenal ialah:

  • Soleh bin Ahmad ibn Hanbal. Beliau ialah anaknya yang sulung, di mana beliau menyerupai bapanya dari segi zuhud dan menerima hadith serta fiqh daripadanya.

Beliau menyampaikan banyak permasalahan fiqh yang difatwakan oleh bapanya serta memegang jawatan qadhi, seterusnya mampu melaksanakan dan mengaplikasikan ilmu bapanya. Meninggal dunia pada tahun 266 Hijrah.

  • Abdullah bin Ahmad ibn Hanbal. Beliau juga seperti saudaranya. Diberi perhatian khusus oleh bapanya dalam bidang ilmu hadith sehingga Imam Ahmad pernah berkata: “Anakku Abdullah ini mempunyai kelebihan dalam bidang hadith kerana sentiasa bermuzakarah denganku melainkan apa yang tidak aku hafaz.

Beliau meriwayatkan musnad bapanya dan dikatakan bahawa beliaulah yang menyempurnakan musnad serta menambah apa yang difikirkan perlu. Meninggal dunia pada tahun 290 Hijrah.

  • Ahmad bin Muhammad bin Hani’ Abu Bakar al-Athram meriwayatkan daripada Imam Ahmad, banyak permasalahan fiqh dan juga hadith-hadith. Sebelum beliau bertemu dengan Imam Ahmad, beliau banyak mengkaji fiqh, takhrij dan ikhtilaf. Apabila bersahabat dengan Imam Ahmad, beliau menumpukan kepada ilmu athar (hadith). Beliau mengikut gurunya dari sudut kesolehan, zuhud dan warak. Meninggal dunia pada tahun 260 Hijrah.
  • Ibrahim bin Ishak al-Harbi telah bersama dengan Imam Ahmad hampir 20 tahun dan banyak mempelajari daripadanya ilmu hadith dan fiqh. Beliau merupakan imam yang zuhud, arif dalam fiqh, hafiz dalam hadith dan alim dalam ilmu bahasa. Beliau meninggal dunia pada tahun 285 Hijrah.
  • Ahmad bin Muhammad bin al-Hajjaj Abu Bakar al-Marwazi merupakan sahabat yang paling rapat dengan Imam Ahmad bin Hanbal. Justeru, beliau yang memandikan jenazah gurunya. Beliau banyak meriwayatkan daripada Imam Ahmad bin Hanbal berkenaan dengan fiqh daripada hadith. Beliau meninggal dunia pada tahun 275 Hijrah.
  • Abdul Malik bin Abd al-Hamid bin Mahram al-Maimuni meninggal dunia pada tahun 274 Hijrah. Beliau bersahabat dengan Imam Ahmad bin Hanbal melebihi 20 tahun dan merupakan antara murid Imam Ahmad bin Hanbal yang rapat dengannya.
  • Harb bin Ismail al-Hanzali al-Karmani. Beliau meninggal dunia pada tahun 280 Hijrah dan banyak mengambil fiqh daripada Imam Ahmad bin Hanbal.
  • Baqi bin Makhlad iaitu Abu Abd al-Rahman Baqi bin Makhlad al-Andalusi al-Hafiz. Dilahirkan pada tahun 201 H dan meninggal dunia pada tahun 276 H. Beliau pernah berjalan kaki ke Baghdad pada usia dua puluh tahun dengan tujuan utama untuk bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal dan belajar ilmu daripadanya.[1] Baqi bin Makhlad meninggal dunia pada tahun 276 H di Sepanyol.
  • Ahmad bin Muhammad bin Harun bin Yazid al-Baghdadi al-Khallal. Beliau adalah seorang pelajar dari sahabat yang dekat dan murid Imam Ahmad. Beliau telah berjasa dengan mengumpulkan pendapat Imam Ahmad bin Hanbal dari murid-muridnya yang tersebar di seluruh dunia Islam.

Imam al-Zahabi menyebut: Al-Khallal: Al-Imam al-‘Allamah al-Hafiz al-Faqih, Syeikh al-Hanabilah wa ‘Alimuhum Abu Bakar, Ahmad bin Muhammad bin Harun bin Yazid al-Baghdadi al-Khallal. Beliau dilahirkan pada tahun 234 Hijrah atau kemudiannya. Boleh jadi beliau mengambil pendapat Imam Ahmad, akan tetapi beliau mengambil Fiqh daripada ramai ashabnya (Imam Ahmad). Beliau belajar kepada Abu Bakar al-Marruzi. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 14/297)

Al-Khatib al-Baghdadi berkata: Al-Khallal telah menghimpunkan ilmu-ilmu Imam Ahmad dan menuntutnya. Beliau bermusafir untuk tujuan tersebut, menulisnya dan menyusunnya dalam sebuah kitab. Tidak pernah ada dalam mazhab Ahmad seorang pun yang menghimpunkan sedemikian. (Lihat Tarikh Baghdad, 5/112)

Ibn al-Jauzi dalam al-Muntazam berkata: Setiap orang yang mengikuti mazhab ini (Hanbali) mengambil daripada kitab-kitabnya. (Lihat al-Muntazam fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam, 12/221)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Nota Hujung:

[1] Diceritakan bahawa Baqi bin Makhlad menyatakan, “Ketika aku hampir sampai di Baghdad, telah sampai berita kepadaku tentang ujian yang menimpa Imam Ahmad berupa larangan untuk berkumpul dan mendengar ilmu yang disampaikan oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Aku berasa sangat sedih setelah mendapat berita itu. Selepas itu, aku tinggalkan barang-barang keperluan aku di satu tempat penginapan yang disewakan. Aku tidak melakukan apa-apa kecuali pergi ke Masjid Jamek yang besar kerana aku ingin duduk bersama dengan mereka dalam halaqah ilmu sehingga aku boleh mendengarkan ilmu yang dimuzakarahkan oleh mereka. Aku disarankan pergi ke halaqah yang lebih besar dan di tempat itu juga, aku bertemu dengan seorang lelaki yang mampu menyingkap keadaan para perawi hadis sehingga mampu melemahkan dan menguatkan hadis perawinya. Aku pun bertanya kepada orang yang berhampiran dengan aku, “Siapakah lelaki itu?” Dia menjawab, “Beliau ialah Yahya bin Ma’in.” Aku melihat terdapat satu ruang kosong berhampiran dengannya. Aku pun berdiri lalu duduk berhampiran dengannya dan bertanya, “Wahai Abu Zakaria, aku ialah orang asing. Aku datang dari jauh dan aku ingin bertanya. Oleh itu, janganlah engkau merendahkan aku.”

Beliau pun berkata, “Katakanlah!”

Aku bertanya kepadanya tentang sebahagian ahli hadith yang pernah aku temui. Beliau menganggap sebahagiannya bersih dan mengkritik sebahagian yang lain. Pada akhir pertanyaan, aku bertanya kepadanya tentang Hisyam bin Ammar, iaitu seorang ahli hadis yang aku banyak mengambil riwayat daripadanya. Beliau menjawab, “Abu al-Walid Hisyam bin Ammar merupakan seorang ahli ibadah, penduduk dari Damsyik dan seorang yang thiqah (kuat dan dapat diterima riwayatnya). Sekiranya ada kesombongan di bawah selendangnya atau di lehernya, maka kesombongan itu tidak akan mempengaruhi keadilannya kerana kebaikan dan kelebihannya.”

Tiba-tiba jemaah berteriak, “Cukuplah pertanyaan daripadamu. Semoga Allah SWT merahmatimu kerana kami juga mempunyai pertanyaan untuk diutarakan.” Aku berkata dalam keadaan berdiri, “Aku ingin mengetahui siapakah Ahmad bin Hanbal?” Lalu Yahya bin Ma’in memandangkau seperti orang yang kehairanan. Beliau berkata kepadaku, “Orang seperti kita ini bercakap tentang Ahmad bin Hanbal? Sesungguhnya beliau ialah imam orang Muslim. Beliau juga merupakan orang yang terbaik dan banyak mempunyai kelebihan.” Kemudian aku keluar dari halaqah tersebut. Aku ke rumah Imam Ahmad bin Hanbal. Aku mengetuk pintu rumahnya. Beliau keluar untuk membuka pintu rumahnya. Beliau melihat aku dengan kehairanan kerana belum pernah melihatku.

Aku berkata kepadanya, “Ini merupakan kali pertama aku sampai ke negeri ini. Aku datang dari jauh untuk mempelajari dan mengumpulkan hadis, dan tujuanku hanya untuk bertemu denganmu.” Beliau menjawab, “Masuklah ke dalam rumah dan jangan sampai ada orang yang melihat kedatanganmu.” Kemudian beliau bertanya kepadaku, “Di manakah tempat asalmu?” Aku menjawab, “Di penghujung Barat.” Beliau bertanya lagi, “Afrika?” Aku menjawab, “Lebih jauh daripada Afrika. Aku melintasi laut dari negeriku ke Sepanyol.” Beliau berkata, “Sesungguhnya tempatmu itu terlalu jauh dan tiada sesuatu yang sangat aku senangi daripada menolong orang sepertimu. Tetapi, pada saat ini, aku sedang diuji. Semoga berita itu telah sampai kepadamu.”

Aku menjawab, “Ya, berita itu telah sampai kepadaku ketika aku berada di salah satu negeri yang berdekatan dengan negerimu.” Kemudian aku berkata kepadanya, “Wahai Abu Abdillah. Ini merupakan kali pertama kedatanganku dan aku tidaklah dikenal di kawasan ini. Sekiranya engkau izinkan aku untuk berjumpa denganmu setiap hari dengan menggunakan pakaian pengemis, lalu aku berkata-kata di hadapan pintu seperti apa yang biasa dikatakan para pengemis, maka engkau keluarlah. Sekiranya engkau hanya menyampaikan satu hadis untuk setiap hari kepadaku, itu sudah cukup bagiku.”

Beliau pun berkata kepadaku, “Boleh. Dengan syarat kamu tidak boleh hadir di halaqah-halaqah pengajian dan bersama para penuntut hadis.” Aku menjawab, “Aku akan memenuhi syarat yang ditetapkan.” Selepas itu, aku pun memegang kayu sebagai tongkat dengan tanganku. Aku tutup kepalaku dengan secebis kain dan aku simpan kertas dan dakwat di lengan bajuku. Kemudian, aku berangkat ke pintu rumahnya. Aku melaungkan, “Semoga Allah SWT memberikan ganjaran pahala. Semoga Allah SWT merahmatimu.” Kata-kata inilah yang biasa digunakan para pengemis di kawasan itu.

Perjanjian antara beliau denganku berjalan seperti biasa. Beliau pun keluar menemuiku lalu membawaku masuk dan mengunci pintu rumahnya. Beliau menyampaikan hadis kepadaku sebanyak dua, tiga atau lebih hingga akhirnya terkumpul sebanyak tiga ratus hadis. Aku lakukan hal ini sehingga orang yang melakukan kezaliman dan larangan untuk berkumpul dan mendengar hadis daripada Imam Ahmad bin Hanbal meninggal dunia. Selepas itu, pimpinannya diambil alih oleh orang yang bermazhab Ahli Sunnah. Di bawah pimpinannya, Imam Ahmad bin Hanbal bebas menyampaikan ilmu dan menjadi seorang yang masyhur namanya, unggul, tinggi keimamannya dan dikunjungi oleh para penuntut ilmu. Pada saat inilah beliau mengakui kesabaranku.

Apabila aku hadir dalam halaqah pengajiannya, beliau akan meluangkan tempat untukku dan menempatkanku berdekatan dengannya. Beliau menyatakan kepada pelajar-pelajar hadis, “Inilah orang yang layak dikatakan sebagai penuntut ilmu.” Kemudian beliau menceritakan kisah aku bersamanya kepada penuntut ilmu. Beliau juga meriwayatkan hadis kepada aku dengan pelbagai cara periwayatan. Terkadang beliau yang membacakan dan terkadang aku yang membacanya. Ketika aku sakit kuat yang aku mohon kesembuhan kepada Allah SWT daripada penyakit tersebut (aku tidak menghadiri majlis beliau), maka beliau terasa kehilanganku daripada majlis pengajiannya. Beliau bertanyakan tentang keadaan aku dan disampaikan kepada beliau bahawa aku sedang sakit. Sejurus selepas itu, beliau terus bangun dari majlis itu dan datang melawat aku bersama-sama rakannya. Ketika itu, aku sedang terbaring di rumah sewaku. Aku meletakkan barang-barang kepunyaanku di bawah tempat pembaringan. Manakala pakaian aku letakkan di atas aku. Kitab-kitab pula aku letakkan di bahagian paling dekat dengan kepala.

Aku mendengar kawasan sekitar penginapan aku riuh-rendah dengan suara orang ramai menyatakan, “Tengok, itu ada imam orang Mukmin datang.” Maka pemilik rumah sewa itu datang berjumpa dengan aku dan berkata, “Wahai Abu Abd al-Rahman, ini Abu Abdillah Ahmad bin Hanbal. Beliau datang untuk melawatmu.” Beliau pun masuk lalu duduk berdekatan dengan kepalaku. Bilik aku penuh dengan pelajar-pelajarnya sehingga tidak mampu untuk menampung mereka. Ada sebahagian daripada mereka berdiri sambil di tangan mereka memegang pena untuk membuat catatan. Beliau berkata, “Wahai Abu Abd al-Rahman, bergembiralah atas pahala yang Allah SWT berikan kepadamu pada hari-hari sakit tanpa ada sihat di dalamnya, dan pada hari-hari sakit tanpa ada kesihatan di dalamnya. Semoga Allah SWT meninggikan engkau kepada keafiyatan dan mengasihi engkau dengan belaian tangan-Nya yang dapat menyembuhkan.”

Hanya kalimah ini yang disampaikan kepadaku, tidak lebih dan tidak kurang. Ketika itu, aku melihat para pelajar menulis perkataan beliau tersebut. Kemudian beliau meninggalkanku. Selepas itu, datanglah jiran-jiran tetangga. Semuanya bersikap baik hati dan melayaniku dengan penuh keikhlasan. Ada antara mereka yang membawa tilam, selimut dan bahkan terdapat juga yang membawa makanan yang lazat.Mereka lebih banyak merawatku daripada ahli keluargaku sendiri sekiranya aku bersama-sama mereka. Semua ini disebabkan kunjungan orang soleh yang melawatku.