#5707: Mengambil Gambar Selepas Tawaf Wada’

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum jika mengambil gambar atau melakukan aktiviti di masjidil haram setelah tawaf wada‘?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tawaf wada‘ merupakan pekerjaan terakhir yang wajib dilakukan sebelum meninggalkan Makkah setelah selesai segala urusan-urusan haji dan umrah bagi pendapat muktamad Mazhab al-Syafi‘i.

Dalam hadith Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya: “Orang ramai diperintahkan menjadikan perkara terakhir mereka (ketika melakukan haji dan umrah) adalah dengan tawaf di Kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita berhaid.”

Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Hadith ini mengandungi dalil tentang kewajipan tawaf wada‘ kerana ada perintah yang dikuatkan dan kerana ungkapan adanya keringanan bagi wanita haid.” (Lihat Fath al-Bari, 3/747)

Adapun hukum mengambil gambar selepas tawaf wada‘, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-35 Musim Haji 1440 H yang bersidang pada 9-11 November 2018 bersamaan 1-3 Rabi‘ al-Awwal 1440 H telah memutuskan bahawa bergambar sejurus selepas tawaf wada‘ dalam kadar yang cepat adalah dibenarkan. Meskipun begitu, ia tidaklah digalakkan.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”