#5708: Kitab al-Muwatta’ Imam Malik dan Lainnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat kitab yang namanya seperti Muwatta’, yang bukan daripada Imam Malik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Surah al-Baqarah: 269)

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ

Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”

Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/165)

Tidak dinafikan, sudah ada para ulama yang menulis sebelum Imam Malik dengan cara menyusun hadith, pendapat sahabat dan tabi’in, yang dikenali dengan fiqh Hijaz. Diperhatikan bahawa yang mula-mula menyusun kitab al-Muwatta’ Imam Malik, yang diambil daripada ahli Madinah ialah Abdul Aziz bin Abdullah al-Majisyun. Apabila selesai karya tersebut, beliau membawa kepada Imam Malik dan seterusnya, beliau berkata: “Alangkah baiknya apa yang diusahakan dan kalau mampu, nescaya aku akan mulakan dengan athar, kemudian diteguhkan dengan kalam tersebut.”

Begitu juga, Imam Malik mendapati kitab-kitab yang lain, seperti kitab Ibn Majisyun, juga antaranya ialah:

  • Al-Muwatta’ Ibrahim bin Muhammad al-Aslami yang meninggal dunia pada tahun 184 Hijrah.
  • Al-Muwatta’ Abdullah al-Fihri yang meninggal dunia pada tahun 197 Hijrah.
  • Al-Muwatta’ Abdul Rahman bin Abi Zib.

Kemudian dikatakan kepadanya: “Kamu sibuk dengan kitab ini, sedangkan ramai yang mengarang dan sama dengan kitabmu.” Lantas beliau berkata: “Bawakan kepadaku kitab mereka.” Selepas dilihatnya, beliau berkata: “Nescaya kamu mengetahui apa yang aku kehendaki dengannya semata-mata kerana Allah SWT.” Atas dasar inilah Imam Malik menyusun hadith-hadith ahli Madinah, pendapat sahabat dan tabi’in.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”