#571: Kelebihan Kurma Ajwah Madinah

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Benarkah mengenai kelebihan makan kurma ajwah sebanyak 7 biji pada setiap pagi, akan terselamat daripada racun dan sihir? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:

مَا أَكَلَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْلَتَيْنِ فِي يَوْمٍ إِلَّا إِحْدَاهُمَا تَمْرٌ

Maksudnya: “Keluarga Muhammad SAW tidak pernah makan dua kali sehari melainkan salah satunya ialah kurma.”

(Riwayat al-Bukhari (6455)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa dalam hadith di atas terdapat isyarat bahawa kurma ialah sesuatu yang mudah bagi mereka mendapatkannya berbanding dengan makanan yang lain. Selain itu, terdapat isyarat lain yang menunjukkan bahawa boleh jadi mereka tidak ada sesuatu untuk dimakan pada hari tersebut melainkan ia cukup untuk sekali makan sahaja sehari. Sekiranya mereka mendapati adanya makanan yang mencukupi bagi dua kali makan pada hari tersebut, maka salah satunya ialah kurma. (Lihat Fath al-Bari, 11/292.)

Definisi kurma (Phoenix dactylifera)

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kurma ialah sejenis tumbuhan (palma) yang buahnya manis dan boleh dimakan.[1] Kurma merupakan tumbuhan dari genus Phoenix. Perkataan phoenix berasal daripada perkataan Phoenicia yang bermaksud pokok kurma, dan dactylifera berasal dari perkataan Greek daktulos bermaksud jejari yang menggambarkan bentuk buahnya. Pokok kurma dalam bahasa Arab disebut sebagai nakhl, manakala buahnya yang matang dipanggil tamar. Penanaman pokok kurma bermula sejak sebelum Masihi iaitu 6000 hingga 8000 tahun yang lalu di Mesopotamia.[2] Imam al-Nawawi telah menyebutkan bahawa terdapat sebanyak 120 jenis kurma Madinah. ( Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/50.)

Manakala kurma Ajwah adalah salah satu jenis daripada jenis-jenis kurma. Malah al-Jauhari dan Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kurma Ajwah merupakan antara jenis kurma yang terbaik di Madinah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 36/284; Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/3.)

Selain itu, Ibn Hajar al-‘Asqalani juga turut menyatakan bahawa kurma Ajwah ialah kurma yang terbaik dan paling lembut di Madinah. Kemudian, beliau menukilkan pendapat al-Dawudi yang menyebutkan bahawa kurma Ajwah termasuk dalam kategori kurma yang sederhana saiznya. Di sampin itu, Ibn al-Athir pula menyatakan dalam kitabnya al-Nihayah bahawa kurma Ajwah merupakan sejenis kurma daripada Madinah, saiznya lebih besar daripada kurma al-Saihani dan warnanya kehitam-hitaman. ( Lihat Fath al-Bari,10/238; Mirqah al-Mafatih, 7/2705)

Begitu juga Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyatakan bahawa kurma Ajwah Madinah ialah kurma yang paling bermanfaat di Tanah Hijaz secara umumnya, bentuknya baik, isinya padat dan kuat, termasuk juga antara kurma yang paling lazat, lembut dan harum. (Lihat al-Tibb al-Nabawi, hlm. 258.)

Justeru, dapat disimpulkan bahawa kurma Ajwah merupakan kurma yang terbaik dan paling lembut di Madinah, warnanya kehitam-hitaman, saiznya sederhana dan isinya padat.

 

Kelebihan makan kurma Ajwah

Pada asasnya terdapat banyak hadith yang menceritakan mengenai kelebihan memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi. Di antaranya, riwayat daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً، لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ، وَلَا سِحْرٌ

Maksudnya:Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (5445); Muslim (2047)

Begitu juga, riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءً – أَوْ إِنَّهَا تِرْيَاقٌ – أَوَّلَ الْبُكْرَةِ

Maksudnya:Sesungguhnya pada kurma Ajwah ‘Aliyah itu ada ubat penyembuh atau ia merupakan ubat penawar bagi racun, apabila dimakan pada awal pagi.”

Riwayat Muslim (2048)

Imam al-Nawawi menyebutkan, ‘Aliyah ialah kawasan yang terdiri daripada kebun-kebun, perkampungan dan pekan dari dataran tinggi Madinah yang menuju ke arah Najd. Atau dataran rendah dari arah yang lain yang menuju ke Tihamah. Kawasan ‘Aliyah yang paling dekat dari Madinah adalah pada jarak 3 batu (mil) dan yang paling jauh adalah pada jarak 8 batu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/3)

Manakala terdapat riwayat lain daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas yang datang dengan lafaz tanpa menyebut kurma Ajwah:

مَنْ أَكَلَ سَبْعَ تَمَرَاتٍ مِمَّا بَيْنَ لَابَتَيْهَا حِينَ يُصْبِحُ، لَمْ يَضُرَّهُ سُمٌّ حَتَّى يُمْسِيَ

Maksudnya:Sesiapa yang memakan pada waktu pagi tujuh biji kurma, yang ditanam antara dua bebatuan hitam, tidak akan memberi mudarat kepadanya sebarang racun sehinggalah petang.”

Riwayat Muslim (2047)

Namun, terdapat dalam Mustakhraj Abi Awanah, selepas disebutkan hadith di atas, dinukilkan pula kata-kata daripada Abu Tuwalah yang menyebut bahawa dia mendengar orang ramai menyebut kurma yang dimaksudkan ialah kurma Ajwah. Selain itu, Ibn Wahb turut menyebut perkara yang sama. (Lihat Mustakhraj Abi Awanah, 5/189.)

Begitu juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

والعَجوةُ مِنَ الجَنَّةِ، وهي شِفاءٌ مِنَ السُّمِّ

Maksudnya:Kurma Ajwah berasal dari syurga, dan ia merupakan penawar daripada racun.

Riwayat Ahmad (8037); al-Tirmizi (2066); Ibn Majah (3455); Ahmad Syakir menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih.

Justeru berdasarkan kepada hadith-hadith ini, secara zahirnya sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi akan terselamat daripada sebarang racun dan sihir. Walau bagaimanapun, al-Khattabi menyebutkan bahawa kurma Ajwah bermanfaat bagi mengubati racun dan sihir disebabkan oleh keberkatan doa Nabi SAW kepada kurma Madinah, dan bukan kerana khasiat kurma itu sendiri. Manakala Ibn al-Tin pula berpendapat bahawa berkemungkinan kurma yang dimaksudkan di sini ialah kurma yang secara khususnya terdapat di Madinah, yang tidak diketahui lagi pada masa sekarang. ( Lihat Fath al-Bari, 10/239)

Hasil daripada dua kenyataan ini menatijahkan, tidak mungkin lagi untuk kita berpendapat bahawa ia adalah bersifat umum merangkumi kurma-kurma yang terdapat pada hari ini.

Selain itu, al-Maziri pula berpendapat bahawa perkara ini adalah antara perkara yang tidak dapat difikirkan munasabahnya (logiknya) melalui ilmu perubatan kerana kalaulah manfaat kurma sebagai penawar kepada racun dapat dibuktikan melalui ilmu perubatan, maka tiada keperluan lagi untuk meletakan had pada bilangan iaitu tujuh biji dan juga jenis iaitu kurma Ajwah. Boleh jadi ia adalah khusus bagi penduduk pada zaman Nabi SAW atau kebanyakan orang daripada mereka. Sekiranya tidak sabit penyembuhan tersebut berterusan berlaku sehingga kepada zaman kita pada kebanyakan orang, sekalipun ia berlaku pada ramai orang, maka kita boleh simpulkan bahawa ia bermaksud memberi penyembuhan dalam kebanyakan keadaan.

Manakala Qadhi ‘Iyad berpendapat fadhilat tersebut adalah khusus buat kurma Ajwa ‘Aliyah dan kurma-kurma yang ditanam di dalam Madinah (antara dua bebatuan hitam) sepertimana penawar yang hanya didapati dalam sebahagian ubat yang terdapat pada sebahagian kawasan dalam sebuah negeri dan bukan daripada jenis selainnya disebabkan oleh tanah dan udara (kawasan tertentu) yang memberi kesan. Sebahagian ulama yang lain pula menyatakan bahawa mengkhususkan kurma Madinah bagi fadhilat tersebut adalah jelas dapat dilihat melalui lafaz-lafaz pada matan hadith berkenaan. Adapun mengkhususkannya hanya pada zaman (Nabi SAW) sangat jauh (menyimpang). Malah, al-Qurtubi menyebutkan, secara zahirnya hadith-hadith tersebut menunjukkan kepada pengkhususan kurma Ajwah Madinah bagi menyembuhkan racun dan membatalkan sihir. ( Lihat Fath al-Bari, 10/240)

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi  dalam al-Minhaj (14/3) ketika mensyarahkan hadith berkenaan kelebihan kurma Madinah menyebutkan, hadith-hadith ini menunjukkan kelebihan kurma Madinah dan kurma Ajwah. Begitu juga kelebihan memakan tujuh biji kurma pada waktu pagi. Namun kelebihan ini hanya khusus buat kurma Ajwah Madinah sahaja, dan bukannya pada kurma-kurma yang lain. Manakala, bilangan tujuh biji — yang disebutkan dalam hadith — termasuk dalam perkara yang hanya diketahui oleh Allah SWT akan hikmahnya. Sedangkan kita pula wajib beriman dan menerimanya, serta meyakini akan fadhilatnya (adalah benar) dan ada hikmahnya (akan perkara tersebut), sebagaimana ketetapan terhadap bilangan solat, kadar nisab di dalam zakat dan lain-lain. Selain itu, Ibn Qayyim al-Jauziyyah juga ada menukilkan pendapat yang menyatakan bahawa fadhilat tersebut — yakni terselamat dari racun dan sihir — hanya terdapat pada kurma Ajwah Madinah. (Lihat al-Tibb al-Nabawi, hlm. 258)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa kelebihan mengenai memakan kurma ajwah sebanyak tujuh biji pada setiap pagi akan terselamat daripada racun dan sihir adalah benar dan sabit melalui hadith-hadith yang sahih. Selain itu, kami juga berpendapat bahawa kurma Ajwah yang dimaksudkan dalam hadith Nabi SAW, yang mana mempunyai kelebihan bagi menghindari racun dan sihir, adalah khusus buat kurma Ajwah Madinah sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dan al-Qurtubi. Manakala kurma Ajwah ‘Aliyah pula adalah termasuk dalam kategori kurma Ajwah Madinah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

[1] Lihat : http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kurma.

[2] Lihat disertasi bertajuk: Tumbuhan Terpilih Menurut Perspektif Islam dan Sains Kesihatan, oleh Sumaiyah binti Mohd. Tamizi, Disertasi ini dikemukakan untuk memenuhi keperluan bagi Ijazah Sarjana Falsafah, Institut Pengajian Siswazah Universiti Malaya Kuala Lumpur 2015, hal.  142.