#5712: Musnad Imam Ahmad dan Susunannya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami keistimewaan Musnad Imam Ahmad?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ

Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”

Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/165)

Musnad Ahmad Ibn Hanbal  merupakan kitab yang paling agung.

Imam al-Zahabi menjelaskan berkenaan kitab al-Musnad sepertimana kenyataan Ibn al-Sammak: “Hanbal telah menceritakan kepada kami, beliau berkata, Ahmad bin Hanbal mengumpulkan kami, iaitu aku, Soleh dan ‘Abdullah. Beliau membacakan kitab al-Musnad kepada kami dan tidak ada yang mendengarkannya selain kami. Beliau berkata, Kitab ini (al-Musnad), aku telah mengumpulkannya dan menyemaknya lebih dari 750,000 hadith Rasullah SAW yang terdapat perbezaan di kalangan umat Islam dalam menghukuminya, maka kamu kembalilah kepadanya jika kamu temukan di dalamnya. Jika tidak kamu temukan (jawapan atas suatu persoalan), maka hadith tersebut tidak dapat dijadikan hujah”(Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/329)

Imam Ahmad Ibn Hanbal menyusun kitab al-Musnad berdasarkan tertib susunannya seperti berikut:

  1. Sepuluh orang sahabat yang dijamin masuk syurga
  2. ‘Abd al-Rahman Ibn Abi Bakr, Zaid Ibn Kharijah, al-Harith Ibn Khazamah, dan Sa’d Ibn Maula Abi Bakr
  3. Musnad Ahl al-Bait
  4. Musnad dari kalangan sahabat-sahabat lain, antaranya: Ibn Mas’ud, Ibn ‘Umar, Abu Hurairah, Abu Sa’id al-Khudriy, Jabir, Anas, Ibn ‘Amru Ibn al-‘Ash dan lain-lain. Demikianlah seterusnya.
  5. Musnad penduduk Makkah (Makkiyyin).
  6. Musnad penduduk Madinah (Madaniyyin).
  7. Musnad penduduk Syam (Syamiyyin).
  8. Musnad penduduk Kufah (Kufiyyin).
  9. Musnad penduduk Basrah (Bashriyyin).
  10. Musnad al-Ansar.
  11. Musnad ‘Aisyah dan para sahabiyyat.
  12. Kabilah-kabilah yang lain.

Berkenaan jumlah sahabat yang terdapat di dalam kitab Musnad Imam Ahmad, Abu Musa Muhammad bin Abi Bakr al-Madini berkata: “Sungguh aku telah menghitung jumlah mereka (dari kalangan sahabat) dan ia mencapai 690 orang lebih selain yang wanita. Dan aku telah menghitung yang wanita (sahabiyyah) mencapai 96 orang. Oleh kerana itu, kitab al-Musnad mencakupi sekitar 800 orang sahabat, selain yang tidak disebutkan namanya dari kalangan anak-anak, mubhamat (orang dewasa yang tidak disebutkan namanya), dan yang lain-lain.” (Lihat al-Mas‘ad al-Ahmad fi Khatm Musnad al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jazari, 1/34-35)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”