#5714: Pujian Ulama’ dan Muridnya kepada Imam Syafi’i

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Syafi’i mendapat banyak pujian atas kelebihan dan ilmu yang dimilikinya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Surah al-Baqarah: 269)

Imam al-Syafi‘i turut mendapat sanjungan dan pujian daripada rakan taulan, murid dan tokoh pada zamannya. Ini menunjukkan ketokohannya diakui oleh ramai orang.

Ramai ulama dan tokoh cendekiawan Islam memuji kelebihan Imam al-Syafi‘i. Dinyatakan di sini beberapa pujian terhadap Imam al-Syafi‘i, antaranya:

  • Sufyan bin ‘Uyainah berkata: “Jika Muhammad bin Idris (Imam al-Syafi‘i) mati, maka telah mati manusia yang terbaik pada zaman ini.” Manakala pada suatu ketika, beberapa murid sedang bersama Sufyan bin ‘Uyainah di Mekah. Apabila datang al-Syafi‘i, Ibn ‘Uyainah memandang kepadanya dan berkata: “Ini adalah pemuda terbaik di zamannya.”
  • Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Selama hayatku, aku tidak faham erti nasakh dan mansukh sehingga aku belajar dengan Imam al-Syafi‘i.” Apabila disebut nama Imam al-Syafi‘i, beliau akan memuji dan memuliakannya. Beliau turut berkata: “Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap seratus tahun, Allah akan mengutus seseorang yang meluruskan semula agamanya.” Beliau kemudian berkata: “Pada seratus tahun pertama, terdapat ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Aku berharap al-Syafi‘i adalah untuk seratus tahun kedua.” (Lihat al-Intiqa’ fi Fadha’il al-Imam Abi Abdillah Muhammad bin Idris al-Syafi‘i (terj.) oleh Ibn Abd al-Bar, hlm. 17)
  • Imam Qasim bin Salam berkata: “Belum pernah aku lihat, orang yang memiliki ilmu agama yang sempurna selain Imam al-Syafi‘i.”
  • Imam Muhammad bin al-Hakim berkata: “Aku belum pernah melihat ulama seperti Imam al-Syafi‘i.”
  • Yunus bin Abdul A’la berkata: “Imam al-Syafi‘i tatkala menafsirkan al-Quran, seolah-olah beliau menyaksikan ayat al-Quran itu diturunkan.”
  • Imam Ishaq bin Rahuyah berkata: “Ulama tafsir bercerita kepadaku bahawa Imam al-Syafie antara yang paling handal berkenaan makna dan keterangan al-Quran.” Beliau turut berkata: “Muhammad bin Idris al-Syafi‘i di sisi kami adalah seorang imam (ulama yang hebat).”
  • Imam Hilal bin al-A’la al-Raqi berkata: “Ulama hadith seolah-olah anak buah kepada Imam al-Syafi‘i kerana beliaulah yang membawa kunci ilmu hadith kepada mereka.”
  • Imam al-Rabi‘ berkata: “Imam al-Syafi‘i sentiasa bangun malam beribadat sehingga beliau meninggal dunia.”
  • Imam Yahya bin Ma‘in berkata: “Jika berbohong itu hukumnya harus, nescaya Imam al-Syafi‘i tetap menahan dirinya daripada berbohong kerana memelihara maruahnya.”
  • Imam al-Rabi‘ berkata: “Imam al-Syafi‘i adalah orang yang fasih berbicara dan bahasanya menarik sekali.”
  • Ahmad bin Abu Syuraij berkata: “Belum pernah aku menemui orang yang pintar berbicara dan menggunakan logik lebih daripada Imam al-Syafi‘i.”
  • Al-Jahiz berkata: “Imam al-Syafi‘i laksana butiran mutiara yang berangkai dan tersusun rapi.”
  • ‘Abd al-Malik al-Hisyam al-Nahwi berkata: “Imam al-Syafi‘i adalah ahli bahasa.”
  • Sayyidah Nafisah berkata: “Semoga Allah melimpahi rahmat-Nya kepada Imam al-Syafi‘i kerana beliau seorang yang sentiasa memperbaharui wuduknya.”

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)