#5718: Pendapat Ulama’ Terhadap Imam Abu Hanifah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Abu Hanifah menerima banyak pujian atas kelebihan yang ada padanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”.

Riwayat Abu Daud (3641). Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya.

Menjawab persoalan di atas, kami katakan ramai ulama memuji Imam Abu Hanifah dengan kebolehannya yang luar biasa. Hal ini tidak pelik dengan kurniaan Allah SWT kepadanya serta keilmuan dan sifat-sifatnya yang mulia itu. Antara pujian ulama ialah:

‘Abdullah ibn al-Mubarak berkata: “Tidak aku lihat seorang lelaki yang lebih hebat dalam majlisnya, lebih baik keterampilannya dan lebih santun daripada Abi Hanifah.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/400)

Sufyan al-Thauri berkata: “Aku pulang daripada menemui Abu Hanifah, daripada sefaqih-faqih manusia di muka bumi.

Waqi‘ menyifatkan Imam Abu Hanifah seperti berikut: “Seorang yang mempunyai amanah yang tinggi, hati yang selalu zikrullah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar, di samping mencari keredaan Allah lebih dahulu daripada nyawanya sendiri, sekalipun tergadai di hujung mata pedang.”

Al-A‘masy apabila ditanya tentang masalah berkata: “Sesungguhnya yang lebih menjawabnya ialah Nu’man bin Thabit al-Khazaz (nama sebenar Abu Hanifah). Dan aku sangkanya, beliau diberkati pada ilmunya.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/403)

Al-Qadhi Abu Yusuf berkata: “Abu Hanifah khatam al-Quran setiap malam hanya dalam satu rakaat.” Mengikut Yahya bin Abd al-Hamid al-Himmani bahawa Abu Hanifah khatam al-Quran setiap malam di waktu sahur. Dan diriwayatkan bahawa Abu Hanifah sepanjang hidupnya khatam al-Quran sebanyak 7000 kali. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/400)

Ibn Juraij merupakan Imam Ahli Mekah pernah berkata selepas melihat Imam Abu Hanifah: “Sesungguhnya dia seorang yang faqih. Sesungguhnya dia seorang yang faqih.”

Imam al-Syafie berkata: “Orang ramai dalam Feqah adalah anak buah kepada Abu Hanifah.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/403)

Sebahagian ulama berkata: “Fiqh ditanam oleh Abdullah bin Mas’ud. Disiram oleh Alqamah. Dituai oleh Ibrahim al-Nakhai’i. Ditampi oleh Hammad, dikisar oleh Abu Hanifah, diadun oleh Abu Yusuf, dibuat roti oleh Muhammad Ibn al-Hassan dan dimakan oleh seluruh manusia.

Fudhail bin Iyadh berkata: “Abu Hanifah seorang yang faqih. Terkenal dengan kefaqihannya, kaya, makruf dengan kebaikan, seorang yang sabar dalam menuntut ilmu siang dan malam, baik penggunaan malamnya, banyak diam, sedikit kata-kata sehingga kepada masalah halal dan haram. Mudah menunjukkan kebenaran dan lari daripada harta sultan.

Qis bin al-Rabi’ berkata: “Adalah Abu Hanifah seorang yang warak lagi bertakwa dan pemurah terhadap rakan-rakannya.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/400)

Malih bin Waki’ berkata: “Demi Allah, Abu Hanifah merupakan seorang yang besar amanahnya dan mulia serta mencari keredaan Tuhan.

Al-Hammani berkata: “Aku dengar bapaku berkata: Aku bermimpi melihat tiga bintang jatuh. Kemudian, matinya Abu Hanifah. Selepas itu, Mus’ir dan kemudiannya Sufyan.” Dikhabarkan kepada Muhammad bin Muqatil, kemudian beliau berkata: “Ulama itu adalah bintang-bintang di bumi.

Syu’bah apabila mendengar kematian Imam Abu Hanifah, beliau mengucapkan istirja’, seraya berkata: “Telah padam di kota Kufah ini cahaya ilmu. Ketahuilah sesungguhnya tidaklah mereka melihat seumpamanya selepas ini.

Syarik berkata: “Adalah Abu Hanifah sifatnya banyak diam dan amat berakal.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/400)

Abu ‘Asim al-Nabil berkata: “Abu Hanifah dikenali sebagai al-Watid. Ini kerana dia solat sunat terlalu banyak.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/400)

Abi Mu’awiyah al-Dharir berkata: “Sayang kepada Abu Hanifah termasuk dalam Sunnah.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/401)

Ali bin ‘Asim berkata: “Kalau ditimbang ilmu Imam Abi Hanifah dengan ilmu ahli zamannya, nescaya lebih berat ilmu Imam Abi Hanifah.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/403)

Hafs bin Ghiyath berkata: “Kalam Abi Hanifah dalam ilmu Fiqh lebih halus dan seni daripada sya’ir. Tidak mengaibkannya kecuali orang yang jahil.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/403)

Imam Nawawi menceritakan pengakuan Abdullah bin Mubarak terhadap Imam Abu Hanifah, seraya berkata: “Tidak ada majlis yang lebih bersih dan baik dari majlis Abu Hanifah.

Imam al-Zahabi berkata: “Imamah atau kepimpinan dalam Fiqh dan cabang seninya diserahkan kepada Imam ini (Abu Hanifah).” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/403)

Hal ini tidak syak lagi. Disebut:

وَلَيْسَ يَصِحُّ فِي الأَذْهَانِ شَيْءٌ                       إِذَا احْتَاجَ النَّهَارُ إِلَى دَلِيْلِ

Tidaklah benar sesuatu pada akal

               Jika siang hari masih berhajat kepada dalil

Ini merupakan sebahagian pujian ulama terhadap Imam Abu Hanifah seorang tokoh yang mempunyai banyak kelebihan serta watak yang begitu istimewa.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”