#5722: Firasat Imam Syafi’i

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Syafi’i mempunyai firasat yang tajam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْمُتَوَسِّمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda.”

(Surah al-Hijr: 75)

Sebahagian ulama mengatakan bahawa ayat ini turun terhadap para ahli firasat. Mengenai kata “al-Mutawassimin” dalam ayat ini:

  • Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata, ”’Mereka yang mampu mentaksir sesuatu di masa hadapan (ahl al-nazar).”
  • Qatadah berkata, “Orang-orang yang mengambil pelajaran.”
  • Muqatil RA berkata, “Orang-orang yang berfikir. Dalam mengulas hal ini, beliau menyatakan bahawa hal itu merupakan salah satu sifat seorang mukmin, sebahagian dari kemuliaan yang Allah anugerahkan padanya, sebahagian dari buah-buah keimanan, dan sebahagian dari pahala amal soleh yang dilakukan pelakunya.”
  • Ibn al-Qayyim menukilkan bahawa Mujahid berkata: “(Mereka adalah) para ahli firasat.”
  • Orang dahulu kala dan sekarang telah menyusun buku tentang perkara itu dan sebahagian ulama’ telah menjadikannya sebagai petunjuk untuk menjatuhkan hukuman sebagaimana yang dilakukan oleh Iyas ibn Mu’awiyah, seorang qadhi yang berwibawa pada zaman Tabi’in.

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:

وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُمْ بِسِيمَاهُمْ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: “Dan kalau Kami menghendaki, niscaya Kami tunjukkan mereka kepadamu, sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka dengan tanda-tandanya. Dan kamu benar-benar akan mengenal mereka dari kiasan-kiasan perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu.”

(Surah Muhammad: 30)

Sebahagian orang-orang soleh menyatakan, “Barangsiapa yang memenuhi zahirnya dengan mengikuti sunnah dan batinnya dengan Muraqabatullah (merasa diawasi Allah SWT), menahan pandangannya dari hal-hal yang diharamkan, mengekang dirinya dari hawa-hawa nafsu, dan terbiasa dengan makanan yang halal, maka firasatnya tidak akan pernah meleset.”

Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقُوا فِرَاسَةَ الْمُؤْمِنِ ، فَإِنَّهُ يَنْظُرُ بِنُورِ اللَّهِ

Maksudnya: “Takutlah kamu firasat orang yang beriman kerana dia melihat berdasarkan cahaya Ilahi.”

Riwayat al-Tirmizi (3127) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (7843)

Ibn al-Athir berkata, “Ia memberi maksud dengan dua makna, pertama berdasarkan kepada zahir hadith ke atasnya. Maka, Allah mencampakkan kepada hati-hati auliya’ (wali-walinya). Justeru, mereka dapat mengetahui keadaan sebahagian manusia dengan jenis daripada karamah atau ketepatan dzan dan sangkaan yang kuat. Kedua, jenis dengan mengetahui tanda-tanda, pengalaman, rupa bentuk dan akhlak. Maka, akhirnya dia dapat mengetahui keadaan manusia.”

Al-Mubarakfuri berkata: “Takutlah firasat orang yang beriman. Perkataan firasat dengan baris bawah adalah nama dari ucapan kamu, ‘Aku berfirasat kepada si fulan dengan kebaikan.’ Ia terbahagi kepada dua:

Pertama, menunjukkan padanya oleh zahir hadith iaitu apa yang Allah campakkan pada hati wali-walinya. Akhirnya, mereka mengetahui demikian itu keadaan manusia sama ada daripada jenis karamah, benarnya sangkaan dan pemerhatian serta dzan dan tasabbut.

Kedua, ialah apa yang terhasil dengan bukti-bukti pengalaman dan akhlak yang diketahui dengannya keadaan manusia juga.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/441)

Al-Munawi berkata, “Takutlah kamu firasat orang yang beriman iaitu pengamatannya berdasarkan hati dan dhamir melalui cahaya-cahaya yang terang pada hatinya. Justeru, maka berlakulah tajalli baginya dengan hakikat-hakikat. Maka, sesungguhnya orang yang berilmu itu melihat dengan cahaya Allah melalui mata hatinya yang disinari dengan cahaya Allah.” (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/31)

 Imam al-Syafi‘i mempunyai kelebihan tersendiri, iaitu ketajaman firasat. Ini berdasarkan kepada pengamatannya yang mendalam ketika beliau bersama dengan orang-orang Badwi pada masa kecil lagi. Hal ini diakui oleh al-Rabi‘. Banyak kisah yang meriwayatkan tentang ketajaman firasat Imam al-Syafi‘i. Kami nyatakan di sini beberapa firasat Imam al-Syafi‘i:

  • Firasat Imam al-Syafi‘i berkenaan murid-muridnya

Antaranya seperti riwayat al-Rabi‘ bin Sulaiman, tatkala kami masuk menemuinya ketika hampir meninggal dunia. Imam al-Syafi‘i melihat kami dengan renungan yang tajam, kemudian berkata: “Kamu wahai Abu Ya‘qub (al-Buwaiti)! Akan mati dengan besi kamu. Kamu pula wahai Muzani! Akan menguasai Mesir sehingga kamu dianggap secerdik manusia pada zamanmu. Adapun kamu wahai Muhammad! Akan mengikut mazhab ayahmu. Adapun kamu wahai Rabi‘! Banyak memberi manfaat kepadaku dalam menyebarkan kitab.”

  • Firasat Imam al-Syafi‘i Terhadap Lelaki yang Kelihatan Baik

Abu Nu’aim menyebut dalam Hilyah al-Auliya’ bahawa Abu Bakar Warraq al-Humaidi menceritakan bahawa Muhammad bin Idris al-Syafi‘i berkata: Aku pergi ke negeri Yaman untuk mencari kitab-kitab ilmu firasat sehingga aku menulisnya dan telah mengumpulkannya. Kemudian, ketika telah tiba waktu untuk aku kembali, maka aku berjalan melewati seorang lelaki di jalan yang sedang berada di hadapan rumahnya, maka aku bertanya kepadanya, “Adakah ada tempat untuk aku singgahi?” Dia menjawab, “Ya.”

Imam al-Syafi‘i berkata dalam hatinya, “Ini adalah sifat yang buruk berdasarkan ilmu firasat yang telah aku pelajari.” Lalu dia memberiku tempat untuk aku singgahi, dan aku sebaliknya mendapati bahawa ternyata dia adalah seorang yang mulia. Dia mengirim makan malam kepadaku, juga minyak wangi dan makanan untuk haiwan tungganganku. Dia juga mengirim kepadaku alas tidur dan selimut, sehingga malam itu, aku dapat beristirahat dengan selesa.

(Aku berkata kepada diriku sendiri), apa yang aku pelajari daripada buku-buku ini jika aku melihat sifat orang ini? Ternyata orang ini adalah orang mulia, sementara ilmu firasatku mengatakan bahawa dia adalah seorang yang buruk. Lalu aku berkata, “Aku akan lemparkan buku-buku ini.”

Ketika pagi hari, aku berkata kepada pembantuku, “Pasanglah pelana!” Dia kemudian memasang pelana, lalu aku naik dan aku berjalan melewati lelaki itu dan aku berkata kepadanya, “Jika engkau datang ke Makkah, dan engkau melalui di suatu tempat yang bernama Zi Tuwa, maka tanyalah tentang Muhammad bin Idris al-Syafi‘i.”

Lelaki itu bertanya kepadaku, “Adakah engkau memiliki sesuatu untukku?” Aku menjawab, “Tidak.” Dia bertanya lagi, “Adakah engkau telah mendapat kenikmatan selama engkau berada di rumahku?” Aku menjawab, “Tidak.” Dia kemudian berkata, “Lalu, untuk apa aku telah bersusah payah untuk melayanimu malam tadi?” Lalu aku bertanya, “Apakah itu?” Dia menjawab, “Aku telah membelikan untukmu makanan dengan harga dua dirham, lauk begitu dan begini, minyak wangi berharga tiga dirham, makanan untuk haiwan ternakanmu dua dirham dan sewa alas tidur serta selimut dua dirham.”

Aku berkata, “Wahai pembantuku, berilah dia semua yang dia minta, dan adakah masih ada lagi?” Dia berkata, “Sewa rumah, kerana sesungguhnya aku telah bersempit-sempit untuk memberi kelapangan untukmu.”

Imam al-Syafi’i berkata, “Setelah itu, aku menjadi tertarik lagi dengan kitab-kitab firasat. Aku berkata kepadanya setelah itu, “Adakah masih ada lagi?” Dia menjawab, “Pergilah engkau, semoga Allah menghinakanmu. Sungguh, aku tidak pernah melihat orang yang lebih buruk daripada dirimu.” (Lihat Hilyah al-Auliya’ oleh Abu Nu‘aim, 9/144)

 

  • Firasat Imam al-Syafi‘i dalam Fatwanya Terhadap Seorang Pemuda

Al-Rabi‘ bin Sulaiman berkata: Ketika aku berada di sisi Imam al-Syafi‘i, tiba-tiba datang seorang pemuda kepadanya dengan suatu catatan, lalu Imam al-Syafi‘i pun membacakan catatan itu. Setelah itu, beliau menulis sesuatu pada catatan tersebut.

Setelah orang itu pergi, maka aku mengikutinya hingga ke pintu masjid, lalu aku berkata, “Demi Allah, tidak ada suatupun yang terlepas daripadaku fatwa dan nasihat-nasihat Imam al-Syafi‘i.” Aku kemudian mengambil catatan itu dari tangannya, lalu aku dapati padanya tulisan:

سَلِ الْعَالِمَ الْمَكِّيَّ هَلْ مِنْ تَزَاوُرٍ             وَضَمَّةِ مُشْتَاقِ الْفُؤَادِ جُنَاحُ

“Tanyalah engkau kepada seorang Alim dari Makkah, adakah saling mengunjungi

dan saling berpelukan kerana kerinduan hati adalah satu dosa.”

Dan di bawahnya pula, terdapat tulisan Imam al-Syafi‘i:

فَقُلْتُ مَعَاذَ اللَّهِ أَنْ يُذْهِبَ التُّقَى            تَلَاصُقُ أَكْبَادٍ بِهِنَّ جِرَاحُ

“Aku berkata, ‘Allah adalah tempat berlindung dari hilangnya ketakwaan

kerana hati telah saling melekat, kerana padanya terdapat luka.’”

Al-Rabi‘ berkata, “Aku kemudian mengingkari kepada al-Syafi’i jika dia berfatwa tentang hal seperti ini, lalu aku berkata, ‘Wahai Abu ‘Abdillah, apakah engkau memberi fatwa seperti ini pada pemuda ini?’”

Imam al-Syafi‘i berkata kepadaku, “Wahai Abu Muhammad, orang ini adalah seorang dari suku Hasyimi, dia telah menjadi pengantin pada bulan ini – iaitu pada bulan Ramadhan – dan dia masih muda. Maka dia bertanya, adakah dia akan berdosa jika dia berpelukan dan merapatkan tanpa menyetubuhinya? Maka aku berfatwa kepadanya dengan fatwa ini.”

Al-Rabi‘ berkata, “Aku kemudian mengikuti pemuda itu lalu aku bertanya kepadanya tentang keadaannya, lalu dia menyebutkan kepadaku bahawa dia adalah seperti apa yang dikatakan oleh Imam al-Syafi‘i. Sungguh, aku tidak pernah melihat orang yang lebih baik firasat daripada beliau (Imam al-Syafi‘i).

(Lihat Hilyah al-Auliya’, 9/150; Manaqib al-Syafi’i oleh al-Baihaqi, 1/265; Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra oleh Taj al-Din al-Subki, 2/285; Siyar A‘lam al-Nubala’, 13/99).

  • Firasat Imam al-Syafi‘i dan Gurunya Muhammad bin al-Hasan

Al-Humaidi berkata: Ketika itu, aku sedang bersama Imam al-Syafi‘i dan Muhammad bin al-Hasan yang menjadi pusat perhatian manusia kerana perdebatan firasat antara mereka berdua. Ketika seseorang melewati, maka Muhammad bin al-Hasan berkata kepada Imam al-Syafi‘i, “Tekalah!” Imam al-Syafi’i berkata, “Akan menguntungkan perkaranya antara dua, adakah dia seorang tukang kayu atau dia seorang tukang jahit.”

Al-Humaidi berkata, “Aku kemudian mendatangi orang itu, lalu aku bertanya, ‘Apa pekerjaanmu?’” Dia menjawab, “Dahulu, aku adalah tukang kayu, dan kini aku adalah tukang jahit.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 9/167).

 

  • Firasat Imam al-Syafi‘i Terhadap Muridnya al-Rabi‘ bin Sulaiman

Dalam kitab Tabaqat al-Syafi‘iyyah oleh Imam Tajuddin al-Subki, ketika menterjemahkan riwayat hidup al-Rabi‘ bin Sulaiman al-Muradi, salah seorang periwayat dalam Mazhab al-Syafi‘i, dikatakan beliau amat lambat dalam kefahaman sehingga Imam al-Syafi‘i pernah mengulangi hampir 40 kali hanya dalam satu masalah tetapi masih tidak faham. Dia bangkit daripada majlis dalam keadaan malu.

Imam al-Syafi‘i memanggilnya supaya datang seorang diri dan mengulang lagi sehingga dia faham. Itulah kesabaran Imam al-Syafi‘i dan beliau pernah memujinya dengan menyebutkan, “Betapa aku amat mengasihimu bagi diriku.” Beliau juga berkata, “Tiada seorang yang pernah berkhidmat kepadaku lebih baik daripada al-Rabi‘.” Beliau menambah lagi, “Wahai al-Rabi‘! Kalau aku boleh beri makan ilmu kepadamu, nescaya aku akan lakukan.” (Lihat Tabaqat al-Syafi‘iyyah, 2/134).

Justeru amat layaklah Imam al-Syafi‘i menjadi contoh terbaik kepada mana-mana guru.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”