#5726: Murid-Murid Imam Abu Hanifah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami, tunjang utama dalam mazhab Hanafi dari kalangan murid-murid Abu Hanifah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ

Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”

Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/165)

Imam Abu Hanifah mempunyai ramai murid. Ini kerana kefaqihan dan kealimannya terserlah dan beliau terkenal dengan kekuatan hujah aqli dan perdebatan. Oleh itu, beliau mempunyai ramai murid yang hebat. Sebahagian ulama mengira sahabat yang melaziminya. Jumlah mereka seramai 36 orang,  28 orang daripada mereka layak menjadi qadi, 6 orang layak memberi fatwa dan 2 orang lagi layak untuk mendidik qadi dan memberi fatwa, iaitu Abu Yusuf dan Zufar.

Justeru, tidak syak lagi, mereka yang mempunyai kelayakan berikut kerana hidup pada zaman ilmu sedang berkembang dan juga suasana yang mendorong ke arah pengkajian ilmu. Di samping itu, terdapat murid-murid yang belajar dari Imam Abu Hanifah dalam usia yang amat remaja. Contohnya, Muhammad Ibn al-Hassan, yang ketika kematian gurunya, usianya baru mencecah 18 tahun.

Abu al-Wafa al-Qurashi menyatakan murid Abu Hanifah mencecah 4000 orang, manakala Ibn Hajar al-Haytami pula berpendapat muridnya ialah 800 orang. (Lihat al-Jawahir al-Mudiyyah fi Tabaqat al-Hanafiyyah oleh Abu al-Wafa al-Qurashi, 1/28; al-Khayrat al-Hisan fi Manaqib al-Imam al-A‘zam Abu Hanifah al-Nu‘man oleh Ibn Hajar al-Haytami, hlm. 95)

Antara murid-murid Imam Abu Hanifah ialah:

  • Abu Yusuf

Oleh kerana beliau seorang yang masyhur, maka diterangkan secara terperinci tentang riwayat hidupnya, iaitu Ya’qub bin Ibrahim bin Habib. Beliau merupakan seorang qadi dan Imam. Beliau dikatakan berketurunan Sa’ad bin Habbah al-Ansari, sahabat Rasulullah SAW dan mempelajari ilmu fiqh daripada Abu Hanifah.

Menjawat jawatan qadi pada zaman Kerajaan Abbasiyyah, di bawah pemerintahan al-Hadi, al-Mahdi dan al-Rasyid. Beliau orang yang pertama digelar Qadi al-Qudhah, setaraf dengan Ketua Hakim Negara. Beliau juga orang yang pertama memakai pakaian rasmi bagi para ulama. Imam Ahmad menthiqahkannya, termasuk Ibn Ma’in dan Ibn al-Madini. Ada pendapat mengatakan beliau yang pertama menyusun ilmu usul fiqh. Abu Yusuf meninggal dunia pada tahun 181 Hijrah.

  • Muhammad Ibn al-Hassan al-Syaibani.

Nisbah kepada Bani Syaiban di Wala’. Asalnya daripada Harasta, iaitu perkampungan Damsyiq. Bapanya berhijrah ke Iraq dan beliau dilahirkan di Wasit, lalu membesar di Kufah. Imam dalam Ilmu Fiqh dan Usul serta sahabat yang kedua kepada Imam Abu Hanifah selepas Abu Yusuf. Dikatakan bahawa beliau adalah orang yang banyak menyebarkan ilmu Imam Abu Hanifah melalui karya-karyanya. Beliau pernah dilantik menjadi qadi pada zaman Khalifah al-Rasyid di Raqqah, kemudian dipecat. Khalifah al-Rasyid selalu membawanya dalam musafir sehingga sampai ke Khurasan dan beliau meninggal di satu tempat bernama al-Ray pada tahun 189 Hijrah.

  • Zufar

Beliau ialah Zufar bin al-Huzail bin Qais al-Anbari yang berasal dari al-Asbihan. Seorang yang faqih dan Imam di kalangan Imam Abi Hanifah. Beliau antara yang pakar dalam ilmu qias dan mengambil yang athar jika mendapatinya.

Beliau pernah berkata: “Aku sekali-kali tidak menyalahi Abu Hanifah berkenaan dengan pendapat kecuali mengikut apa yang dikatakannya.” Beliau pernah menjadi qadi Basrah dan meninggal di sana pada tahun 158H. Beliau salah seorang yang menyusun kitab mazhab Hanafi.

  • Yahya bin Zakaria bin Abi Za’idah

Imam Zahabi menyebut dalam al-Siyar (15/348): Beliau ialah Yahya bin Zakariyya bin Abi Za’idah al-Wadi’iy, seorang al-Hafiz, al-Hujjah. Dilahirkan pada sekitar tahun 120 Hijrah.

Antara tokoh yang beliau sempat mengambil ilmu daripada mereka ialah Yahya bin Sa’id al-Ansari, al-A‘masy, Daud bin Abi Hind, Abu Malik al-Asyja‘i dan ramai lagi. Manakala yang mengambil ilmu daripadanya termasuklah Abu Daud al-Hafari, Yahya bin Adam, Mu’alla bin Mansur, Yahya bin Yahya, Ahmad, Ibn Ma’in, Hannad dan lain-lain.

  • Hafas bin Ghiyas

Imam Zahabi menyebut dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ (7/486): Beliau seorang tokoh ulama’, al-Hafiz, al-‘Allamah, seorang Qadhi di Kufah. Lahir pada tahun 117 Hijrah.

Beliau mengambil ilmu daripada ‘Asim al-Ahwal, Sulaiman al-Taimi, Yahya bin Sa’id, Hisyam bin ‘Urwah, al-‘Ala’ bin al-Musayyib, Al-A’masy, Muhammad bin Zaid al-Muhajir dan ramai lagi.

Muhammad bin ‘Abdul Rahim al-Bazzaz berkata daripada ‘Ali al-Madini katanya, Yahya ada berkata, Hafs seorang yang teguh. Saya mengatakan, beliau ada waham. Yahya menjawab, kitab catatannya sahih. Beliau berkata lagi, saya tidak pernah melihat di Kufah seperti tiga orang ini, Hizam, Hafs dan Ibn Abi Za`idah. Mereka bertiga merupakan ahli hadith. (Lihat Tahzib al-Kamal, 7/61)

  • Hibban bin Ali

Al-Khatib al-Baghdadi menyebut Tarikh Baghdad: Beliau ialah Hibban bin Ali al-‘Anazi al-Kufi dan merupakan saudara kepada Mindal al-‘Anazi. Beliau meninggal dunia pada tahun 172 Hijrah.

  • Mindal bin Ali

Beliau ialah Abu ‘Abdillah Mindal bin Ali al-‘Anazi al-Kufi. Dilahirkan pada tahun 103 Hijrah dan meninggal pada tahun 167 Hijrah di Kufah. Beliau mengambil ilmu daripada Abi Ishaq al-Syaibani, ‘Asim al-Ahwal, Sulaiman al-A’masy, Hisyam bin ‘Urwah dan lain-lain.

  • Al-Qasim

Al-Qasim bin Ma’an bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Abdullah bin Mas‘ud al-Huzali. Beliau dilahirkan pada sekitar tahun 175 Hijrah. Seorang ahli bahasa dan muhaddith dari Kufah yang hidup pada kurun kedua hijrah. Imam al-Zahabi menyebut: Beliau ialah al-Imam, al-Faqih, al-Mujtahid, seorang Qadhi di kufah dan mufti di sana pada zamannya. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 15/188)

  • Daud al-Ta’i

Beliau ialah Abu Sulaiman Daud bin Nasir al-Ta’i. Beliau hidup pada zaman pemerintahan Khalifah al-Mahdi. Beliau lahir di Kufah dan kemudian berhijrah ke Baghdad dan mempelajari ilmu – antaranya daripada Imam Abu Hanifah – di sana. Kemudian beliau kembali semula ke Kufah. Beliau meninggal pada tahun 165 Hijrah.

  • Fudhail bin Iyadh

Seorang yang kuat beribadat dan terkenal sebagai ahli zuhud sehingga digelar Abid al-Haramain. Mempunyai keberanian yang luar biasa. Beliau dilahirkan di Samarqand dan dibesarkan di Abi Warda, suatu tempat di daerah Khurasan.

  • Abdullah bin al-Mubarak.

Seorang yang mempunyai manaqib yang cukup hebat dari segi keberanian dan kealiman. Dikatakan, beliau melakukan ibadat haji setahun dan jihad pada tahun seterusnya secara bergilir-gilir. Beliau merupakan seorang peniaga yang berjaya dan kaya-raya, di samping Ahli Hadith yang terkemuka.

Hebatnya Abdullah bin Al-Mubarak Kerana Abu Hanifah:

Abu Wahab Muhammad bin Muzahin berkata, dia mendengar ‘Abdullah bin al-Mubarak menyebut: “Kalaulah tidak Allah menolongku dengan Abu Hanifah dan Sufyan, nescaya aku menjadi seperti orang kebanyakan.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 6/398)

  • Al-Hasan bin Ziad al-Lu’lu’i.

Meninggal dunia pada tahun 204 Hijrah, dan pernah belajar dengan Abu Hanifah, Abu Yusuf dan Muhammad bin al-Hasan.

Mengikut Asad bin al-Furat berkata: “Ashab Abi Hanifah yang mengarang kitab adalah seramai 40 orang. Sepuluh di kalangan mereka adalah yang masyhur, iaitu Abu Yusuf, Zufar, Daud al-Ta’i, Asad bin Amr, Yusuf bin Khalid al-Samti, Yahya bin Zakaria bin Abi Za’idah. Beliau menulisnya untuk mereka selama tiga tahun.”

Syeikh Ahmad al-Makki al-Khawarizmi berkata: “Mereka yang meriwayatkan daripada Imam Abu Hanifah amat ramai dan termasuk di kalangan ulama besar seramai 730 orang, yang menjadi rujukan ummah pada zamannya.”

Al-Muwaffaq al-Makki pula berkata: “Abu Hanifah mempunyai ramai pelajarnya. Ada di kalangan mereka yang bermusafir kepadanya dan ada yang mendengar beberapa ketika, kemudian pulang ke negeri masing-masing selepas mengambil cara dan manhajnya. Di kalangan mereka, ada yang melaziminya hingga waktu tempoh yang lama.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”