#5730: Mimpi Imam Syafi’i

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami tentang mimpi Imam Syafi’i yang luar biasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada ‘Ubadah bin al-Samit, bahawa Baginda bersabda:

رُؤْيَا المُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi seorang mukmin adalah satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.

Riwayat al-Bukhari (6987)

Guru kami Syeikh ‘Atiyyah Salim berkata: Disebut 46 juzuk kenabian dengan maksud usia risalah Rasulullah SAW kepada umatnya selama 23 tahun. Sedangkan datang dalam bentuk mimpi pada permualaan wahyu selama 6 bulan, ketika di Gua Hira’. Justeru, 6 bulan mewakili setengah tahun. Maka jadilah mimpi itu 1/46 juzuk kenabian.

Mimpi yang baik adalah sebagai berita gembira. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا المُبَشِّرَاتُ. قَالُوا: وَمَا المـُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ.

Maksudnya: “Tiada yang berbaki daripada kenabian selain berita gembira.” Mereka bertanya: “Apa itu berita gembira?” Baginda menjawab: “Mimpi yang baik.

Riwayat al-Bukhari (6990)

Seterusnya, kami nyatakan di sini sebahagian daripada mimpi-mimpi Imam al-Syafi‘i:

  • Mimpi Imam al-Syafi‘i Bertemu Saidina Ali RA

Al-Muzani menyebutkan, aku mendengar Imam al-Syafi‘i berkata: “Satu malam aku bermimpi  melihat Saidina Ali bin Abu Talib R.A. Dia memberi salam kepadaku dan berjabat tangan. Kemudian mencabut cincinya dan meletakkan pada jariku. Aku mempunyai bapa saudara dan aku bertanya akan tafsiran mimpi tersebut. Lantas dia memjawab kepadaku: ‘Adapun berjabat tangan dengan Saidina Ali bermaksud selamat daripada azab. Manakala, mencabut cincin dan memasukkan pada jari kamu pula bermaksud namamu akan tersebar di timur dan barat seperti namanya.’”

Al-Khatib al-Baghdadi menyatakan dalam kitab tarikhnya bahawa al-Rabi‘ bin Sulaiman menceritakan: “Demi Allah nama Imam al-Syafi‘i dalam kalangan manusia tentang ilmu tersebar sebagaimana masyhurnya nama Ali bin Abu Talib R.A.”

  • Mimpi Imam al-Syafi‘i Terhadap Imam Ahmad yang Akan Diuji dengan Fitnah Khalq al-Quran

Ibn Kathir menyebut dalam al-Bidayah wa al-Nihayah bahawa al-Baihaqi meriwayatkan daripada al-Rabi‘ yang berkata: Imam al-Syafi‘i  mengirimkan kepadaku sepucuk surat dari Mesir untuk diutuskan kepada Imam Ahmad bin Hanbal. Lalu aku datang menemui beliau yang baru selesai menunaikan solat Subuh. Aku serahkan kepadanya surat tersebut.

Beliau bertanya, “Kamu telah membacanya?” Aku menjawab, “Tidak.” Lalu beliau mengambil dan membacanya. Tiba-tiba, air matanya mengalir. Aku bertanya, “Wahai Abu ‘Abdillah, apa yang ditulis di dalam surat itu?”

Imam Ahmad menjawab, “Beliau (Imam al-Syafi‘i) menyebut bahawa beliau telah bermimpi melihat Rasulullah SAW. Baginda bersabda di dalam mimpi: ‘Tuliskan kepada Abu ‘Abdillah Ahmad bin Hanbal dan sampaikan salamku kepadanya. Katakan kepadanya, sesungguhnya engkau akan diuji, di mana engkau akan dipanggil untuk menerima pandangan Khalq al-Quran. Maka jangan kamu memenuhi panggilan mereka. Allah akan menaikkan kedudukanmu hingga hari Kiamat.’” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/365; lihat juga Tarikh Dimasyq oleh Ibn ‘Asakir, 5/312).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”