#5732: Guru Imam Malik dalam Riwayat Muwatta’ dan Muridnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan guru-guru utama yang Imam Malik meriwayatkan daripadanya serta murid-muridnya yang meriwayatkan daripada Imam Malik pula?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oeh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Ibn al-Arabi berkata: Makna umum ayat ini, yakni kepada hak sesiapa yang datang selepas wafat Nabi SAW, ialah bahawa bukan umat islam perlu keluar berjihad kesemuanya tetapi hendaklah sebahagian mereka bertafaqquh (mendalami ilmu) dalam agama. Kemudian mereka pulang kepada kaumnya untuk ajar mereka. Justeru menuntut ilmu diasingkan daripada jihad fi sabilillah sedangkan jihad merupakan jalan kemuncak Islam itu sendiri. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/601)

Sudah tentu dari ramai ulama’ sehingga dianggarkan hampir 95 guru dan bilangan yang telah beliau talaqqi riwayat daripada mereka di kalangan sahabat sebanyak 85 lelaki dan 23 perempuan. Di kalangan tabi‘in pula, yang diriwayatkan dari mereka sebanyak 48 orang. Dilihat bahawa periwayatan kebanyakannya daripada ahli Madinah kecuali tujuh orang sahaja, iaitu:

  • Abu Zubair dari ahli Mekah.
  • Humaid al-Tawil dari ahli Basrah.
  • Ayyub al-Sukhtiani dari ahli Basrah.
  • Ata’ bin Abdullah dari ahli Khurasan.
  • Abdul Karim bin Malik al-Jazari dari ahli Jazirah.
  • Ibrahim bin Abi Ablah dari ahli Syam.

Siapakah yang Menerima al-Muwatta’ daripada Imam Malik?

Al-Qadhi ‘Iyadh menyebut, jumlah mereka melebihi 60 orang. Al-Ghafiqi menyebut bahawa beliau telah membaca kitab al-Muwatta’ daripada 12 riwayat.

Melihat kepada cetakan sekarang, hanya terdapat dua riwayat bagi al-Muwatta’ iaitu:

  • Riwayat Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, sahabat kepada Abu Hanifah.
  • Riwayat Yahya bin Yahya al-Laithi al-Barbari al-Andalusi. Meninggal dunia pada tahun 234 Hijrah dan beliau salah seorang murid Imam Malik.

Riwayat Muhammad bin al-Hasan lebih sedikit bilangannya pada sebahagian bab dan pada kadar hadith-hadithnya dari riwayat Yahya. Para ulama cuba menimbangkan dan membandingkan antara keduanya. Sebahagian mereka mentarjihkan riwayat Muhammad dan kebanyakan mereka mentarjihkan riwayat Yahya.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”

Surah al-Hasyr (10)